Nasihat Rasulullah SAW kepada raja dan pemimpin
SABDA Rasulullah SAW:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.
“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” (Riwayat Abu Dawud 2932)
Rasulullah SAW ialah manusia yang dipilih oleh Allah SWT menjadi contoh dan teladan kepada seluruh manusia dalam kehidupan dunia sehingga akhirat. Hal ini berpandukan kepada firman Allah:
﴿لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا٢١﴾
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kalian pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan baik) pada Hari Akhirat, serta dia juga menyebut-nyebut dan mengingati Allah sebanyaknya (ketika masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)
Secara khusus Baginda SAW menjadi teladan sebagai seorang ketua negara, sama ada seorang raja atau seorang pemimpin. Bukan sahaja teladan dari sudut amalannya, bahkan juga memberikan peringatan dan nasihat kepada umatnya secara lisan, kerana Baginda SAW mahukan seluruh umatnya terselamat di dunia dan akhirat.
Ketua negara, raja atau pemimpin utama ialah jawatan atau kedudukan yang menjadi amanah paling besar bagi manusia yang ditolak oleh makhluk langit dan bumi kerana takutkan balasan Allah SWT. Firman-Nya:
﴿إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا٧٢﴾
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tanggungjawab) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tiada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat jahil.” (Surah al-Ahzab: 72)
Kedudukan seorang pemimpin menjadi rebutan pada akhir zaman kerana ia merupakan peluang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan dunia semata-mata. Akan tetapi, melupakan tanggungjawab yang akan dibawa ke Hari Akhirat dan segalanya akan dihisab kelak.
Apabila seseorang pemimpin itu leka atau lemah imannya, maka sering kali jawatan paling tinggi itu dijadikan tempat bagi mengejar kekayaan sehingga tiada lagi kepuasan. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
وَلَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ.
“Dan jika seseorang anak Adam (manusia) itu diberikan satu lembah yang dipenuhi dengan emas, nescaya dia mahu memiliki dua lembah yang lain lagi; dan tidak akan dapat memuaskannya melainkan mulutnya dipenuhi dengan tanah (ditimbus setelah mati). Namun, Allah menerima taubat sesiapa yang bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Bukhari 6439 dan Muslim 1048)
Begitu juga para pemimpin yang dikelilingi oleh para pengampu yang menipu dan melalaikan bersamanya. Mereka itu dianggap sebagai kawan yang setia, tetapi sebenarnya makhluk perosak yang mengipasnya supaya terus lalai dan leka.
Namun begitu, fadilat yang sangat besar kepada sesiapa yang dapat menunaikan amanah kepimpinan mengikut perintah Allah SWT. Sehingga mendapat kedudukan pertama untuk berada di bawah naungan Allah SWT di Padang Mahsyar yang menakutkan kelak.
Hal tersebut sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لا ظِلَّ إلَّا ظِلُّهُ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ…
“Tujuh jenis manusia yang dinaungi Allah pada hari yang tiada tempat bernaung (Hari Kiamat) melainkan naungan-Nya; pertamanya ialah imam (pemimpin atau raja) yang adil…” (Riwayat al-Bukhari 660 dan Muslim 1031)
Jika seseorang Rasul itu menjadi pemimpin, Baginda mendapat petunjuk secara langsung daripada Allah SWT melalui penurunan wahyu. Adapun jika seseorang manusia biasa pula menjadi pemimpin, tidak cukup dengan ilmu dan kebijaksanaan akalnya sahaja tetapi mestilah didampingi oleh penasihat daripada kalangan menteri dan para pegawai yang berakhlak mulia, secara zahirnya bijak dan batinnya benar dan ikhlas. Benar percakapan dan hatinya, ikhlas pada niatnya kerana Allah SWT dan bertaqwa (takut) kepada-Nya.
Seseorang raja atau pemimpin akan menempah kejahatan, sekiranya didampingi oleh pembohong yang mengampu, tidak ikhlas dan tidak bertaqwa kepada Allah SWT. Mereka menghormati pemimpin itu hanya kerana takut kepada makhluk, bukan takut kepada Allah SWT atau hanya mengejar dunia yang merosakkan.
