Tuesday, August 24, 2021

Kekalkan syarat baharu skim Malaysia Rumah Keduaku -Iskandar Abd Samad

 

KERAJAAN Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengekalkan pindaan kepada syarat-syarat Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang diumumkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Ogos lepas.

Telah terdapat desakan agar syarat-syarat asal dikekalkan namun kerajaan telah mengambil masa satu tahun untuk memutuskan syarat-syarat baharu dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat u-turn.

Skim ini telah ditangguhkan pada bulan Ogos tahun lepas akibat pandemik Covid-19 dan akan diaktifkan semula pada bulan Oktober ini.

Syarat-syarat baharu ini adalah wajar jika kerajaan mahu menarik mereka yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

Menaikkan syarat kelayakan bagi pendapatan bulanan luar negara peserta daripada RM10,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan adalah wajar kerana pendapatan RM10,000 sebulan bukan sesuatu yang luar biasa bagi seorang profesional yang telah bekerja lebih daripada 20 tahun di Malaysia.

Jika kerajaan mahu menarik mereka yang memiliki keupayaan kewangan yang lebih tinggi dan dapat menyumbang kepada ekonomi negara maka pendapatan mereka sepatutnya jauh lebih tinggi dari penduduk tempatan. RM40,000 sebulan sebagai. kelayakan minimum adalah wajar.

Keputusan agar peserta memiliki simpanan tetap minimum RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta mungkin tinggi di Malaysia. Tetapi ia mesti dinilai berdasarkan kemampuan rakyat di negara-negara asal pemohon MM2H seperti Jepun atau United Kingdom.

Walau bagaimanapun isu asas adalah apakah fokus kerajaan? Adakah penduduk tempatan atau warganegara asing? Kita mungkin dapat memudahkan warganegara asing membeli rumah kedua mereka di negara kita tetapi masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli rumah pertama mereka.

Kerajaan telah juga menetapkan had bilangan peserta MM2H dan tanggungan adalah 1 peratus dari penduduk negara kita. Jika penduduk negara kita adalah 32 juta ini bermakna hadnya adalah 320,000. Tetapi adakah had ini terlalu tinggi memandangkan pelbagai masalah yang kita hadapi dengan warganegara asing sama ada yang sah atau yang tanpa izin?

Sebenarnya adakah pendapatan dari skim ini adalah sumbangan yang bermakna kepada ekonomi negara dari segi nilai? Sejak 2002 hingga 2019, Program MM2H telah berjaya merangsang ekonomi negara dengan pendapatan berjumlah RM11.89 bilion secara kumulatif menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah bulanan. Secara purata sebanyak RM690 juta setahun. Tetapi mungkin dengan syarat-syarat baharu ini pendapatan ini akan bertambah kerana strategi baharu kerajaan adalah menyasarkan kualiti bukan kuantiti.

Jika kerajaan mahu benar-benar menjana ekonomi negara selepas pandemik maka adakah dengan semata-mata menarik mereka yang memiliki simpanan lebih dari RM1 juta? Adakah dengan memiliki pendapatan luar negera lebih dari RM40,000 sebulan akan dapat memulihkan ekonomi kita? Berapa peratus dari pendapatan tersebut akan dibelanjakan di dalam negara?

Kenapa tidak memberi keutamaan kepada mereka yang dapat menyumbang kepada penduduk tempatan? Contohnya meluluskan mereka yang menjalankan perniagaan yang menggaji tenaga kerja tempatan. Atau yang menjalankan perniagaan menggunakan khidmat syarikat-syarikat tempatan. Atau yang menggunakan produk atau bahan mentah tempatan.

Desakan agar memikirkan kembali akan syarat-syarat baharu ini mula dibangkitkan di dalam media Hong Kong. Kemudian ia diikuti dengan portal-portal berita tempatan. Sudah tentu pemohonan akan masuk mencurah-curah jika kerajaan melonggarkan syarat-syarat MM2H kerana penduduk di bekas tanah jajahan British itu sedang mencari jalan keluar sejak undang-undang baharu dikuatkuasakan dan tindakan-tindakan ke atas aktivis prodemokrasi. Walau bagaimanapun bukan tugas kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Kita tidak mahu melihat kerajaan tunduk kepada desakan-desakan dari luar negara. Sekiranya kerajaan mahu memberi kelonggaran sekalipun bukan untuk permohonan baharu tetapi untuk peserta yang sedia ada yang termasuk tanggungan mereka berjumlah 57,578. Walau bagaimanapun kelulusan tidak semestinya automatik tetapi tertakluk kepada syarat seperti telah memiliki kediaman dengan nilai yang tertentu.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
24 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 24/8/2021

No comments:

Post a Comment