Wednesday, July 28, 2021

Ku Lalui Jalan Tikus, Badau Ke Lubuk Antu. (Id-M'sia)

 

Pejabat Imigresyen di Badau, Indonesia.

CATATAN PERJALANAN IBNU HASYIM

"PAK, saya hendak pergi ke Malaysia melalui sini, bisa Pak?" Aku tanya pegawai imigresyen di Pekan Badau. 

Pagi lagi aku sudah sampai terhencot-hencot di kantornya yang baru dibuka, ku tunjukkan pasportku. (Kakiku terhencot-hencot kerana terjatuh di tangga hotel pekan Badau semalam).

"Oh, silakan masuk ke kamar saya." Dia mempelawa aku masuk ke bilik khasnya. "Silakan duduk." Dia membelek-belek pasortku.

"Kami tidak bisa mengeluarkan cop keluar dari sini, kerana pintu masuk ke Malaysia dari sini masih belum dibuka lagi oleh kerajaan Indonesia. Akan datang bisa, tapi sekarang tak bisa, kerana masih dalam proses pembinaan." Kata ketua pegawai imigresyen itu. "Tuan kena keluar melalui pintu Entikong."

Suasana Perbatasan Indonesia - Malaysia di Kalimantan Barat.

Kecamatan Entikong, Kebupaten Sanggau, masih dalam Kalimantan Barat, tetapi agak jauh dari situ, kena pusing balik jalan yang aku datang dulu, memakan puluhan kilometer

"Memang tidak ada jalan resmi ke Malaysia melalui Badau ini.."kata pemandu ojek (motosikal sewa) yang membawa aku ke situ. "Tetapi ramai orang-orang Malaysia datang ke sini melalui 'jalan tikus'. Lorong bawah, lorong gelap tidak resmi.. terutama semasa pesta 'laga ayam'." Jelasnya lagi.

"Ada??" Jawabku gembira. Aku pilih jalan itu. Si ojek itu mencari temannya yang boleh bantu aku melalui jalan tersebut.

Aku pun bertolak dengan membonceng di belakang motosikal temannya yang membawa aku itu. Kami berdua berangkat. Memulai dengan melalui semak-semak dan hutan yang tidak tebal. Tidak sampai satu kilometer, kami terjerembab dengan seorang wanita bertudung, memakai seluar panjang, baju agak labuh.. "Wanita Iban Islam?" Aku tanya kawanku itu.

"Ya!" Jawabnya. Mungkin rumahnya sekitar sini."

Sebenarnya, sebahagian besar suku Dayak di wilayah selatan dan timur kalimantan yang memeluk Islam tidak lagi mengakui dirinya sebagai orang Dayak, tapi menyebut dirinya sebagai atau orang Banjar dan Suku Kutai. Begitu menurut cerita dari suatu sumber yang ku perolehi.

Sedangkan orang Dayak yang menolak agama Islam kembali menyusuri sungai, masuk ke pedalaman, bermukim di daerah-daerah Kayu TangiAmuntaiMargasari, Watang Amandit, Labuan Amas dan Watang Balangan. Sebahagian lagi terus terdesak masuk rimba. Orang Dayak pemeluk Islam kebanyakan berada di Kalimantan Selatan dan sebagian Kotawaringin.

Salah seorang pimpinan Banjar Hindu yang terkenal adalah Lambung Mangkurat menurut orang Dayak adalah seorang Dayak (Ma’anyan atau Ot Danum). Di Kalimantan Timur, orang Suku Tonyoy-Benuaq yang memeluk Agama Islam menyebut dirinya sebagai  Suku Kutai. Tidak hanya dari Nusantara, bangsa-bangsa lain juga berdatangan ke Kalimantan.

Motosikal kami terus melalui estet kelapa sawit. Jalan tanah merah, becak-becak baru lepas hujan. Terus mendaki bukit dan menuruni lembah. Kadang-kadang aku terpaksa turun dari motosikal jalan kaki, untuk meringankan beban motosikal supaya ringan mudah mendaki. Akhirnya sampai di penara, tempat paling tinggi sempadan Malaysia-Indonesia, atau Badau-Lubuk Antu. (Seperti gambar di bawah).

Inilah 'jalan tikus' itu.. Perbatasan antara Badau-Lubuk Antu.
Antara pos tentera di sempadan.

"Nun di sana, sudah masuk dalam wilayah Malaysia. Sini, batasnya." Katanya kepadaku dengan kepuasan.

"Al-hamdulillah!" Jawabku, sambil menikmati panorama indah.

Gunung-ganang menghijau, di bawah serkup langit yang putih kebiruan. Unggas yang berterbangan bebas riang ria. Serangga kecil comel berdesing berbunyian. Oh! Dari tempat tinggi ku lihat bahagian dari keluasan dan kebesaran alam sejagat. Tetapi besar dan hebat lagi Penciptanya. Allahu Akbar!

"Lepas ini, ada beberapa lagi sekatan dari polis dan tentera Malaysia." Katanya, menyentakku dari lamunan. "Bapa diam-diam jangan cakap apa-apa. Itu urusan saya.. biasanya akan beres semua, kita akan sampai ke Lubuk Antu, dengan selamat."

"Insya Allah!" Jawabku, mudah-mudahan.

Lubuk Antu dari atas..

Bersambung..

Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

Mac 2012
Pontianak, Kalimantan Barat.



Lihat catatan sebelum ini...

E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan
E-Buku IH-51: Perjalanan Ke Kalimantan

No comments:

Post a Comment