Wednesday, August 04, 2021

PPN akan berjaya, baju hitam akan jadi titik hitam

 

PELAN Pemulihan Negara (PPN) berjaya jika bilangan kes dapat diturunkan, hospital menjadi lega dengan kes kemasukan ke hospital oleh COVID-19 berkurangan dan kadar vaksinasi tinggi dan mencapai imuniti kelompok.

Natijah dari kejayaan pemulihan adalah nyawa dan kesihatan rakyat selamat, kelonggaran diberi secara bertahap dengan rakyat lebih bebas bergerak, mencari rezeki, berekonomi dan bersosial. Keadaan kehidupan lebih baik, ekonomi meningkat, pengangguran berkurangan, persekolahan dan pendidikan boleh kembali seperti sedia kala. Ini yang rakyat mahu dan cuba diikhtiarkan oleh kerajaan.

Pada saat ini, kita di kemuncak kesusahan, kes sangat tinggi, nak cari rezeki tersekat, serba serbi terhalang, kerja hilang. Ini saat semua orang susah, marah, tak puas hati dan mudah dihasut dan dipengaruhi untuk membenci kerajaan yang ada.

Pelan Pemulihan Negara melalui strategi pematuhan SOP, PKP, PKPD dan paling utama usaha memberikan vaksinasi sangat berasas dan menunjukkan tanda boleh berjaya. Kerajaan tidak biarkan rakyat tanpa bantuan. Untuk itu lebih RM300 bilion dibelanjakan demi meringankan dan membantu rakyat.

Di Labuan yang pernah berdepan situasi sangat teruk, dengan kejayaan vaksinasi, kes turun mendadak, hospital kini sudah lega. Vaksinasi yang tinggi di Sarawak juga telah menurunkan kes dan kesesakan di hospital dengan begitu jelas.

Sebenarnya inilah keadaan yang sama telah dan sedang berlaku di Eropah, peningkatan vaksinasi disusuli dengan penurunan kes yang sangat jelas, kemasukan ke hospital yang menurun. Dan diikuti kemudiannya dengan kebebasan ekonomi dan sosial diberikan secara bertahap. Ia memberikan kegembiraan kepada rakyat bila itu berlaku. Boleh ke stadium tengok bola, boleh mencari rezeki dan bersosial. Perniagaan kembali pulih.

Rakyat yang marah kerana tertekan, yang dulu benci kepada kerajaan, kini memuji dan bangga dengan kejayaan mereka. Pembangkang tidak lagi boleh menghasut rakyat bila itu berlaku. Vaksinasi di Lembah Klang sudah mencapai lebih 90 peratus populasi telah menerima sekurang kurangnya 1 dos dan akan menerima 2 dos lengkap dalam kadar yang pantas.

Jika ia seperti dirancangkan, pematuhan SOP dipatuhi, tiada gangguan yang meningkatkan penularan COVID-19, insya-Allah keadaan di Lembah Klang boleh pulih tidak lama lagi. Kadar Vaksinasi di Malaysia antara yang paling tinggi perkapita di dunia pada hari ini.

Angka kes positif yang ditunjukkan setiap hari sekalipun meningkat menunjukkan peratusan kategori 4 dan 5 kurang dari 2 peratus. 98 peratus lagi tanpa gejala atau gejala ringan yang tidak mengancam nyawa atau perlukan kemasukan ke hospital.

Jika segalanya berjalan baik, rakyat akan mula merasa lebih gembira mulai September, Oktober dan seterusnya. Hari ini memanglah semua marah. Saat dan peluang yang sedang cuba dipergunakan oleh pembangkang.

Mereka takut berdepan September, Oktober dan seterusnya bila kes sudah turun, ekonomi semakin baik, rakyat semakin gembira. Kerana baju hitam mereka akan benar-benar detik hitam untuk mereka ketika itu.

DATUK HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri
Sains Teknologi dan Inovasi
2 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 2/8/2021

No comments:

Post a Comment