ALOR SETAR: Austria Technologie and Systemtechnic AG (AT&S) yang dilaporkan memuktamadkan persetujuan pelaburan RM8.5 bilion atau Euro1.7 bilion telah mengadakan kunjung hormat ke negeri ini, semalam.
Duta Besar Austria ke Malaysia, Micheal Postl mengetuai sendiri delegasi gergasi teknologi tinggi dunia tersebut mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, di sini.
Pertemuan ini merupakan perbincangan lanjut selepas Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Andrea Gerstenmayer dan para pegawai kanannya memaklumkan keputusan pelaburan syarikat tersebut pada 10 Jun lalu.
Sesi itu dibuat secara sidang atas talian bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum hadir bertemu Sanusi.
Kehadiran delegasi ini juga dimaklumkan untuk melihat tapak kilang akan dibina di Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) susulan perbincangan bersama Kulim Technology Park Corporation (KTPC) yang telah bermula sejak Februari lalu.
Menurut Sanusi mengulas pertemuan tersebut, syarikat ini bakal menyediakan peluang pekerjaan bagi tenaga kerja mahir yang sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kedah dan Malaysia.
“Sekurang-kurangnya 5,000 jurutera dalam disiplin berkaitan diperlukan oleh AT&S dalam fasa pertama yang akan mula beroperasi pada tahun 2024. Ini akan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah dan Malaysia,” ujar beliau.
AT&S merupakan peneraju global pengeluar utama dunia bagi pembuatan produk papan litar bercetak (PCB) dan substrat litar bersepadu (IC) sebagai komponen dalam peranti mudah alih, elektronik industri, aplikasi automotif dan teknologi perubatan.
Menurut Gerstenmayer, AT&S setelah mencari lokasi secara intensif di seluruh dunia akhirnya memilih Asia Tenggara untuk membawa pelaburan terbesar pertama kali syarikat itu selepas di Austria, India, China dan Korea Selatan.
KHTP di Kedah, Malaysia katanya, telah muncul sebagai lokasi di mana syarikat itu ingin terus maju membawa generasi baharu membangun sektor teknologi tinggi dan canggih dengan strategi ‘More Than AT&S’.
Dimaklumkan, pelaburan syarikat ini di samping pembuatan produknya juga adalah bersama sejumlah besar kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekali gus memperkukuhkan Malaysia sebagai pusat pembuatan teknologi tinggi di Asia.
Pelaburan besar ini juga jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan walaupun dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi.
Pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dan Exco Pelaburan Negeri, Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail serta wakil agensi kerajaan. – HARAKAHDAILY 23/6/2021
3 comments:
Yg ni sure tiada komisyen masuk poket. Duit haram tu jika masuk pokek. Bagi anak bini makan duit haram macam yg atok buat.
Allahuakbar saya mohon maaf tersalah baca, saya tak perasan perkataan "... tiada komisen masuk. ."
Semoga pelabur kembali melabur di malaysia dgn pas peneraju utama. Zaman atok ramai pelabur tutup pelaburan di malaysia. Dan pindah ke vietnam dan negara lain di asia tenggara. Sudahnya malaysia jatuh bawah paras thailand, vietnam, indonesia. Pentadbiran kuku besi atok dan dgn regim firaun, buat pelabur gerun benci dgn kerajaan atok.
Post a Comment