Thursday, September 02, 2021

Artis Amelina, kini berdepan dengan era pandemik.

 

Amelina terusik apabila ramai peminat menempah masakannya untuk amal jariah disedekahkan kepada ahli keluarga, sanak saudara, anak yatim dan golongan asnaf. - Foto IG Amelina

Amelina sebak banyak terima tempahan sedekah.

KUALA LUMPUR: Dahulu wangi bau minyak wangi Dior, Gucci, pakai 'lip lap' dan rambut kepuk-kepuk. Namun, kini hanya bau ayam, bawang putih dan minyak sapi mengeliling hidup Ratu Dangdut, Amelina pada kala berdepan era pandemik.

Menyinsing lengan sibuk dengan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan, Amelina kini sibuk dengan tempahan nasi ayam Rindu dan nasi minyak Asyik semakin lebat diterima sejak Jun lalu.

Tidak mampu lagi bergoyang kaki, apatah lagi, Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan hampir tiga bulan lalu, penyanyi lagu Rindu dan Memori Daun Pisang itu terpaksa memikirkan cara lain untuk mencari rezeki menyara kehidupannya dengan enam cahaya mata.

Namun, hati pelakon drama Patah Sayap Bertongkat Paruh dan Rahimah Tanpa Rahim itu terusik apabila ramai peminat menempah masakannya untuk amal jariah disedekahkan kepada ahli keluarga, sanak saudara, anak yatim dan golongan asnaf.

Sebak di hujung talian, Amelina mengakui, "Hati saya terusik, ramai yang mulia hati. Sambil membantu dan menyokong perniagaan kecil-kecilan saya, mereka tidak lokek bersedekah.

"Saya sering mendapat tempahan yang mahu infak makanan kepada pertubuhan atau orang tertentu. Malah, ada yang minta dirahsiakan identiti sebagai pemberi sedekah.

"Sebagai orang tengah, saya menyiapkan tempahan makanan dan memanjangkan sedekah ini. Paling buat terharu, selain peminat, ada hamba Allah yang tidak pernah mengenali saya, tetapi bermurah hati menempah makanan dalam kuantiti banyak.

"Ada yang siap suruh sedekahkan ke mana sahaja. Jadi, saya jadi pemegang amanah untuk memanjang sedekah ini," katanya kepada BH Online.

Amelina atau nama sebenar, Norazlina Amir Sharipuddin berkata, dia tidak menjangka ramai peminat dijentik hati untuk menambah ganjaran pahala.

"Ada juga membeli juadah ini dan bersedekah atas nama insan yang sudah pulang ke rahmatullah. Saya bersyukur ruang perniagaan ini membuka mata ramai untuk berbuat amal kebajikan.

"Di kalangan peminat juga tidak lokek membantu. Saya bersyukur belum tahap merayu atau menagih simpati meminta orang menghulurkan sumbangan kepada saya,

"Saya tidak sesekali akan meminta-minta, sedangkan saya masih ada kudrat. Susah macam mana sekalipun, insya-Allah saya akan berusaha sehabis baik.

"Cukup menyokong perniagaan saya. Itu sahaja keberkatan yang saya inginkan. Dengan membeli hasil jualan ini, mereka memberi saya jalan rezeki," katanya.

Amelina berkata, dia tidak suka bergoyang kaki, berpeluk tubuh dan hanya menunggu duit atas angin.

"Saya mahu rezeki yang berkat buat keluarga. Sikit atau banyak, janji saya tenang dengan cara begini.

"Saya percaya jika kita berusaha pasti ada jalan rezeki yang dilorongkan Allah buat saya dan keluarga," katanya.

Namun, di sebalik itu, Amelina terasa apabila apabila ada pihak beranggapan meminta-minta orang membeli hasil jualan.

"Tiada istilah memaksa orang memasukkan duit dalam akaun beribu ringgit, kemudiannya sedekah makanan dijual diberikan dalam kuantiti sedikit.

"Itu bukan cara saya. Saya berniaga dengan ikhlas. Ada kala, mereka bermurah hati mahu bersedekah dengan menyokong perniagaan saya, itu pun saya tanggung kos penghantaran.

"Saya tidak berkira, tiada berkat. Sebagai contoh, jika ada yang mahu membeli ratusan pek makanan, saya cakap kepada mereka kos penghantaran tidak perlu dibayar," katanya.

Akuinya, dia juga memasak bukan sesuka hati tanpa mengira kesedapannya. Malah hingga saat ini, ramai memuji air tangan masakannya.

"Saya selalu fikir dalam soal rezeki. Ketika ramai bergelut, jangan ambil mudah soal keenakan masakan. Biarlah terjaga kualiti kebersihan dan kesedapannya. Makanan ini masuk perut dan menjadi darah daging," katanya yang boleh membuat tempahan menerusi laman Instagram.

Amelina menyediakan nasi ayam Rindu setiap Selasa, disusuli nasi minyak Asyik pada Khamis dan Jumaat.

Bukan setakat tempahan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor diterima, malah seluruh negeri dan luar negara termasuk Singapura dan Brunei Darussalam yang membeli untuk diinfak kepada rakan taulan dan sanak saudara.

Amelina mendedahkan, mulanya dia memasak atas dasar mencuba nasib.

"Resipi nasi minyak saya belajar daripada ibu. Setiap tahun, nasi minyak hanya dibuat ibu pada hari raya.

"Nak masak menu ini agak leceh. Jadi, saya ambil kesempatan melihat cara ibu memasak dan berkongsi resipi istimewanya. Jika nasi ayam pula, saya memang menyukainya. Jika makan di restoran, saya banyak memerhati dari jauh.

"Jadi, apabila mula berniaga, saya akan olah ikut sedap dan rasa. Contohnya, bagaimana mahu melembutkan ayam sampai tahan ke malam. Saban hari, saya akan memperbaiki rasa," kata Amelina yang turut menghasilkan lagu popular, Memori Daun Pisang bertukar dalam bentuk motivasi kepada masyarakat diberi judul Memori Lockdown. (BH)

Peluang jadi usahawan ternak siput..

Untuk perbincangan lanjut sila hubungi Salmas Tel 011 33111321 (KL)

No comments:

Post a Comment