Wednesday, July 28, 2021

COVID-19: Indonesia catat 2,069 kematian dalam 24 jam

 

Jumlah kematian akibat COVID-19 di Indonesia meningkat. - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia mencatatkan 2,069 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam, dengan lebih 45,000 kes baharu.

Rekod kematian tertinggi pernah dicatatkan adalah pada minggu lalu dengan 1,566 kematian.

Jumlah kes baharu turut meningkat mendadak hari ini berbanding 28,000 pada Isnin.

Kementerian kesihatan berkata, jumlah berkenaan dicatatkan selepas ia melonggarkan sekatan dengan membenarkan gerai, restoran dan pusat beli-belah dibuka semula selepas sekatan pergerakan selama tiga minggu.

Namun, pakar kesihatan memberi amaran bahawa langkah itu boleh mencetuskan gelombang baru berikutan varian Delta mula dikesan di negara berkenaan.

Pusat beli-belah dan masjid di kawasan yang kurang terjejas juga dibenarkan beroperasi bermula semalam, dengan jumlah pengunjung yang terhad.

Bagaimanapun, kerja dari pejabat masih belum dibenarkan.

Indonesia setakat ini mengelak daripada mengenakan sekatan pergerakan penuh sebagaimana beberapa negara berhampiran.

Namun, kerajaan republik itu dikritik hebat atas polisi dan caranya mengawal pandemik yang dilihat lebih mementingkan ekonomi berbanding kesihatan awam.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) dikatakan merujuk kepada angka jangkitan harian dan kemasukan ke hospital yang menurun untuk melonggarkan sekatan.

Bagaimanapun, varian Delta kini sudah dikesan di beberapa wilayah di luar Jakarta termasuk Jawa dan Bali di mana jumlah jangkitan meningkat ketara beberapa minggu kebelakangan ini.

Kadar peratusan vaksinasi masih jauh di bawah sasaran sejuta dos sehari ditetapkan kerajaan dan kurang tujuh peratus daripada 270 juta penduduknya sudah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes positif yang dicatatkan di Indonesia adalah lebih 3.2 juta dengan 86,835 kematian namun, pihak berkuasa menyatakan angka sebenar jauh lebih tinggi. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails