Tuesday, September 14, 2021

Adakah Pesta Bola Merdeka masih relevan? -Dato' Iskandar Abd Samad

 

SUKAN

MUNGKIN ramai dari golongan ‘old school’ merasa kekurangan ketika sambutan kemerdekaan negara kita setiap tahun kerana ketiadaan Pesta Bola Merdeka. Di suatu masa dahulu, pesta bola tersebut merupakan sebahagian dari sambutan ulang tahun kemerdekaan negara setiap tahun.

Pesta bola ini merupakan cetusan idea Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan telah dianjurkan buat kali pertama pada tahun 1957. Di zaman kegemilangannya, pesta bola ini merupakan di antara kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia dan gergasi-gergasi bola sepak Asia seperti Korea Selatan dan Jepun akan menghantar pasukan utama mereka.

Walau bagaimanapun pesta bola ini menjadi semakin pudar pada tahun-tahun 80-an di mana penganjur terpaksa menjemput kelab-kelab dari Eropah dan Amerika Selatan untuk menarik peminat. Kejohanan-kejohanan lain telah muncul dan telah menyaingi Pesta Bola Merdeka pada akhir tahun-tahun 60-an seperti Piala Raja Thai, Piala Presiden di Korea dan Piala Kirin di Jepun.

Akhirnya buat pertama kali dalam sejarah, pesta bola ini telah tidak dianjurkan iaitu dalam tahun 1989. Dari tahun 1989 hingga 2013, ia telah berlangsung hanya 9 kali. Edisi 2013 adalah edisi terakhir yang dianjurkan. Adakah edisi yang dimenangi oleh Malaysia itu merupakan edisi penutup bagi satu legasi bola sepak Malaysia? Atau pesta bola ini hanya berehat sebentar menunggu masa untuk bangkit?

Mungkin ada dari kalangan kita yang suka bernostalgia mahu pesta bola ini dihidupkan semula. Tetapi adakah kejohanan ini masih relevan di dalam dunia hari ini? Realitinya suasana telah berubah sejak zaman kegemilangan pesta bola tersebut. Berikut adalah perubahan-perubahan itu:

1. Malaysia bukan lagi kuasa bola sepak Asia.

Di antara 1972 dan 1980, Malaysia telah 2 kali layak ke Sukan Olimpik. Pada Sukan Asia tahun 1974, pasukan bola sepak negara telah memenangi pingat gangsa. Tetapi hari ini kita hanya berada di kedudukan ke-154 pada Ranking FIFA. Negara-negara ASEAN seperti Vietnam (93), Thailand (110) dan Filipina (124) berada pada kedudukan yang lebih tinggi. Justeru itu tiada tarikan untuk negara-negara lain menyertai pesta bola kita. Tambahan pula negara-negara yang berada di ranking lebih atas mungkin tidak mahu bertemu dengan pasukan negara kerana bimbang ranking mereka akan jatuh.

2. Kalendar bola sepak Antarabangsa dan domestik yang padat.

Kebanyakan pemain-pemain Kebangsaan hari ini adalah profesional. Mereka sudah tentu memiliki komitmen domestik seperti saingan liga. Selain dari itu terdapat kejohanan antara kelab seperti AFC Champions League dan AFC Cup. Sementara untuk pasukan Kebangsaan terdapat kejohanan-kejohanan seperti Piala AFF untuk negara-negara ASEAN, Piala EAFF untuk negara-negara Asia Timur dan Piala SAFF untuk negara-negara Asia Selatan. Persatuan-persatuan bola sepak Kebangsaan akan berfikir dua kali sebelum menambah komitmen pemain-pemain mereka.

3. Tumpuan kepada Piala Dunia, Sukan Olimpik dan Piala Asia.

Peluang untuk negara-negara Asia layak ke Piala Dunia hari ini telah bertambah sejak dari tahun-tahun 70-an dan 80-an. Untuk Piala Dunia 2022 di Qatar, negara-negara AFC mendapat 4 slot. Sementara 1 slot adalah melalui perlawanan play-off dengan negara dari konfederasi yang lain. Justeru itu negara-negara akan memberi keutamaan kepada perlawanan-perlawanan kelayakan Piala Dunia. Selain dari itu terdapat perlawanan-perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik. 

4. Terlampau banyak perlawanan yang disiarkan.

Di satu masa dahulu peminat-peminat perlu pergi ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Pesta Bola Merdeka adalah satu-satunya peluang untuk peminat menyaksikan pasukan Kebangsaan beraksi atau mahu menyaksikan pasukan-pasukan luar negara beraksi. Perlawanan yang disiarkan di kaca televisyen cukup terhad. Tetapi suasana telah berubah. Perlawanan-perlawanan bola sepak di Eropah dan Amerika Selatan boleh ditonton secara langsung sama ada di televisyen atau di atas talian (online). Tidak ada motivasi yang kuat untuk pergi ke stadium kecuali pasukan Kebangsaan mempamerkan prestasi yang cemerlang.

Penjenamaan semula

Oleh yang demikian Pesta Bola Merdeka seperti tidak relevan lagi. Tetapi sudah tentu ada yang tidak mahu melihat kejohanan bersejarah itu berkubur begitu sahaja. Walau bagaimanapun adakah zaman kegemilangannya dapat dikembalikan jika ia hanya disertai oleh pasukan-pasukan negara kelas ketiga dan keempat? Sudah tentu imej pesta bola ini akan tercemar jika ia gagal menarik peminat-peminat ke stadium.

Satu langkah yang berani mesti dilakukan jika FAM mahu meneruskan legasi Perdana Menteri pertama kita. Telah terbukti peminat akan membanjiri stadium sekiranya kelab-kelab ternama Eropah melawat negara kita. Barcelona, Liverpool, Arsenal, Chelsea, Manchester United dan Tottenham pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara. Asia merupakan pasaran utama bagi kelab-kelab Eropah terutamanya kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL). Ia merupakan peluang untuk mereka memasarkan jenama mereka.

Pesta bola memerlukan penjenamaan semula. Mungkin dari kejohanan terunggul negara-negara Asia kepada ‘Merdeka EPL Challenge’ dengan kelab-kelab EPL. Atau ‘Merdeka Intercontinental Challenge’ dengan kelab-kelab Eropah dan Amerika Selatan. Tidak perlu melibatkan begitu banyak pasukan seperti pesta bola sebelum ini. Sekadar pertandingan 3 penjuru, 2 kelab jemputan dan pasukan Kebangsaan. Walaupun tempoh pertandingan lebih singkat namun ia lebih menarik kepada peminat dan penaja dari kejohanan yang melibatkan negara-negara seperti Nepal, Sri Lanka atau Kepulauan Solomon.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 13/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4668593273159633

1 comment:

  1. KASI HAPUSKAN MUSUH SATU SATU
    YANG LEMAH CAP AYAM KASI SAPU
    PEJUANG YG LEMAH KASI TAJI TERKEDU
    LEGASI ACAH POWER HAPUS KAN DOLU


    JENTERA TAK ADA PANGLIMA RAMAI
    INI PUN OTAI SUSAH NAK KASI KIRAI
    PARTI CAP AYAM INI KASI LUNYAI
    JANGAN BAGI MUKA KASI DEPA BERSEPAI


    #SEMAKJERR

    ReplyDelete