Monday, June 07, 2021

Sanusi sedia maaf wanita dakwa MB langgar SOP

 

ALOR SETAR: Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor bersedia memaafkan seorang wanita yang mendakwanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan pandu uji kenderaan di Juru Sabtu lalu.

Menurutnya kesediaannya memberi kemaafan tidak mengira sama ada beliau di pihak betul atau pun dakwaan wanita itu benar.

“Saya sedia memaafkan makcik itu (wanita). Kalau niat dia buruk pun saya maafkan. Kalau dia berniat baik saya puji sikapnya.

“Malah saya juga memaafkan semua yang pernah memaki hamun saya tidak kiralah kes apa-apa pun,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Pusat Rawatan Covid di Dewan A-Farabi hari ini.

Baru-baru ini, pemilik media sosial yang menggunakan nama ‘Nini Siron’ mendakwa Sanusi melakukan pandu uji kereta tersebut.

Kejadian itu didakwa berlaku ketika Menteri Besar Kedah bersama pemandu dan pengawal peribadi berhenti di Juru untuk membeli makanan ketika perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan.

Sanusi berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan walaupun yakin tidak berlaku sebarang pelanggaran SOP ketika kejadian pada petang 5 Jun lalu.

“Saya tidak memandu kereta itu hanya duduk di dalam kereta di sebelah jurujual manakala pengawal peribadi saya duduk di belakang.

“Walau bagaimana pun saya serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan sama ada kejadian petang itu ada kaitan dengan pelanggaran SOP PKP 3.0.

“Saya tak kata saya tak salah tetapi seandainya ia satu pelanggaran SOP, saya minta maaf kerana ia berlaku secara kebetulan,” ujar beliau.

Menurutnya juga beliau tidak hairan sekiranya tularan memburuk-buruknya sering berlaku sehingga sering dianggap Menteri Besar Kedah kontroversi.

Beliau juga berharap netizen tidak menyalahkan jurujual kereta terbabit kerana melayannya dengan baik ketika singgah di ruang pameran kenderaan tersebut.

“Orang yang ambil gambar itu pun mungkin niat baik nak tunjuk pemimpin langgar SOP. Cuma dia tak pun tanya saya dulu mai situ buat apa. Mungkin dia fikir saya rentas negeri kerana nak beli kereta,” jelasnya.

Menurutnya juga sekiranya perbuatan itu dianggap sebagai satu kesalahan, beliau sedia membayar denda (kompaun) semua yang terlibat termasuk juru jual kenderaan berkenaan.

Sanusi turut menasihatkan pemilik media sosial ‘Nina Siron’ menggunakan peluang kemudahan gajet bagi membantu kerja-kerja kebaikan.

“Kalau dia perlu gajet yang baik untuk dapatkan gambar lebih jelas, saya bersedia hadiahkan untuknya gajet baharu.

“Tetapi ambil gambar yang baik-baik dan sebar untuk tujuan kebaikan,” tambahnya yang juga Adun Jeneri.

Sehubungan itu beliau menasihatkan netizen menghentikan budaya memburukkan orang lain di media sosial. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

No comments:

Post a Comment