Tuesday, July 13, 2021

Rogol 7 (ii): ADUN DAP Tronoh, 2 saksi beri keterangan.

 

ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong. - Foto fail

Kes rogol ADUN Tronoh, 2 saksi beri keterangan secara tertutup

IPOH: Dua saksi dilindungi termasuk mangsa kes rogol pembantu rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, hadir memberi keterangan secara tertutup di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Prosiding membabitkan kedua-dua saksi itu dimulakan dengan keterangan mangsa pada kira-kira jam 2.15 petang sebelum mereka memberi keterangan mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Bagaimanapun, saksi ke-15 dan saksi ke-16 itu hanya boleh dilihat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, manakala pihak pendakwaan dan peguam pula boleh mendengar suara saksi tanpa melihatnya ketika memberi keterangan.

Petugas media yang hadir juga tidak dibenarkan merakam gambar dan mendengar prosiding ketika saksi terbabit memberi keterangan, namun dapat membuat liputan ketika pegawai siasatan tempat kejadian, Inspektor V Simon, 38, dari Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menyambung keterangan pagi tadi.

Simon memberitahu mahkamah, pihaknya melakukan pemeriksaan 'polilight' pada lapan kesan tompokan disyaki air mani ditemukan pada sarung tilam di tempat kejadian berdasarkan maklumat pengadu sebelum ia dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan.

"Sebagai penugasan forensik, kami membuat pemeriksaan menggunakan 'polilight' dengan kesan cahaya yang kami temukan, dibuat penandaan dan hantar ke Jabatan Kimia untuk ahli kimia membuat pemeriksaan secara khusus.

"Dalam penggunaan 'polilight' ini perbezaan untuk menentukan cecair biologi antara air mani, air kencing, darah dan air liur adalah pada warna yang kami kesan pada permukaan yang kami buat pemeriksaan.

"Contohnya kesan air mani apabila disuluh pada permukaan itu, sejenis cecair lut sinar putih akan bersinar dan kami anggap ia air mani, disyaki saja bukan sahkan air mani dan kami buat penandaan untuk analisa di Jabatan Kimia," katanya ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Paul Yong.

Beliau berkata, pihaknya turut menghantar dua 'swabbing stick' yang ditemukan di tempat kejadian kepada Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi, Simon berkata, pihaknya tidak menjalankan pemeriksaan 'polilight' pada mop yang dirampas kerana ia sudah dicuci dan terus menghantarnya untuk dianalisa Jabatan Kimia.

Simon bagaimanapun bersetuju pasukan forensik pergi ke lokasi selepas 38 jam kejadian berlaku iaitu kira-kira jam 12.10 tengah hari pada 9 Julai 2019 dan pengaduan dibuat selepas 22 jam waktu kejadian, selain bersetuju siasatan forensik dibuat secara khusus berdasarkan maklumat diberikan pengadu yang membawa ke sebuah bilik tingkat satu rumah Paul Yong ketika disoal Rajpal.

Semalam, Simon dalam keterangannya berkata, lapan kesan tompokan disyaki air mani ditemukan pada sarung tilam di rumah Paul Yong, selain empat helai rambut.

Seramai 14 saksi memberi keterangan pada perbicaraan bermula 5 April lalu dan dijangka mahkamah akan memanggil 10 lagi saksi termasuk dua saksi dilindungi untuk memberi keterangan.

Paul Yong, 51, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di kediamannya di Meru Desa Park di sini antara jam 8.15 malam dan jam 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

ADUN Tronoh itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Azlina Rasdi; Liyana Zawani dan Ainul Wardah Shahidan, manakala pasukan pembelaan diwakili Rajpal, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah. – BERNAMA

Ikutilah siri-siri terkini kes rogol berikut..

Rogol 1:Pasngan Suami-Isteri rogol gadis di Bukit Tinggi.  Rogol 2: Dipenjara 1,050 tahun, 24 sebatan.  Rogol 3: Budak 10 tahun didapati hamil di Sarawak.... Rogol 4: Babitkan wanita kasta rendah di IndiaRogol 5: Bukti Gagalnya Barat. Perancis X dapat Me...  Rogol 6: Persundalan Elit. Pengasas Sugarbook dita...  Rogol 7: Kes Rogol ADUN Tronoh. Esok sambung lagi.  Rogol 7 (i): ADUN Tronoh. 2 kesan koyakan baharu p... Rogol 8: Da'i, rogol + setubuh di luar tabii. Rogol 9: Serah bukti dakwaan ADUN Gombak Setia ja...  Rogol 7 (ii): ADUN DAP Tronoh, 2 saksi beri keter...

No comments:

Post a Comment