Friday, August 06, 2021

Iran sedia import 1 juta tan minyak sawit M'sia, Al-hamduliillah!

 

PUTRAJAYA: Iran berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia berkaitan industri halal selain menyatakan hasrat untuk mengimport sehingga satu juta tan minyak sawit negara setahun.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohamad Khairuddin Aman Razali, berkata ia dinyatakan Duta Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi melalui pertemuan hari ini.

Beliau berkata, pertemuan julung kali bersama Ali Asghar itu dalam usaha mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran.

Menurutnya, ia susulan pertemuan beliau dengan Timbalan Menteri Perindustrian, Perlombongan dan Perdagangan Iran, Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai lalu.

Katanya, pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan hari ini khususnya membabitkan kerjasama kepakaran teknologi nano dimiliki Iran selain import sawit.

"Iran adalah negara keempat terbaik dunia dalam menghasilkan teknologi nano dan Ali Asghar turut mengajak Malaysia mengambil manfaat itu khususnya dalam kajian berkaitan sawit dan getah," katanya melalui kenyataan hari ini.

Tahun lalu eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu dianggarkan 320,000 tan dan dalam tempoh Januari sehingga Mei lalu sebanyak 238,683 tan dieksport ke Iran dengan nilai lebih RM970 juta.

Khairuddin berkata, dalam pertemuan hari ini, Ali Ashgar turut menekankan kepentingan industri keselamatan makanan dan Iran amat menghormati industri halal Malaysia sebagai yang terbaik di dunia.

Menurutnya, Iran juga sangat berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia berkaitan industri halal.

Katanya, kepentingan minyak sawit dalam memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan kini mencapai 2.2 juta tan setiap tahun dan Iran berhasrat untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia.

"Seperti sedia maklum potensi eksport minyak sawit ke Iran sangat baik dan kementerian melalui agensi berkaitan sedang merangka strategi bagi memenuhi permintaan itu.

"Malaysia juga akan menggunakan peluang ini untuk menjadikan Iran sebagai hab pengeksport semula ke negara-negara Timur Tengah yang dianggarkan mencecah penggunaannya sehingga 5.5 juta tan minyak dan lelemak setahun," katanya.

Jelas beliau, pihaknya berhasrat untuk melakukan lawatan rasmi ke negara berkenaan dalam masa terdekat bagi merealisasikan usaha kerajaan dalam meningkatkan pendapatan negara dengan Iran.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah, industri sawit bila dipimpin oleh pemimipin yang baik, tidak khianat akan terus berjalan lancar dan dredhai Allah SWT. Tetapi jika dipimpin oleh pemimpin tak cerdik, mungkin ada unsur khianat, mahu dimusnahkan, tebang ganti buluh!

Itulah PH 22 bulan ghuyup!

No comments:

Post a Comment