Pengurus penerbitan, Kamisah Abd Manap (lima dari kiri) bersama pasukannya dibantu syarikat produksi, penerbit dan artis membantu kru balik tabir yang terjejas teruk berikutan tidak bekerja. - Foto Kamisah Abd Manap
KUALA LUMPUR: Cukup terkenal dalam kalangan kru syarikat produksi dan artis, pengurus penerbitan, Kamisah Abd Manap tidak mampu membiarkan teman-teman yang terkesan dengan pandemik COVID-19, mengharungi detik sukar ini.
Umpama keluarga sendiri, Kamisah yang mesra disapa Kam tidak sampai hati melihat kru produksi terhimpit apabila hilang mata pencarian berikutan penutupan sektor industri kreatif.
Berbekalkan semangat mahu membantu saudara sendiri, Kam melalui syarikat pengurusan artis dimilikinya, Kam2u dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain melancarkan program amal, Jihad Anak Seni, sejak bulan lalu.
Kam berkata, pada mulanya, mereka membantu pekerja belakang tabir yang terjejas teruk berikutan tidak boleh bekerja di lokasi penggambaran.
Fizo Omar dan pengurus penerbitan, Kamisah Abd Manap berganding bahu bagi membantu rakan artis, kru yang terputus mata pencarian sejak penularan COVID-19. - Foto Kamisah Abd Manap"Apatah lagi, ada dalam kalangan mereka mengadu nasib dan menghantar mesej melalui pelbagai platform memberitahu hidup susah sejak pandemik tahun lalu.
"Hati kecil saya, sebagai insan yang akrab dengan mereka, saya tidak sampai hati membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja. Jadi, saya gunakan kemampuan yang ada untuk membantu mereka," katanya kepada BH Online.
Kam berkata, Jihad Anak Seni turut dibantu syarikat produksi, penerbit dan artis untuk membantu kru dan pekerja belakang tabir yang memerlukan.
Antara mereka yang tampil membantu adalah pelakon, Fizo Omar melalui syarikatnya, Fizo Omar Channel dan syarikat produksi, Saphire Screen Sdn Bhd.
Kam berkata, pihaknya turut membantu artis yang terputus mata pencarian sejak penularan COVID-19.
"Bantuan diagihkan secara berperingkat. Sampai sekarang, sudah lebih 400 kru dan artis kita bantu melalui sumbangan barang dapur dan keperluan asas.
"Sempena Aidiladha, kita beri bantuan bersama syarikat produksi, Zamriez Golden Pictures Sdn Bhda dan Biro Kebajikan Pejuang Pusat.
"Tidak ketinggalan, ada juga sumbangan daripada rakan-rakan dan artis," katanya.
Kam berkata, agihan bantuan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) melalui konsep pandu lalu di lokasi tertentu.
"Kita buat agihan bantuan secara pandu lalu bagi memudahkan semua pihak dan mengekang penularan wabak COVID-19," katanya.
Kam berkata, misi menghulurkan bantuan akan diteruskan selagi kerja penggambaran belum dilaksanakan sepenuhnya. Ketika ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya membenarkan kerja 'shooting' dilakukan di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Kita mengalu-alukan mana-mana pihak atau syarikat produksi yang mahu menyumbang barangan atau wang ringgit," katanya yang boleh dihubungi melalui Instagram@kam2u. (BH)
No comments:
Post a Comment