Saturday, August 14, 2021

Pertemuan Muhyiddin, Abdul Hadi berkaitan tugas

 

KUALA NERUS: Pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam adalah berkaitan tugas kedua-dua pemimpin.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata selain ingin menziarahi Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah itu, Muhyiddin pada pertemuan tersebut turut membincangkan kedudukan pelaburan Malaysia di Asia Barat.“Pada pertemuan itu, Tuan Guru Haji Hadi mengutarakan pandangan beliau berkaitan hal-hal tugasnya sebagai duta khas.

“Tuan Guru Haji Hadi ada bertemu dengan duta-duta Asia Barat sebelum ini, jadi beliau telah memaklumkan perkembangan mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri sendiri,” katanya dalam sidang media mengenai krisis gangguan bekalan air di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Tangki Air Bukit Berangan hari ini.

Ahmad Samsuri, yang juga Naib Presiden PAS, turut hadir dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu.

Ditanya sama ada pertemuan itu menyentuh isu politik semasa tanah air, Ahmad Samsuri berkata: “Kita berada dalam suasana politik, tentulah perkara biasa kalau sebut hal politik… termasuk Perikatan Nasional, Barisan Nasional, PAS, Bersatu. Semua politik belaka lah,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengunjungi Abdul Hadi di kediaman Ahli Parlimen Marang itu di Rusila selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails