Hak wanita: Barat hipokrit
PADA bulan Mac 2004, Parlimen Perancis telah meluluskan undang-undang yang melarang pemakaian ‘artikel-artikel keagamaan yang berlebihan’ di sekolah-sekolah kerajaan. Di antara yang dianggap sebagai artikel keagamaan itu adalah hijab yang dipakai oleh umat Islam, kippah (kopiah nipis) yang dipakai oleh masyarakat Yahudi dan salib yang besar masyarakat Kristian.
Walau bagaimanapun undang-undang ini dilihat sebagai memberi kesan besar kepada umat Islam kerana pemakaian hijab atau menutup aurat itu wajib kepada perempuan yang telah baligh. Justeru itu undang-undang ini telah digelar sebagai ‘the veil law’ kerana seolah-olah sasarannya adalah hijab umat Islam.
Menurut Presiden Perancis ketika itu, Jacque Chirac, undang-undang ini adalah berdasarkan semangat Sekularisme. Satu tulisan oleh Vasiliki Fouka, pembantu profesor sains politik di Universiti Stanford, Amerika Syarikat dan Aala Abdelgadir, calon PhD Sains Politik menunjukkan larangan tahun 2004 itu telah meningkatkan persepsi mengenai diskriminasi dan merupakan halangan bagi pelajar-pelajar perempuan Muslim menamatkan persekolahan.
Selain dari itu kertas itu mendapati pelajar-pelajar perempuan Muslim akan mengambil masa yang lebih lama untuk menamatkan persekolahan menengah mereka dan akan lebih cenderung untuk mengulang. Di kalangan mereka yang berumur 20 tahun, 7.9 peratus pelajar perempuan non-Muslim masih di sekolah menengah tetapi peratus ini lebih tinggi bagi pelajar perempuan Muslim iaitu 13.3 peratus.
Kertas tersebut menyatakan ia adalah kesan dari larangan hijab. Satu rundingan (mediation) akan dilaksanakan untuk pelajar-pelajar yang gagal mematuhi larangan ini dan jika rundingan ini gagal, pelajar akan dibuang sekolah. Pilihan mereka selepas itu adalah meninggalkan sistem pendidikan (jika berumur lebih dari 16 tahun), meneruskan pendidikan di sekolah swasta, belajar melalui pendidikan jarak jauh atau meninggalkan Perancis.
Pelajar-pelajar juga mengalami lebih banyak diskriminasi di sekolah dari di luar sekolah seperti di tempat-tempat awam. Walau bagaimanapun bukan sahaja pelajar-pelajar perempuan menjadi mangsa malah ibu-ibu mereka turut menjadi mangsa diskriminasi ini. Pada bulan Oktober 2019, dalam lawatan pelajar-pelajar sebuah sekolah ke sidang perhimpunan tempatan di bandaraya Dijon, seorang ibu yang memakai hijab telah turut mengiringi anak beliau.
Namun begitu kehadirannya telah dibantah oleh seorang ahli politik berhaluan kiri yang meninggalkan sidang sebagai tanda protes. Gambar ibu yang dikenali sebagai Fatimah bersama anaknya yang menangis telah tersebar luas di negara itu. Maka timbul pula perdebatan sama ada ibu-ibu yang mengiringi anak mereka dibolehkan memakai hijab.
Tetapi kisah hijab di Perancis tidak berakhir di situ. Pada bulan Mac tahun ini Senat telah meluluskan undang-undang yang bermakna pemakaian hijab di khalayak ramai bagi perempuan 18 tahun ke bawah adalah dilarang. Larangan ini belum lagi dikuatkuasa kerana perlu disahkan oleh Perhimpunan Kebangsaan (National Assembly). Walaupun tujuan undang-undang anti-pemisahan ini (‘anti-separatism’ bill) adalah untuk mengukuhkan Sekularisme dan tidak menyebut Islam namun umat Islam akan menjadi mangsanya.
Ibtihaj Muhammad, atlet wanita AS pertama yang memakai hijab di Olimpik.
Perkembangan ini telah mencetuskan bantahan dan kecaman bukan sahaja oleh masyarakat Islam di Perancis tetapi selebriti-selebriti Antarabangsa seperti pemenang pingat gangsa Olimpik 2016, Ibtihaj Muhammad, yang merupakan atlet wanita Amerika Syarikat pertama yang memakai hijab di Olimpik dan juga model dari Norway, Rawdah Mohamed yang baru dilantik editor Vogue Scandinavia, dengan kempen #Handsoffmyhijab.
Terdapat juga pertubuhan bukan-Islam yang mahu undang-undang ini dibatalkan atau dipinda kerana merupakan serangan yang serius terhadap hak asasi dan kebebasan. Apabila Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos lepas dan menguasai Afghanistan, di antara tuntutan negara-negara Barat terhadap kerajaan baharu adalah mewujudkan kerajaan yang inklusif dan menjamin hak-hak wanita.
Malah aset bank pusat negara itu di luar negara sebanyak 10 bilion USD dibekukan untuk memberi tekanan ke atas Taliban. Barat pula sentiasa membangkitkan isu pendidikan wanita dan menuntut Taliban memberikan hak yang sama kepada mereka. Tetapi Barat lupa kepada Perancis yang menafikan hak pelajar-pelajar perempuan Muslim bersekolah dengan ‘undang-undang hijab’ mereka.
Larangan yang sama tidak berlaku di Amerika atau Britain, tetapi kenapa Barat tidak menekan Perancis sepertimana mereka menekan Taliban? Ternyata ia menunjukkan sikap hipokrit Barat. Malang sekali ada orang kita yang terikut-ikut melompat-lompat menurut rentak mereka.
Sekiranya ‘undang-undang hijab’ ini diluluskan, kita tidak tahu apa lagi yang akan dilaksanakan oleh Perancis yang akan memberi kesan negatif kepada umat Islam. Terdapat 5.7 juta penduduk Islam di Perancis atau sekitar 8.8 peratus. Sejarah membuktikan negara tersebut bersikap brutal terhadap umat Islam ketika menjajah negara-negara mereka di Afrika.
Mereka dikenali sebagai kuasa penjajah yang zalim. Pada peperangan kemerdekaan Algeria (1954 hingga 1962), Perancis mengakui di antara 300,000 hingga 500,000 penduduk Algeria telah terkorban sementara anggaran sumber Algeria adalah sehingga 1.5 juta. Perancis akan menjadi tumpuan dunia pada tahun 2024 kerana Paris akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas.
Ia merupakan peluang untuk bukan sahaja Dunia Islam tetapi dunia secara keseluruhannya memberi tekanan ke atas Perancis. Amerika dan Britain sedang melakukan perkara yang sama ke atas negara China yang akan menganjurkan Sukan Olimpik musim sejuk di Beijing tahun hadapan kerana isu penindasan umat Islam Uighur. Sama-sama kita melihat sama ada wujud solidariti di kalangan negara-negara Islam.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 24/9/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4701604279858532/
No comments:
Post a Comment