Saturday, August 07, 2021

Harga timun 30 sen kg, tolong cari jalan bantu petani..,

 

Mohd Azizol tidak dapat menjual timun yang diusahakannya di FELDA Kumai kerana harga pasaran sayuran itu terlalu rendah mencecah 30 sen sekilogram. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Sanggup lupus pokok, harga timun jatuh

BERA: "Disebabkan harga sayur timun yang terlalu rendah memaksa saya nekad memusnahkan 2,000 pokok di kebun terletak di FELDA Kumai yang sedang banyak mengeluarkan hasil.

"Dengan harga jualan di peringkat ladang cuma 30 sen sekilogram (kg) bagi gred A, tidak mungkin saya dapat meneruskan projek fertigasi itu yang memerlukan perbelanjaan besar, terutama bagi menyediakan baja setiap hari.

"Saya lebih rela musnahkan pokok daripada terus menanggung kerugian yang kini mencecah RM20,000," kata pekebun, Mohd Azizol Warman, 37.

Katanya, cabaran dalam sektor pertanian terutama tanaman sayuran ialah kejatuhan harga yang terlalu rendah disebabkan permintaan pengguna terlalu berkurangan.

"Perintah kawalan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan kerajaan ternyata memburukkan lagi keadaan apabila banyak pasar borong utama dan premis menjual sayur tidak dapat beroperasi bagi tempoh yang panjang," katanya.

Mohd Azizol berkata, sepanjang tempoh perintah kawalan PPN dua kali harga timun jatuh sehingga 30 sen kg menyebabkan beliau terpaksa menanggung kerugian lebih RM40,000.

"Bagi mengelak pembaziran, saya mengambil keputusan sedekah lebih dua tan timun yang dipetik kepada penduduk setempat.

"Ramai juga penduduk datang ke kebun untuk mengambil timun yang dipetik, sebelum tindakan melupuskan pokok dilakukan hari ini," katanya yang lebih lapan tahun mengusahakan tanaman sayuran menggunakan kaedah fertigasi.

Beliau berkata, tanaman timun menggunakan kaedah fertigasi memerlukan modal yang agak besar, terutama membabitkan penggunaan baja dan racun serangga.

"Apabila harga pasaran rendah bermakna pekebun akan menanggung kerugian. Hampir semua jenis sayuran berhadapan cabaran kejatuhan harga, namun tidak seteruk berlaku pada timun hingga mencecah 30 sen kg.

"Saya hanya mampu berdoa harga timun dapat naik dalam tempoh terdekat kerana dua lagi kebun di FELDA Sebertak dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tebing Tinggi, akan mengeluarkan tidak lama lagi.

"Sebanyak 6,000 pokok timun di dua projek itu, saya kini hanya bergantung kepada hasil jualan petola, peria dan terung dengan harga pasaran antara RM3 hingga RM4.50kg," katanya.

Komen Weblog Ibnu HasyimHarga timun 30 sen kg, tolong cari jalan bantu petani, takde kah pemimpin yang cerdik-cerdik berkreatif membantu rakyat?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails