PERPADUAN Ummah, istilah ini dilihat bersifat Islamik namun ini sesuai bagi Negara Malaysia yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Walaupun ia bukan konsep pemerintahan kerajaan selama ini. Namun, inilah slogan yang sering diucapkan dan beransur-ansur meresapi ke jiwa rakyat termasuk yang bukan-Islam.
Keadilan dan keselamatan yang menjadi teras di dalam Islam tidak pernah menzalimi sesiapa pun dan dalam Perlembagaan Negara memberi kebebasan kepada penganut agama lain beramal dengan agama mereka secara aman.
Inilah keistimewaan negara kita sejak dahulu lagi. Negara kita aman serta rakyat berbilang kaum dan agama sepakat berkongsi nikmat dan kekayaan negara. Dunia luar cemburu dan berminat untuk meniru kejayaan ini.
Tetapi, keadaan ini mula terhakis sedikit demi sedikit dan memuncak apabila PH mengambil alih pentadbiran negara. Keistimewaan Melayu dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan telah berani dipertikaikan. Tertubuhnya banyak parti-parti baru yang menyebabkan orang Melayu semakin berpecah.
Wajah sebenar PH yang buruk terserlah melalui kerosakan pentadbiran mereka yang memberi tekanan kepada rakyat termasuk kepada yang bukan-Melayu. Di waktu itu semua orang mulai sedar Perpaduan Ummah mesti dikembalikan.
PAS mengambil peluang ini bersama-sama Umno memperjuangkan Perpaduan Ummah. Rakyat seluruh negara bangkit kegirangan melihat PAS dan Umno bekerjasama. Ramai pemimpin bawahan dan orang kebanyakan berkata ‘inilah yang selama ini kami impikan’.
Selepas 22 bulan PH mentadbir negara mereka lelah bercakaran sesama sendiri dan akhirnya rebah. Berakhir sudah tragedi ‘hitam’ yang menyelubungi negara. Parti BERSATU keluar menyelamatkan diri bersama PAS dan Umno, lalu membentuk Kerajaan PN. Negara dan rakyat kembali tenang namun masih gawat dengan COVID-19 yang belum berakhir. Pun begitu, rakyat masih tenang dan terbela.
Berita baru yang semakin kuat bertiup kini dengan nama ‘Jajaran Harapan’ kononnya PH bersama Umno akan bergabung untuk membentuk kerajaan baharu. ‘PH semua orang tahu siapa dia’. Jangan silap buat kali kedua. PAS punya pengalaman yang panjang bersama mereka yang ada di dalam PH. Kami berpesan ‘Jangan Terpedaya!’. Rakyat sudah selesa dan mahu Perpaduan Ummah terus diperkasa.
RUSMAN KEMIN
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) – HARAKAHDAILY 13/6/2021
No comments:
Post a Comment