Justeru itu, Khalifah Islam yang pertama, Saidina Abu Bakar RA sebaik sahaja dipilih, terus menyampaikan ucapannya:
أَيُّهَا الناَّس، إِنِّي قَدْ وُلِّيْتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِيْنُوْنِيْ، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوْنِيْ، اَلصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَاْلكِذْبُ خِياَنَةٌ، وَالضَّعِيْفُ فِيْكُمْ قَوِيٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ لَهُ إِنْ شَاءَ اللهِ، وَالْقَوِيٌّ فِيْكُمْ ضَعِيْفٌ عِنْدِيْ حَتَّى آخِذُ الْحَقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللهُ، لاَ يَدْعُ قَوْمٌ الجِهَادَ فِيْ سَبِيْلِ اللّهِ إِلاَّ ضَرَّبَهُمُ اللهُ بِالذُّلِّ، وَلاَ تَشِيْعَ الْفاَحِشَةَ فِيْ قَوْمٍ قَطٌّ إِلاَّ عَمَّهُمُ اللهُ بِالْبَلاَءِ، أَطِيْعُوْنِيْ ماَ أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَلاَ طاَعَةَ لِيْ عَلَيْكُمْ.
“Wahai semua orang (yang hadir)! Aku telah dilantik menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka, jika sekiranya aku seorang yang berlaku baik, bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkanlah diriku. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kalian menjadi kuat di sisiku, sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat pula menjadi lemah di sisiku, sehingga aku bertindak ke atasnya dengan cara yang benar (adil) insya-Allah. Janganlah kalian meninggalkan kewajipan jihad (menegakkan Islam), kerana tiada sesuatu kaum yang meninggalkan kewajipan itu nescaya Allah timpakan kehinaan ke atas mereka. Taatilah aku, selagi aku mentaati Allah dan Rasul. Maka, apabila aku menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka kalian jangan mentaatiku.” (Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, jld. 2, ms. 192)
Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA juga pernah berkata:
أَيُّهَا النَّاس مَنْ رَأَى مِنْكُمْ فِيَّ اعْوِجَاجًا فليقومه.
“Wahai kalian semua, jika sekiranya kalian melihatku terpesong, maka perbetulkanlah diriku.”
Pada suatu hari, Khalifah ‘Umar RA bersama beberapa orang yang mengiringinya, tiba-tiba beliau ditahan oleh seorang perempuan tua. Lalu berkata kepadanya:
أَيُّهَا عُمَر! عهدتُكَ وَأَنْتِ تُسَمَّى عُمَيْرًا فِي سُوقِ عُكَاظ تذعر الصِّبْيَان بَعَصَاكَ فَلَمْ تَذْهَب الْأَيَّام حَتَّى سُمِّيتَ عُمَر ثُمَّ لَمْ تَذْهَب الْأَيَّام حَتَّى سُمِّيتَ أَمِير الْمُؤمنِينَ.
“Wahai ‘Umar! Aku mengenalimu sejak kecil yang dikenali pada masa muda remaja sebagai ‘Umair, kamu bermain di pasar ‘Ukaz menakutkan kanak-kanak yang lain dengan tongkatmu. Setelah berlalu masa, engkau menjadi seorang yang bernama ‘Umar (seorang yang gagah perkasa). Setelah beberapa lama sehingga sekarang, engkau dinamakan Amir al-Mu’minin (pemimpin kepada orang-orang yang beriman).
فَاتَّقِ الله فِي الرَّعِيَّةِ وَاعْلَمْ أَنَّهُ مَنْ خَافَ الْوَعِيد قرب عَلَيْهِ الْبَعِيد وَمَنْ خَافَ الْمَوْت خَشِيَ عَلَيْهِ الْفَوْت.
Wahai ‘Umar! Bertaqwalah kamu kepada Allah dalam mengendalikan urusan rakyat! Ketahuilah bahawa sesiapa yang takut akan azab (pada Hari Kiamat), nescaya yang jauh (selamat di syurga) akan dirasakan hampir. Sebaliknya, sesiapa yang takutkan mati, nescaya dia akan takut kehilangan.”
Khalifah ‘Umar RA terus menunggu bagi mendengar nasihat perempuan itu.
Salah seorang pengiringnya, iaitu al-Jarud berkata:
قَدْ أَكْثَرت أَيَّتُهَا الْمَرْأَة عَلَى أَمِيرِ الْمُؤمِنِينَ.
