Monday, August 02, 2021

Pembangkang ketepikan nasihat KKM. -X cerdik sangat..

 

Parlimen: Pembangkang ketepikan nasihat KKM

KOTA BHARU: Pembangkang tidak menghiraukan wabak yang sedang menular sehingga sanggup melanggar nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan parlimen bersidang.

KKM dalam kenyataan menyebut faktor persekitaran dewan Parlimen yang bertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam.

Selain itu tempoh berada dalam dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang.

Malah sehingga Khamis lepas terdapat enam kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan bergejala yang memberi risiko berlaku penularan jangkitan dan berpotensi menjadi superspreader.

Bagaimanapun segala nasihat yang diberi KKM seperti tidak dihiraukan pembangkang kerana faktor politik kuasa dan peribadi.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan Ahmad Fathan Mahmood berkata, tidak sepatutnya pemimpin politik hanya mengutamakan politik dan kuasa tanpa menghiraukan wabak Covid-19 yang menular sekarang.

Katanya persidangan parlimen ditangguh kerana penularan Covid-19 di mana sekarang sudah merebak ke parlimen.

“Pembangkang terutamanya tidak boleh hanya mementingkankan politik kuasa semata-mata, sedangkan rakyat ada yang hilang punca pendapatan kerana penularan Covid.

“Sekarang ramai lagi yang masih sukar meneruskan kelangsungan hidup kerana hilang pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak,” katanya.

Hari ini media melaporkan ahli-ahli parlimen pembangkang cuba memasuki Dewan Rakyat biarpun kerajaan mengumumkan persidangan parlimen ditangguh.

Ahli-ahli parlimen terbabit berkumpul di Dataran Merdeka kemudian berarak ke bangunan parlimen.

Ahli parlimen terbabit daripada DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan UPKO cuba memasuki bangunan parlimen.

Sedangkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Dato’ Rashid Hasnon semalam memberitahu persidangan parlimen ditangguh bagi mencegah wabak dan bukannya bersifat politik.

Menurutnya penangguhan persidangan khas parlimen dibuat atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah selepas berlaku jangkitan kes di parlimen sejak Isnin lepas.

Malah menurut Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob sehingga petang Khamis lepas lebih 70 kes positif dikesan hasil saringan ahli parlimen dan pengiring yang juga kontak rapat.

Ahmad Fathan yang juga Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan berkata, pembangkang menzahirkan niat sebenar di sebalik gesaan supaya kerajaan membuka parlimen sebelum ini.

“Tujuannya untuk memberikan gambaran buruk kerajaan Perikatan Nasional pada umum dan bukan untuk membicarakan soal kepentingan rakyat berhadapan pandemik.

“Kekecewaan mereka juga kerana gagal membawa usul parlimen untuk tukar perdana menteri apabila kerajaan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat baru-baru ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

Komen Weblo Ibnu Hasyim: Segala nasihat yang diberi KKM seperti tidak dihiraukan pembangkang kerana faktor politik kuasa dan peribadi. Ahli parlimen terbabit daripada DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan UPKO cuba memasuki bangunan parlimen.

Rupanya tidaklah cerdik sangat, walaupun mereka ahli parlimen.

No comments:

Post a Comment