Oleh PROF DR BADLIHISHAM MOHD NASIR
SAMBUTAN di ambang kemerdekaan negara ke 64 yang lepas seolah-olah mengiringi penerbangan terakhir tentera Amerika dari lapangan terbang Kabul pada malam 30 Ogos 2021. Sama ada kebetulan atau izin Tuhan, ia perlu dihemati dengan cermat oleh semua lapisan rakyat supaya kita tidak luput memahami pengajaran dan hikmah di sebaliknya.
Di tengah propaganda Barat yang memberi imej buruk kepada Taliban, kita masih ragu-ragu untuk memberikan perspektif yang membuka masa depan yang lebih positif terhadap negara malang ini. Berbanding Palestin, Afghanistan kurang diberikan perhatian oleh warga Malaysia sama ada dalam bentuk bantuan kemanusiaan apalagi dukungan perjuangan.
Tan Sri Johan Jaafar yang pernah berkunjung ke Afghanistan ketika mujahidin melawan tentera Soviet pada awal 1980 menyatakan bahawa kita amat lemah dalam memahami cerita sebenar mengenai negara ini. Hingga kini ramai yang terpengaruh dengan propaganda Barat dalam menilai perjuangan Taliban. Bahkan ada di antara pemimpin muda negara yang membangkitkan kisah lama Taliban semata-mata bagi mengecam ucapan tahniah yang diberikan kepada Taliban.
Kelemahan ini menyebabkan kita tidak dapat bertindak positif proaktif dalam isu Afghanistan seperti China yang telah mula menjalinkan hubungan dengan kerajaan baru Taliban. Walaupun motif mereka kelihatan didorong oleh kepentingan ekonomi, ia adalah hasil dari kajian khusus mereka terhadap pergolokan politik dan ekonomi negara itu. Ia diikuti oleh sikap positif Rusia yang inginkan sekutu baru dari negara yang terbukti berjaya menghancurkan persekutuan Uni-Soviet mereka dahulu.
Pendekatan Indonesia nampaknya mungkin lebih ikhlas dari China dan Rusia apabila mereka telah menjalinkan hubungan tidak rasmi dengan wakil Taliban. Mereka bukan sahaja mengirim wartawan ke Afghanistan untuk mendapatkan berita sebenar dari sumber Taliban tetapi Mantan Wakil Presiden, Jusuf Kala pernah menjemput Mullah Baradar melawat Indonesia. Ini bukan sahaja menyebabkan mereka mengetahui cerita sebenar tetapi dapat mendedahkan Taliban kepada kehidupan Muslim yang lebih moderat dan bertolak ansur di negara Pancasila itu.
Dr. Suhail Shaheen dalam wawancara dengan Narasi Newsroom Indonesia mengakui pernah melawat Indonesia dan memuji peranan Indonesia dalam rundingan damai di Doha. Dr Suhail berjanji untuk tidak menjadikan Afghanistan sebagai pengkalan teroris melancarkan serangan. Afghanistan di bawah Taliban akan mengekang gerakan ISIS dan JI dari tersebar di serata dunia. Taliban menyeru persaudaraan negara Islam bagi membangunkan infrastruktur negara dan menolongnya untuk berada kembali di tengah keluarga besar masyarakat antarabangsa.
Perubahan Taliban ini diyakini oleh Jusuf Kalla yang pernah berhubung dengan wakil-wakil Taliban. Menurut beliau, kekuatan fizikal Taliban bukanlah penentu kejayaan menewaskan Amerika tetapi kekuatan diplomasinya yang berjaya menjinakkan negara itu. Ramai yang tidak menyangka bahawa Taliban sendiri yang terlibat mengadakan rundingan bagi pengunduran tentera Amerika sejak Mei 2021 di bawah Presiden Trump. Perlanjutan tempoh hinggalah kepada pengunduran sepenuhnya oleh Amerika akhir bulan Ogos tanpa gangguan itu pastinya membuka mata dunia terhadap sikap Taliban kepada keamanan.