“Wahai perempuan! Engkau telah banyak bicara kepada Amir al-Mu’minin.”
Lalu Khalifah ‘Umar RA berkata:
دَعْهَا أما تعرف هَذِهِ؟ هَذِهِ هِيَ خَوْلَةُ بنت ثَعْلَبَة الَّتِي سَمِعَ اللهُ قولها مِنْ فَوق سَبْعَ سَمَوَاتٍ، فَعُمَر أَحَقُّ أَنْ يَسْمَعَ لَهَا. وَاللهِ لَوْ أَنَّهَا وَقَفْتُ إِلَى اللَّيْلِ مَا فَارَقْتُهَا إِلَّا لِلصَّلَاةِ ثُمَّ أَرْجِعُ إِلَيهَا.
“Biarkan dia! Tahukah kamu siapa perempuan ini? Inilah Khaulah binti Tha‘labah. Perkataannya telah didengari oleh Allah dari tujuh petala langit (pengaduannya menjadi sebab turunnya beberapa ayat daripada Surah al-Mujadilah). Maka, ‘Umar lebih berhak untuk mendengar percakapannya. Kalau dia bercakap panjang lagi sehingga tiba waktu malam, nescaya, ‘Umar akan berdiri mendengarnya, kecuali kerana pergi sembahyang, kemudian aku datang lagi mendengarnya.” (Ibn al-Mibrad, Mahd al-Sawwab fi Fada’il Amir al-Mu’minin ‘Umar bin al-Khattab, jld. 3, ms. 776-777 / Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Isobah fi Tamyiz al-Sohabah, jld. 8, ms. 115)
Begitulah sifat dan akhlak Khalifah ‘Umar RA yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia pada zamannya. Beliau memerintah sebuah kerajaan yang menjadi kuasa besar paling kuat dan luas wilayah pemerintahannya. Beliau ialah seorang Khalifah yang bersifat tawadhu‘ dan sedia menerima nasihat yang baik.
Rasulullah SAW juga mengekalkan raja yang menerima Islam untuk meneruskan pemerintahan negara masing-masing sepertimana Raja Oman, Raja Habsyah dan beberapa daerah di Yaman.
Demikianlah betapa kasihnya Rasulullah SAW kepada seluruh umatnya, bermula daripada kalangan rakyat biasa sehinggalah para pemimpin dan raja. Baginda SAW berharap agar semua selamat di dunia dan di akhirat, apabila bersama dengan petunjuk Allah SWT. Firman Allah SWT:
﴿لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ١٢٨ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ١٢٩﴾
“Sungguh telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kalangan kaum kalian sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), seorang yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kalian, seorang yang sangat tamak (inginkan) kebaikan untuk kalian, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (128); Kemudian, jika mereka berpaling ingkar (daripada keimanan), maka katakanlah (wahai Muhammad): “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan-Nya; hanya kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah Tuhan yang memiliki ‘arasy yang agung.’ (129).” (Surah al-Taubah: 128-129)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Zulhijjah 1442 / 2 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 2/8/2021
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malaysia kini, al-hamdulillah. Semoga negara aman makmur dalam keredhaan Allah!
Nasihat Rasulullah SAW kepada raja dan pemimpin
ReplyDeleteSABDA Rasulullah SAW:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.
“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” (Riwayat Abu Dawud 2932)
Dalam bahasa mudah nya bila jumpa sesorang atau puak yang cuba menghasut atau mengajak ke arah kepentingan sesuatu puak "kena bawak otak bukan pisau".
Walau ternampak puak puak itu selalu mengunakan ayat 'rakyat, rakyat sana rakyat sini' bukan bermakna untuk rakyat sebenar nya untuk puak puak walau itu sebenarnya.
#bawakotakyerbukanpisau
Ingat dulu kat perak apa yg berlaku.. Apa kata pemimpin PAS pada ketika itu.
ReplyDeletePru 15..kami akan ajar kamu ye
ReplyDeleteMasa tu bawa bendera putih. Rayu undi kami ye
ReplyDeleteJika ph bersama pn pun... Kami tolak
ReplyDeleteWahai wakil rakyat.. Ada pergi tgk kawasan ke... Ada yg lapar ke.. Kamu mmg dah kenyang
ReplyDelete