Sopiah Shariff, 65 menerima bantuan Bakul Prihatin oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Flat Desa Pandan. - Foto AZIAH AZMEE
KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,000 bakul makanan mengandungi barangan keperluan makanan, diedarkan serentak kepada golongan yang memerlukan di enam zon di seluruh Parlimen Titiwangsa, hari ini.
Timbalan Ketua Program Bantuan Bakul Makanan, Mohd Khairul Nizam, berkata pengedaran bakul makanan itu dilakukan di Desa Pandan, Maluri, Ampang, Kampung Pandan, Datuk Keramat dan Kampung Baru.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Belia Kawasan Titiwangsa berkata, edaran bakul makanan itu dibuat bagi membantu golongan B40 yang terkesan berikutan situasi pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
"Bagi kawasan Desa Pandan secara khususnya hari ini, sebanyak 450 bantuan bakul makanan diedarkan kepada golongan yang sudah dikenal pasti dengan kerjasama persatuan penduduk di kawasan ini.
"Pengagihan barangan makanan termasuk beras, tepung, minyak masak dan gula ini diharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan dalam suasana yang mencabar ini.
"Majlis Belia Titiwangsa turut menggerakkan sejumlah 30 sukarelawan bagi memudahkan pengagihan bakul makanan kepada penduduk terutamanya golongan warga emas atau mereka yang sakit dan tidak mampu bergerak," katanya ketika ditemui ketika pengagihan dilakukan di Apartment Anggerik, Desa Pandan, di sini.
Sebelum ini Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, agihan bantuan bakul makanan di kawasan Parlimen Titiwangsa dibuat secara menyeluruh bagi memastikan tiada golongan memerlukan yang tercicir.
Warga emas, Sopiah Shariff, 65, berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan dan Ahli Parlimen Titiwangsa yang menggerakkan pasukannya bagi membantu penduduk di kawasan itu.
Sopiah yang kini tinggal bersama anak perempuannya berkata, bantuan berbentuk makanan yang diterima dapat membantu meringankan perbelanjaan harian yang terpaksa dikeluarkan pada ketika ini.
"Sekarang saya tinggal berdua bersama anak perempuan yang bekerja di sebuah pasar raya. Saya pun tak larat membuat kuih untuk dijual selepas suami meninggal, tahun lalu.
"Selalunya anak saya beli barangan keperluan tapi dengan bantuan ini, dapatlah perbelanjaan kami dikurangkan dan boleh berjimat-cermat," katanya.
KL
No comments:
Post a Comment