Harapan perdamaian ini sebenarnya juga teserlah apabila USA di bawah Presiden Joe Biden sendiri telah membiarkan Afghanistan menentukan pemerintahannya sendiri setelah rugi lebih dari tiga trillion dollar di negara itu. Mungkin bagi meutup kegagalan kuasa adi jagat dunia itu, beliau mengatakan bahawa tugas sebenar untuk menumpaskan pengganas khususnya Osama Ben Ladin telah berjaya dicapai. Tambahan pula Amerika terpaksa menumpukan pengaruh Cina di Laut China Selatan serta perkembangan ekonomi negara itu yang semakin menguasai dunia.
Penyerahan tanpa perlawanan dari tentera Afghanistan yang telah kehilangan pimpinan setelah Presiden Ashraf Ghani melarikan diri itu membuka peluang yang terbuka luas kepada Taliban untuk mencari perdamaian. Tambahan pula sokongan rakyat yang semakin meningkat mereka telah muak dengan pemerintahan lama yang banyak terpalit dengan rasuah itu harus dimanfaat sepenuhnya oleh Taliban. Peninggalan ghanimah oleh tentera Amerika dalam bentuk senjata dan wang tunai pastinya digunakan untuk mengukuhkan kedudukan mereka di sana.
Perkembangan positif ini perlu ditanggapi dengan cepat dan tepat oleh kepimpinan negara. Jika dahulu wujud Duta Khas bertaraf Menteri ke Asia Barat yang pastinya akan terlibat dengan isu seperti ini. Perlantikan Duta Khas seperti Ke Amerika Syarikat, India dan China sebelum ini pun dibuat atas sebab-sebab strategik yang boleh memberi manfaat kepada hubungan strategik di antara kedua negara.
Negara boleh mencari alternatif baru bagi meningkatkan hubungan dengan Afghanistan melalui saluran diplomatik di Kementerian Luar dan kajian penyelidik di intitusi akademik. Pendekatan yang tepat perlu dicari agar kita tidak ketinggalan menunjukkan solidariti kepada Afghanistan dan seterusnya kehilangan peluang pada masa akan datang. Ia perlu berpaksikan kefahaman agama, budaya dan sosio-politik yang tepat sebelum inisiatif lain digerakkan kepada aspek dan bidang lain yang berkaitan.
Semangat Malaysia Prihatin mengiringi sambutan hari kemerdekaan negara baru-baru ini perlu diberi nilai tambah. Ia bukan hanya memberi tumpuan untuk menyelesaikan Covid dan isu-isu yang berbangkit tetapi perlu diperluaskan operasinya di peringkat global. Peranan Malaysia sebagai negara yang cintakan keamanan telah terkenal sejak isu Bosnia dan perjuangan rakyat Palestin.
Kini peluang untuk mengembangkan semangat kekeluargaan acuan kita dalam kemerdekaan Afghanistan sangat terbuka. Dalam rangka mencapai KPI 100 hari pemerintahan baru negara, kita harus menunjukkan keprihatinan dalam menangani isu antarabangsa, lebih-lebih lagi untuk kesejahteraan saudara seagama yang baharu merdeka semula. Gandingan semua pihak dalam politik yang matang dan sejahtera mampu mencapai hasrat ini. – HARAKAHDAILY 14/9/2021
Penulis ialah Profesor, Akademi Tamadun Islam UTM.
2 comments:
Malaysia perlu iktiraf Afganistan tingkat kan hubungan dagangan ekonomi dengan Afgamhistan...
maka panji panji dari timur akan muncul
Jon Doe
Kalau ph perintah, pkr dan pan ikut telunjuk dap. Taliban takkan diiktiraf oleh ph. Ada pemimpin dap yg awal awal sudah menyindir taliban seperti mereka menyindir pas. Sedangkan taliban yg bersungguh sungguh menentang amerika dan russia, sementara liberal afghan setuju afghanistan dijajah oleh amerika. Begitu juga dgn liberal pkr dan liberal pan, mereka mahu seluruh rakyat malaysia ikut telunjuk dap. Sementara pas sudah tarik diri dari ikut telunjuk dap, dan merdeka ikut acuan islam. Gerakan underground utk lemahkan org melayu dan islam ialah dgn menyekat kebebasan pkr dan pan. Pkr dan pan perlu jadi taklukan dap. Suapkan bang non dgn jawatan pm, nanti bang non boleh hapuskan jati diri org melayu dgn tanah airnya tanah melayu.
Post a Comment