PORT DICKSON: Selepas beberapa lama tidak dapat berniaga berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasangan suami isteri nekad beralih kepada penanaman anggur selepas hilang minat terhadap kedai makan yang diusahakan sejak 12 tahun lalu.
Percubaan Ismail Mohd, 45, dan isterinya, Suhaili Ahmad, 44, membuahkan hasil apabila sejak setahun lalu mereka sudah menanam 80 anak benih daripada 21 jenis anggur.
"Pada mulanya ia hanyalah eksperimen sahaja. Saya belajar cara menanam melalui YouTube dan mendapatkan benih dari pelbagai tempat bagi mengisi masa lapang sepanjang tempoh PKP.
"Pada mulanya, ramai yang tidak percaya apabila dimaklumkan tanaman anggur mampu hidup dan membuahkan hasil di Port Dickson kerana ia bukan tanah tinggi (cuaca sejuk) seperti di Cameron Highlands," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Baru Si Rusa, hari ini.
Katanya, usaha ini turut dibantu isteri yang turut berminat kerana pokok anggur memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Jaga dia (pokok anggur) tidak susah cuma ia sensitif dengan hujan kerana boleh menyebabkan buahnya masam atau kurang manis jika air bertakung. Bagi mengelakkan pokok anggur ini rosak apabila hujan lebat, kami memasang bumbung penahan haba," katanya.
Ismail berkata, ada pihak mencadangkan supaya usahanya itu dijadikan projek komersial dan berharap kebun anggur ini akan turut menjadi tarikan pelancong ke Port Dickson satu hari nanti.
"Saya tanam pelbagai jenis tetapi yang berbuah baru tujuh jenis antaranya IAC, Jupiter, Isabella, Vales, Dakon, Alfonso dan Red Globe. Saya juga ada menjual benih pokok anggur berharga RM50 hingga RM200 mengikut jenis dan saiz pokok.
"Selain itu, jenis anggur yang mahal baka dari Jepun yang mana pokok jenis ini manja dan sedang membesar dinamakan 'Shine Muscat' yang buahnya besar, manis berharga RM300 sekilo dipasaran," katanya. (BH)
.
...
No comments:
Post a Comment