Tuesday, August 17, 2021

Saranan Agong, calonkan PM sebelum 4 petang esok.

 

1. PAS sambut baik saranan Agong

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar keutamaan kesejahteraan negara dan rakyat perlu diberi keutamaan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia sehinggalah keadaan mengizinkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau mewakili PAS diterima mengadap Yang di-Pertuan Agong bersama dengan parti Bersatu, Umno, Pejuang, Warisan, Amanah, DAP dan PKR.

“Tuanku mohon kerjasama semua pimpinan parti untuk wujudkan keharmonian dan ketenteraman dan memberi fokus kepada isu kesihatan serta ancaman Covid-19, keadaan ekononi rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, Yang di-Pertuan Agong juga menjelaskan proses pelantikan perdana menteri yang akan dilaksanakan baginda melalui akuan bersumpah (SD) setiap ahli Parlimen yang perlu diserahkan sebelum jam 4.00 petang esok.

Katanya lagi, pengesahan oleh setiap ahli Parlimen akan diminta setelah ada yang mempunyai majoriti bagi mengesahkannya.

“Saya suka maklumkan bahawa PAS telah bersedia dengan SD semua ahli Parlimen parti untuk dipersembahkan kepada baginda,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau juga menyeru semua pihak bertenang dan mengutamakan kesihatan diri, keluarga dan semua pihak.

“Dan yakin atas kebijaksanaan baginda, kemelut ini akan dapat diatasi dengan jayanya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

2. Ahli Parlimen diminta calonkan PM sebelum 4 petang esok

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan secara terang dan jelas mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum jam 4 petang esok, untuk perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim.

Notis mengenai perkara itu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, hari ini dan notis berkenaan disahkan oleh pegawai Parlimen kepada BH ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurut surat itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

"Pada melaksanakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan menyatakan secara terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Kesembilan," katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta selepas Muhyiddin hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Baginda kemudian berkenan melantik Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Menurut surat itu, walaupun surat akuan berkenaan tidak mempunyai format tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran, termasuk identifikasi Ahli Dewan Rakyat terbabit secukupnya, identifikasi yang secukupnya seorang saja Ahli Dewan Rakyat diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri dan pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat.

Selain itu, tandatangan Ahli Dewan Rakyat berkenaan, tandatangan dan cop rasmi saksi, sama ada seorang peguambela dan peguamcara, Pesuruhjaya Sumpah, Notari Awam atau jawatan yang setanding Ahli Dewan Rakyat itu yang berada di luar negara serta tarikh surat akuan.

Surat akaun berkenaan perlu diserahkan melalui faks, emel dan salinan PDF melalui aplikasi WhatsApp kepada nombor telefon yang dinyatakan, dan tidak dibenarkan secara serahan tangan kerana Istana Negara masih dalam kawasan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta mengelakkan penularan pandemik COVID-19 di istana.

"Semua Ahli Dewan Rakyat juga diingatkan supaya menjaga kerahsiaan surat akuan itu sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri.

"Perlu dijelaskan mana-mana surat akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara di atas (yang disyaratkan) atau pun diterima lewat tidak akan diambil kira," katanya.

3. 'Agong mahu parti politik bersatu hadapi COVID-19, masalah ekonomi'


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberikan titah nasihat supaya semua parti politik bersatu menghadapi COVID-19 dan juga masalah ekonomi.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata baginda juga bertitah supaya isu pelantikan Perdana Menteri baharu diselesaikan melalui lunas Perlembagaan dan negara juga memerlukan cara politik baharu.

Katanya, semua parti politik yang dijemput menghadap baginda turut memberikan pandangan masing-masing.

"Semua (parti) nampak ada konsensus untuk hentikan politik lama dengan cara menghukum dan harus menjurus semula ke arah membangunkan negara.

"Isunya bukan semata-mata pelantikan seorang Perdana Menteri baharu, tetapi yang penting baginda mahu parti politik mengagaskan suatu bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat," katanya selepas menghadap Seri Paduka di Istana Negara hari ini.

Terdahulu, beberapa pemimpin parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong difahamkan bagi membincangkan isu pelantikan jawatan Perdana Menteri.

Sesi menghadap secara serentak itu berlangsung lebih sejam dan berakhir selepas pemimpin terbabit dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara pada jam 4 petang.

Pemimpin yang hadir pada sesi menghadap itu adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Lebih 50 petugas media pelbagai agensi mula berkumpul di Pintu 2 Istana Negara bermula sejak jam 11 pagi semalam, menanti ketibaan pemimpin parti politik terbabit.

Media semalam melaporkan pemimpin parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, dipercayai berkaitan perbincangan berhubung siapa bakal dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Perbincangan itu susulan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails