Azhar Amir membawa watak Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala Fauziah Latiff pula sebagai Tun Dr Siti Hasmah. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Taha (tiga dari kanan) bersama pengarah dan pasukan Reliance Media Group ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir serta Dr Siti Hasmah.
HALAMAN HIBURAN
KUALA LUMPUR: Tayangan filem biografi Mahathir The Journey arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan yang mengangkat kisah perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa ditunda ke tahun depan berikutan pandemik COVID-19 masih menular di seluruh dunia.
Filem yang dirombak sebanyak 12 kali dan mendapat kelulusan 100 peratus daripada pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof itu diterajui Azhar Amir sebagai Dr Mahathir, manakala penyanyi dan pelakon, Fauziah Latiff memegang peranan Tun Dr Siti Hasmah.
Ia sepatutnya ditayangkan pada Julai, tahun lalu sempena bulan kelahiran pemimpin negara itu, namun terpaksa ditunda berikutan situasi semasa.
Diterbitkan oleh Reliance Media Group Sdn Bhd, naskhah berkenaan berbeza dengan filem sebelumnya berikutan mengangkat kisah perjuangan Dr Mahathir selepas meletakkan jawatan pada 2003, selain bekas pemimpin itu turut berlakon dalam beberapa babak penting.
Penerbit Eksekutif, Taha Wahid berkata, filem yang memaparkan perjalanan kisah mantan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2018 itu selesai menjalani penggambaran pada Februari, tahun lalu.
Namun, katanya, Reliance Media Group memutuskan menunda tarikh tayangan selepas berbincang dengan pengedar filem di China.
"Sebenarnya, filem ini bukan sahaja ditayangkan di Malaysia, malah mensasarkan beberapa negara luar seperti China, Jepun dan Asia Barat.
"Kami tidak dibenarkan menayangkan filem ini kerana sudah melakukan perbincangan dengan pengedar filem di China. Tayangan perlu dilakukan secara serentak.
"Jadi, kemungkinan filem yang menelan belanja RM6 juta ini akan ditayangkan, tahun depan, itu pun bergantung kepada situasi penularan COVID-19.
"Ini berikutan lebih 3,000 pawagam masih lagi ditutup di China ketika pandemik COVID-19. Sehingga hari ini, masih belum dibuka sepenuhnya kerana pandemik belum reda," katanya.
Taha berkata, pihaknya boleh sahaja memilih tayangan filem Mahathir The Journey menerusi Astro First, tetapi terikat dengan perjanjian.
"Tidak hanya itu, kami juga sudah berurusan dengan pengedar filem di Jepun dan Asia Barat.
"Ini kerana filem biografi ini membabitkan pemimpin negara yang bukan hanya dikenali di Malaysia, malah peringkat antarabangsa.
"Disebabkan itu, kami terpaksa menunggu penularan COVID-19 reda di seluruh dunia supaya filem ini tidak menanggung risiko kerugian," katanya.
Katanya, pihaknya sudah menghabiskan hampir RM3 juta untuk kos produksi, jadi selebihnya digunakan untuk pelan pemasaran dan promosi.
"Kami tidak memohon dana kerajaan, semuanya menggunakan duit sendiri. Jadi, bagi produser yang mendapat dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mereka boleh memilih tayangan filem di Astro First, tetapi kami tidak mahu menanggung risiko," katanya.
Mengulas harapan terhadap sambutan penonton, Taha berkata, pihaknya mengharapkan ramai memberi sokongan, tetapi dalam masa yang sama, tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan faham selera penonton.
"Jujurnya, agak rugi jika tidak menonton filem ini. Ia memaparkan kisah hidup seorang 'living legend' yang dikenali seluruh dunia.
"Jika lihat dokumentari M For Malaysia, ia mendapat kutipan baik di pawagam. Tetapi, apapun kami tidak mahu meletakkan harapan tinggi.
"Disebabkan itu, kami berbincang dengan beberapa pengedar filem di peringkat antarabangsa. Jika semua perjanjian termeterai, harga jual beli sudah mampu menampung jumlah modal yang dikeluarkan," katanya.
Bagaimanapun, Taha berkata, biarpun tayangan ditangguhkan, tetapi ia tidak menambahkan kos memandangkan filem berkenaan sudah selesai menjalani penggambaran pada Februari, tahun lalu.
"Proses suntingan sudah disiapkan, cuma kini sedang menunggu memasukkan lagu, skor muzik dan pos produksi sahaja belum selesai. Jadi, penundaan tayangan filem tidak membabitkan kos tambahan," katanya.
Mengulas adakah Dr Mahathir sudah menonton filem itu, Taha berkata, pihaknya hanya akan memperlihatkan filem berkenaan apabila siap sepenuhnya.
"Wakil Dr Mahathir sudah bertanya bila boleh menonton, insya-Allah apabila semuanya sudah selesai. Kami mahu Dr Mahathir menjadi orang pertama menontonnya.
"Kami akan mengadakan tayangan peribadi bersama Dr Mahathir, sebelum ditayangkan kepada penonton," katanya.
Istimewanya, filem menggunakan khidmat 200 pelakon tambahan itu turut menampilkan beberapa babak penting membabitkan Dr Mahathir.
"Dr Mahathir menjayakan babak terakhir, di mana penggambaran dijalankan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Jun, tahun lalu.
"Kami menjalankan penggambaran di pejabat Yayasan Bukhari dan beliau menzahirkan perasaan teruja apabila melihat video berkenaan.
"Beliau juga terkejut melihat barisan pelakon memiliki wajah yang hampir sama dengan karakter," katanya.
Selain Azhar dan Fauziah, filem Mahathir The Journey turut dibintangi Afique Hussain (Mukhriz Mahathir), Ning Baizura (Marina Mahathir), Hilal Azman (Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah), Lisdawati (Nurul Izzah), Dazrin Kamaruddin (Syed Saddiq) dan ramai lagi.
Azhar dan Fauziah bersama barisan pelakon yang membintangi filem biografi Mahathir The Journey arahan Profesor Dr Hatta Azad.
2 comments:
Sejujurnya yg difilemkan hanya the white side tapi yg dark side tiada dlm filem. Bisa diurus dan diatur.
Kalau episod bailout tak ada dlm filem tu makna kata filem tu tak ori lahh
kikikiki...
Post a Comment