KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan mencari titik persamaan untuk diraikan demi membina kekuatan bersama.
Ketuanya, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi salleh berkata, demi membina negara yang kuat, titik kesatuan perlu diperkukuhkan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
“Dalam konteks negara kita, saya menggesa (dan) menyeru kepada seluruh umat Islam dan masyarakat bukan islam pun, supaya bersatu padu di antara satu sama lain.
“Jangan kita cari titik perpecahan. Kita carilah titik penyatuan, titik persamaan, kalau kita cari titik perbezaan ini, (goyah)” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.
Mengemukakan contoh terdekat, kata Nik, pasangan suami isteri yang seri bergaduh, mencari kekurangan dan kelemahan pasangan juga tidak akan kekal lama di dalam rumah tangga itu.
Namun, sekiranya mereka mencari titik persamaan, mereka boleh membina kekuatan bersama, ujarnya.
“Dalam konteks negara kita, kita ada parti-parti politik, yang duduk di bawah kerajaan, yang mendokong kerajaan, kita ada PAS, Umno, Bersatu, rakan-rakan GPS, MCA, MIC dan sebagainya.
“Carilah titik persamaan, titik penyatuan. Jangan kita hendak mencari titik kesilapan kita.
“Simple sahaja. Kalau kita bersatu, kita akan kuat. Kalau kita bercerai, kita akan roboh, dan bila roboh, tiada siapa yang utuh,” katanya mengulas mengenai tema Maal Hijrah tahun ini, iaitu Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti.
Tambah beliau, mencari titik penyatuan adalah salah satu dari titik Manhaj Rabbani kerana di dalam Al-Quran tidak ada satu ayat pun yang diajar oleh Allah SWT supaya hambaNya berpecah.
“Yang ada, Manhaj Rabbani ini kita perlu bersatu, apa jua keadaan sekalipun. Kita perlu bersatu di antara satu sama lain.
“Jadi sebab itu dia, Manhaj Rabbani, manhaj yang mengajak kepada kita supaya kita tunduk patuh kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.
Terangnya lagi, kesatuan akan memberi kekuatan seperti mana yang berlaku kepada golongan Muhajirin dan Ansar yang digeruni dunia selepas daripada penyatuan mereka.
Walaupun mereka digeruni kuasa dunia, namun mereka masih dihormati oleh negara-negara yang ada ketika ini. Bahkan, ia juga merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka, ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021
No comments:
Post a Comment