GENTING Highlands yang masyhur terkenal sebagai Pusat Peranginan dan Perjudian seumpama Macau dan Las Vegas sebenarnya ‘cancer’ buat negara ini. Dari puncak tertinggi yang amat nyaman lagi indah ini hakikatnya turun laju ke lembah luas segala lahar teramat panas rantaian maksiat dan jenayah.
Kini adalah masa terbaik untuk kerajaan melakukan ‘reset’ kehidupan rakyat dan menagih keredhaan Allah S.W.T buat negara ini dengan menghenti dan membuang terus aktiviti arak dan judi. Ia mesti bermula dari Genting Highlands kerana selama ini menjadi simbol kemegahan dan sarang pusat kepada maksiat.
Membanteras dari titik penyakitnya adalah dorongan dan political will untuk kerajaan melangkah bagi menghapuskan industri noda dosa ini dari terus beroperasi di seluruh negara. Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan masing-masing mempunyai punca kuasa sendiri.
Sekonyong-konyong peruntukan perundangan yang ada, kerajaan negeri dapat menyekat dengan tidak lagi mengeluarkan lesen premis. Manakala kekuatan kuasa Kerajaan Pusat adalah tidak melanjutkan permit operasi. Dengan itu, menutup kegiatan arak dan judi di Genting Highlands bukan ‘misi mustahil’.
Ya benar, mungkin selama ini dari industri tersebut menjadi sebahagian pendapatan ke akaun kerajaan. Mungkin rambang mata dapat ‘mengutip’ wang tunai dalam jumlah yang banyak dengan sebegitu kerap. Tetapi mengakulah, poket negara ini bocor membiayai akibat buruk dari arak dan judi.
Tidak mungkin dengan kewarasan dikurniakan Allah ini dibiarkan lagi segala kebejatan dan kesengsaraan terus saling bergelumang mengganggu kebahagian hidup yang dicari di dunia ini. Kemusnahan diakibatkan oleh judi dan arak sudah menjadi bicara yang lumat tidak perlu diwacana forumkan lagi.
Jenayah semakin kompleks dan licik yang muncul di era ini hingga terpaksa menggandakan kesiapsiagaan pasukan penguat kuasa dan peruntukan besar menanganinya sering kali ditemui berpunca dari judi dan arak. Hakikatnya, al-Quran telah memperingatkan kita 1,400 tahun yang lampau:
“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi.”
(al-Ma’idah: 91)
“Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
(al-Baqarah: 219)
Mari satukan kekuatan iman umat yang pastinya akan menyokong langkah menamatkan arak dan judi dari bumi bertuah bernama Malaysia ini. Merdekakan negara ini sekali lagi dari maksiat dan jenayah diangkara sebabkan dari dua perkara yang sangat dilarang oleh Allah dan Nabi S.A.W ini.
Sebaliknya mari bersihkan dan manfaatkan Genting Highlands dengan memasyhurkannya menjadi pusat peranginan dan pelancongan tempatan seperti Cameron Highlands dan global yang mesra untuk semua. Mari jana pendapatan yang terjamin halal dan lebih banyak melimpah ruah dari hasil kotor dan haram selama ini.
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
HAJI MD JUSOH DARUS
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Pahang
Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh – HARAKAHDAILY 28/8/2021
Elok sangat ditutup pusat judi tu. Semoga jadi kenyataan.
ReplyDeleteKlau Mat Kilau masih hidup, neschaya dia akan tentang kerejaan penipu/pelompat/geng extreme.
ReplyDeleteBiasanya yg suka guna 'kalau', dari jenis yg kuat persepsi dan retorik.
ReplyDelete