Saturday, September 18, 2021

Dunia Islam perlu bersatu ketika Barat sedang lemah

 


KETIKA ini, Amerika Syarikat dan sekutunya di kalangan negara-negara Eropah sedang berada dalam krisis kelemahan kuasa dan pengaruh geopolitiknya di seluruh pelusuk dunia. Jika diperhatikan segala tindak- tanduknya ketika ini hanyalah untuk melawan arus yang menentangnya dan mempertahankan kuasa imperialisme yang ada.

Masyarakat dunia terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah telah mula sedar akan ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku sebelum ini. Isu Palestin yang sebelum ini tepu di dunia Barat telah mula mendapat perhatian dan diperjuangkan secara besar-besaran malah telah berlaku desakan dan tekanan terhadap kerajaan dunia Barat untuk mengambil tindakan terhadap regim zionis Israel.

Pengunduran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya dari Afghanistan baru-baru ini telah mula ‘melondehkan’ apa yang sebenarnya berlaku selama 20 apabila Amerika Syarikat dan sekutunya ‘menjajah’ Afghanistan, tidak seperti apa yang dipaparkan oleh media antarabangsa yang cenderung mempertahankan tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Tindakan tersebut juga turut mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku di sepanjang kempen war on terrorism yang telah mengakibatkan kematian di antara 897,000 – 929,00 orang, termasuk orang awam yang tidak berdosa samaada diserang tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat di sepanjang kempen tersebut atau akibat secara tidak langsung daripada kempen ganas tersebut.

Ini tidak termasuk negara-negara Dunia Islam yang musnah teruk samaada dari sudut ekonomi, infrastuktur dan ketamadunan di sepanjang kempen war on terrorism seperti di Iraq, Syria, Libya dan Afghanistan di samping kecenderungan operasi menukar kepimpinan negara-negara tersebut dan Asia Barat oleh operatif licik dunia Barat agar cenderung kepada mereka.

Akibat dari kempen ganas war on terrorism ini juga turut mendedahkan bahawa terdapat lebih 39 juta pelarian yang telah lari meninggalkan kampung halaman mahupun negara asal mereka. Malah ada yang turut menganggarkan bahawa angka tersebut lebih besar hingga mencecah hampir 59 juta orang yang bertebaran majoritinya di kem-kem pelarian di sekitar negara-negara Eropah termasuk juga di Turki dan negara-negara membangun seperti di Malaysia.

Kemasukan pelarian-pelarian akibat perang war on terrorism ini terutamanya di negara-negara Eropah juga turut mengakibatkan pertembungan agama dan budaya yang menjadi salah satu sebab utama berlakunya Islamofobia di samping kempen dan berita-berita yang menggambarkan Islam dan umatnya sebagai pengganas.

Karikatur-karikatur yang menghina Rasulullah SAW, kempen membakar Al Quran, manipulasi ayat-ayat Al Quran dan Hadis Rasullah SAW dan gambaran salah definasi sebenar jihad menurut Islam dijadikan propaganda atas nama kebebasan bersuara untuk menjadikan Islam dan umatnya ‘kambing hitam’ samaada untuk meningkatkan kebencian masyarakat dunia terhadap Islam dan umatnya terutamanya sebagai pengganas mahupun untuk mengabsahkan kempen perang war on terrorism.

Sama ada secara sengaja atau tidak, pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan dijadikan hampir kepada tarikh peristiwa 9/11 walaupun sebenarnya Amerika Syarikat mahupun sekutunya boleh berundur dan meninggalkan Afghanistan lebih awal daripada itu. Namun jika diperhatikan naratif sambutan peristiwa 9/11 baru-baru ini oleh media-media barat, kita akan dapati ia mempunyai satu maksud iaitu menutup kegagalan Amerika Syarikat dan sekutunya dalam kempen perang war on terrorism dan mengaburi punca sebenar berlakunya peristiwa 9/11.

Namun ia tidak menjadi seperti yang diharapkan, telah mula desakan dan tekanan kuat terhadap Amerika Syarikat dan Joe Biden untuk mendedahkan ‘laporan sulit’ tentang apa sebenarnya yang berlaku hingga terjadinya peristiwa 9/11. Walaupun tunduk terhadap tekanan dan telah menyahsulitkan satu bahagian daripada laporan sulit tersebut, masih ramai ragu-ragu dan tidak yakin dengan jawapan Amerika Syarikat mahupun laporan tersebut.

Tiada satupun senjata berbahaya atau weapon of mass destruction dijumpai samada di Iraq, Afghanistan mahupun Libya. Malah ramai pakar-pakar ketenteraan dan geopolitik antarabangsa meragui punca sebenar peristiwa serangan 9/11 dan mengapa ia dijadikan alasan kukuh untuk memulakan kempen perang war on terrorism oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Pengunduran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya dari Afghanistan, Arab Saudi, Syria, Libya dan tidak lama lagi Iraq turut menjelaskan bahawa penumpuan utama Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Asia Barat bakal atau sudah berakhir terutamanya sejak parti Demokrat dan Joe Biden memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat hujung tahun lalu.

Normalisasi negara-negara Asia Barat dengan negara haram Israel yang menjadi tumpuan utama Amerika Syarikat ketika diterajui Donald Trump sudah mula dilupai dengan sekelip mata. Ketika ini negara haram Israel seperti mula dibiarkan bertarung sendiri untuk mempertahankan kewujudannya malah ahli-ahli politik Amerika Syarikat sendiri mula menjauhkan diri dari regim zionis Israel.

Regim zionis Israel saat ini dilihat cuba berbaik-baik dan lebih rapat dengan sekutunya di kalangan negara-negara Asia Barat terutamanya negara-negara yang mengadakan hubungan normalisasi dengannya samaada dari segi politik, ekonomi dan hubungan dua hala. Semua ini berlaku kerana telah mula kelihatan Amerika Syarikat sudah mula beralih penumpuannya ke Asia Pasifik untuk mempertahankan kewujudannya sendiri.

Tidak hanya sekitar Asia Barat, regim zionis Israel telah memulakan operasi diplomasinya di kalangan negara-negara Afrika termasuk Kesatuan Afrika dan memperluaskannya di kalangan negara-negara Asia Pasifik termasuk China. Semuanya bertujuan untuk mempertahankan kewujudan dan keselamatannya akibat ditinggalkan mahupun dipinggirkan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Jelas kelihatan regim zionis Israel agak gusar dengan lompongan yang ditinggalkan Amerika Syarikat dan kelihatan tergesa-gesa melakukan anjakan diplomasinya di seluruh dunia. Tambahan pula sedang berlakunya rundingan untuk mengaktifkan kembali Perjanjian Nuklear Iran 2015 di antara Iran, PBB dan negara-negara kuasa besar dunia, regim zionis Israel tentunya antara yang lantang menentangnya dan paling khuatir jika ia berjaya diaktifkan semula.

Regim zionis Israel tidak hanya khuatir dengan kuasa kententeraan Iran tetapi turut khuatir jika perjanjian tersebut berjaya diaktifkan semula, sektor ekonomi Iran akan turut dilonggarkan sekatan atau ditarik sepenuhnya sekatan yang akan mengakibatkan Iran kembali mampu mendapat menjana pendapatan dan mampu memperkukuhkan kekuatan ketenteraannya yang menjadi ancaman regim zionis Israel.

Baik regim zionis Israel mahupun Amerika Syarikat dan sekutunya, mereka tidak mampu menggoncang kuasa politik mahupun ketenteraan Iran. Satu-satunya kaedah ialah mengenakan pelbagai sekatan terutamanya ekonomi di mana ia mampu mencetus kebangkitan rakyat Iran menentang pemimpinnya seterusnya menggoncang kuasa politik Iran.

Lihat sahaja apa yang berlaku di sekeliling negara haram Israel, setiap negara yang berjiran dengannya mempunyai masalah yang hampir sama, ketidakstabilan ekonomi dan politik, kebangkitan rakyat menentang kepimpinan negara dan keselesuan kuasa ketenteraan dimana kesemua elemen tersebut menyelamatkan negara haram Islam seterusnya mempertahankan kewujudannya.

Kesemua negara-negara tersebut mempunyai satu agenda yang sama, menentang kewujudan negara haram Israel dan menyokong perjuangan Palestin. Hanya Qatar yang boleh dikatakan agak selamat dari ancaman regim zionis Israel tetapi negara-negara yang mempunyai hubungan atau “ normalisasi dengan regim zionis Israel boleh dikatakan maju dan aman tanpa sebarang konflik dalaman.

Namun ketika ini semuanya hampir berubah apabila Amerika Syarikat dan sekutunya mengalihkan penumpuan ke Asia Pasifik terutamanya terhadap China dan Rusia. Sudah nampak tanda-tanda awal keadaaan gawat di kalangan negara-negara Asia Barat mula kelihatan semakin reda dan telah ada rundingan-rundingan untuk memulihkan hubungan antara negara-negara Asia Barat termasuk juga Turki dan Iran. Adakah ini tanda awal akan wujud perdamaian dan kesatuan antara negara-negara Dunia Islam di seluruh dunia di kala barat berdepan dengan krisis kelemahan?

Kelihatan ketika ini baik Arab Saudi, UAE, Qatar, Mesir, Syria, Turki dan Iran telah memulakan rundingan untuk memulihkan kembali hubungan dua hala yang sejak sekian lama tegang. Berkemungkinan jika berhasil, Dunia Islam akan kembali kuat dan berkemungkinan keamanan mampu di capai di Asia Barat serta mampu membebaskan Palestin.

Negara Dunia Islam ketika ini sebenarnya kuat dan lebih daripada mampu untuk menangani sebarang permasalah berbangkit jika bersatu padu dan berkerjasama. Kuat dari segenap sudut baik dari segi ekonomi, ketenteraan dan kekuasaan geopolitik, malah lebih kuat dari mana-mana pertubuhan dan kesatuan di dunia ini. Kelemahan ketara ketika ini hanyalah tidak bersatu padu dan bercakaran sesama sendiri.

Di saat barat lemah ketika ini, wajarlah negara-negara Dunia Islam menilai kembali sejarah kejatuhan Islam sejak 100 tahun lalu dan kebangkitan terakhir hampir 48 tahun lalu. Adakah wajar Dunia Islam terus berada dalam kelemahan atau sudah sampai masanya Dunia Islam bangkit kembali mencapai kegemilangan sebagaimana umat-umat terdahulu.

Jawapannya, Dunia Islam perlu bangkit, bersatu padu dan berkerjasama menebus kembali hak, maruah dan jatidiri yang telah tercalar. Dunia Islam sebenarnya telah kuat, lebih kuat dari sebelumnya jika kembali bertaut atas nama Islam yang sebenar. Sudah sampai masanya Islam kembali ke kemuncak seterusnya memartabatkan kembali sebagai umat teragung di dunia.

Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita semua dan menyatukan kembali umat Islam di seluruh dunia insyallah.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 18/9/2021

No comments:

Post a Comment