Wednesday, August 18, 2021

Politik kita, bermula dengan 'X rapatkan saf'

 

Detik sekarang perlu pengorbanan pemimpin ternama

RAPATKAN saf. Istilah itu sering kedengaran ketika solat berjemaah di masjid. Namun sekarang tidak lagi. Wabak Covid-19 membuatkan semua pihak semakin jauh.

Ibu bapa dan anak juga berjauhan. Murid lama bersenggang dengan guru. Sanak saudara dan ahli keluarga pun tidak boleh ziarah. Begitu juga pemimpin politik.

Covid menyebabkan ada jarak antara kita. Maknanya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Awas kalau tular rapat saf, akhirnya datang surat kompaun.

Begitu juga apa yang berlaku dalam rumahtangga Perikatan Nasional (PN) sekarang. Perkahwinan gantung pada akhir Februari belum sempat didokumen secara sah kerana wabak Covid.

Jauh sekali untuk diadakan kenduri kendara. Sepatutnya kenduri agak besar kerana perkahwinan itu bukan sepasang. Sebaliknya empat. PN muncul dengan kerjasama Bersatu-BN-PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

BN menghantar wakil paling ramai ahli parlimen (MP) mendukung kerajaan PN. Seramai 41 MP BN termasuk dua dari MCA dan seorang MIC.

Selain itu Bersatu pula memiliki 31 MP, PAS dan GPS masing-masing (18). PN juga mendapat dukungan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS – 1), (PBS – 1), STAR (1) dan Bebas (4).

Daripada jumlah ahli parlimen Umno terbabit 9 menyertai kabinet PN. Namun daripada bilangan terbabit presiden Umno berada di luar saf. Anggota kabinet daripada Umno diketuai Naib Presiden Ismail Sabri Yaacob.

Situasi yang berlaku itu rupanya mengundang rasa tidak senang Umno. Namun ia berbeza dengan PAS dan GPS. Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga berada di luar saf kabinet.

Begitu juga Pengerusi GPS Abang Johari Openg juga berada di luar kabinet PN. Nampak kah siapa yang berjiwa besar. Namun mungkin ada asbab Muhyiddin Yassin sukar meletak posisi presiden Umno di saf kabinet.

PN yang dijenamakan sebagai produk baru perlu kelihatan bersih. Tidak wajar ada anggota kabinet baru dibentuk terpalit pula kes di mahkamah. Ini hambatan menghantui ketua jemaah.

Usaha untuk mengisi pemimpin Umno di kerusi Timbalan Perdana Menteri (TPM) khabarnya sudah lama dirangka. Namun ia tidak mendapat lampu hijau daripada pimpinan tertinggi Umno.

Akhirnya pada 7 Julai lepas Ismail Sabri mengisi kerusi TPM. Selepas 17 bulan usia kerajaan PN, jawatan TPM ditinggalkan Dr Wan Azizah diisi Ismail.

Namun pelantikan itu rupanya belum meredakan keadaan. Presiden Umno masih mendesak kesemua 38 MP parti itu mufarakah daripada Muhyiddin. Namun Ismail dan 22 lagi MP Umno seperti buat badak kenyang.

Kesannya selepas 15 MP Umno mufarakah, kerajaan PN hilang majoriti. Sekarang silap haribulan PH boleh kembali menguasai Putrajaya. Mengulangi episod 9 Mei 2018.

Selepas Muhyiddin menyerah watikah peletakan jawatan semalam, ruang melobi untuk PH kembali ke Putrajaya semakin terbuka luas. Ruang itu hanya boleh ditutup rapat presiden Umno sendiri.

Seandainya Dr Ahmad Zahid kembali rapatkan saf, isu panas yang berputar ligat sejak semalam akan cepat reda. Tidak sukar bagi presiden Umno untuk melakar semula sejarah baru demokrasi.

Ini kerana misinya mendesak Muhyiddin meletak jawatan sudah berjaya. Muhyiddin melakukan pengorbanan besar. Kira-kira enam tahun lalu Muhyiddin meninggalkan jawatan TPM. Ia memberi laluan Ahmad Zahid mengisi jawatan itu.

Dan kali ini Muhyiddin berkorban lagi. Masa yang tinggal semakin suntuk Ahmad Zahid boleh bertindak segera. Setidak-tidaknya mengenangkan pengorbanan Muhyiddin untuk kembali rapatkan saf.

Dalam situasi perang psikologi politik sekarang semua pihak perlu berkorban. Muhyiddin sudah menunjukkan jalan dengan melantik Ismail Sabri sebelum ini.

Ketika itu pun sudah ramai menjangka Ismail sebagai pilihan terbaik menggantikan Muhyiddin. Ia sebagai jalan tengah bagi menyelamatkan keadaan.

Setidak-tidak menutup rapat pintu mengelakkan agen PH berkeliaran mencari mangsa sehari dua ini.

Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM melihat sebelum ini geng Ahmad Zahid mungkin memandang serong terhadap Ismail Sabri.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai calon pilihan biarpun boleh mengancam masa hadapan Ahmad Zahid, namun kondisi sekarang agak berbeza. Pilihan akhir perlu dibuat segera. Masa sudah terlalu suntuk.

“Masalah Umno dan Bersatu serupa dengan kes dua lelaki mengejar gadis yang sama. PAS pula mencari gadis lain yang cenderung agama,” kata Dr Ahmad Fauzi.

Setidak-tidaknya Ahmad Zahid boleh mengimbau seketika Piagam Muafakat Nasional bertarikh 14 September 2019. Memperkukuh Muafakat Nasional melalui musyawarah.

Sekiranya saf lama dirapat semula PN/BN hampir pasti menguasai semula pentas demokrasi dengan skor 115 berbanding PH/pembangkang 105.

Ketika Ahmad Zahid dan Najib Razak turun naik tangga mahkamah, biarlah Ismail Sabri bertindak sebagai pilot meninggal legasi ditinggalkan Abah. Jangan pula kata orang, berputus arang berkorat rotan ketika makin ramai mangsa Covid-19 dihantar ke tanah hujung. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengapa dikatakan  politik kita, bermula dengan 'X rapatkan saf'? Ertinya, tidak bermula dengan perpaduan agama, seterusnya bangsa dan tanah air... Lawannya, sekularisme...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails