Thursday, August 19, 2021

PM arah bantuan segera mangsa banjir

 

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua bentuk bantuan dapat segera digerakkan bagi membantu penduduk terjejas kejadian banjir kilat di Yan, Kedah.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam tadi, berkata keselamatan dan bekalan makanan perlu menjadi keutamaan ketika ini yang perlu disalurkan kerajaan Kedah dan agensi berkaitan.

"Saya mengikuti secara dekat bencana banjir kilat yang melanda beberapa kampung di daerah Yan, Kedah, dipercayai kesan daripada fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai, petang tadi (semalam).

"Difahamkan, petugas keselamatan serta kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melakukan operasi menyelamat dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan bencana, terjamin.

"Semoga tugas pasukan keselamatan ini dipermudah manakala penduduk terjejas serta terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara disediakan bantuan dan perlindungan sewajarnya, dengan selamat dan teratur terutamanya ketika dalam situasi pandemik COVID-19," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, dilapor mengesahkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang identitinya belum dikenal pasti maut, manakala seorang lagi masih hilang susulan kejadian terbabit.

Rentetan itu, kerajaan negeri membuka pusat pemindahan sementara bagi menempatkan mangsa banjir kilat Yan yang akan dibahagikan kepada tiga kategori, membabitkan mangsa positif COVID-19, dikuarantin dan sihat.

Siasatan awal mendapati seramai 14 mangsa dipindahkan adalah positif COVID-19, manakala 45 lagi dikuarantin dan 60 mangsa biasa.

Kejadian jam 5.30 petang tadi itu menyebabkan lebih 20 rumah penduduk di lima kampung sekitar Gurun dan Merbok, dilanda banjir kilat kesan fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai petang semalam.

Lima kampung terbabit ialah Kampung Baru, Kampung Sungai Badak dan Kampung Sungai Kunyit Atas di Gurun, manakala Kampung Tandop Batu dan Kampung Sungai Batu di Merbok. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails