Tuesday, September 14, 2021

Isteri lari 25 kali dengan lelaki berbeza. X dimarahi mengapa?

 

Ini gambar lain, hanya hiasan sahaja. Juga kisah isteri yang dipercayai lari ikut lelaki lain, lelaki bawa dua anak berjalan cari kerja. Bukan kisah yang di bawah ini.

Isteri lari 25 kali dengan lelaki berbeza.

New Delhi: Pelik walaupun sudah berkahwin seorang wanita di India ini masih 'buat perangai' apabila kerap melarikan diri dengan lelaki lain, dalam tempoh 10 tahun.

Menurut laporan IANS, wanita berusia 40 tahun itu 'lari' sebanyak 25 kali dengan lelaki berbeza.

Ia selepas dia berkahwin seorang pemandu, Mafizuddin di perkampungan Dhing Lahkar, tengah Assam, Nagaon.

Bagaimanapun, setiap kali isterinya kembali, suami dan keluarga mentuanya masih sudi menerimanya tanpa banyak soal.

Pasangan itu dikatakan mempunyai dua anak lelaki berusia tiga bulan dan tiga tahun serta anak perempuan berusia enam tahun.

Menurut jirannya, wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan ramai pemuda dan sering melarikan diri dengan kekasih berbeza.

Namun, selepas beberapa minggu atau bulan, dia akan kembali kepada keluarganya.

Mafizuddin berkata, setiap kali juga, si isteri akan berjanji tidak akan lari lagi namun dia sentiasa gagal menunaikannya.

"Kadang-kadang isteri saya dakwa dia pergi ke rumah saudaranya, ada kalanya dia beritahu dia melawat saudaranya yang sakit.

"Memandangkan kami ada anak yang perlu dijaga, kami menerimanya semula setiap kali dia buat perangai," katanya kepada media tempatan seperti dipetik portal India.com.

Komen Weblog Ibnu HasyimIsteri lari 25 kali dengan lelaki berbeza. Tidak dimarahi mengapa? Dengan tidak menuduh mereka itu berzina, dan belum tahu apa agama mereka, maka di sini dipaparkan apa hukum dalam Islam, suami yang membiarkan isterinya berzina?

if259 33590695 compressed

Soalan

Apa hukum suami yang membiarkan isterinya berzina dan terlalu bersangka baik terhadapnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

الزَّانِي لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

MaksudnyaLelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.

(Surah al-Nur : 3)

Ibn Kathir menjelaskan berkenaan ayat di atas, ia merupakan pemberitahuan daripada Allah SWT bahawa lelaki penzina tidaklah berpasangan kecuali dengan wanita penzina atau wanita musyrikah. Iaitu, menuruti kehendaknya untuk berzina kecuali wanita penzina derhaka atau wanita musyrikah yang tidak memandang haram perbuatan zina.

Demikian pula (وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ) “dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina,” iaitu derhaka kerana berzina, (أَوْ مُشْرِكٌ) “atau lelaki musyrik,” yang tidak menganggap zina sebagai perbuatan haram.

Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim (10/165-166)

Al-Maraghi berkata: Sungguh tepat perumpamaan yang mengatakan, “Burung hanya hinggap di kalangan kumpulan yang sejenis dengannya.” Tidak dapat dinafikan, hukum atau anggapan ini hanya bersikap umum dan tidak terlaksana pada semua keadaan. Ia samalah seperti ungkapan kata-kata, “Kebaikan hanya dilakukan oleh orang yang bertakwa,” sedangkan hakikatnya orang yang tidak bertakwa pun kadang-kadang melakukan kebaikan. Demikian halnya dengan lelaki yang berzina, kadang-kadang lelaki begini mengahwini wanita mukmin yang suci dan terdapat juga perempuan yang berzina dikahwini oleh lelaki mukmin yang suci.

Lihat Tafsir al-Maraghi (9/4712)

 

Hukum Suami Membiarkan Isteri Berzina

Menjawab isu di atas, ia adalah satu dosa besar. Rasulullah SAW telah menyebut berkenaan perkara ini di dalam hadis-hadis Baginda. Dari itu, Imam al-Zahabi telah menyebut perkara ini sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar yang wajib dijauhi di dalam kitabnya al-Kaba’ir (Dosa-dosa Besar)

Lihat al-Kaba’ir (hlm. 130)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

"ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ أَبَدًا: الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ، وَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ، وَمُدْمِنُ الْخَمْر." فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ أَمَّا مُدْمِنُ الْخَمْرِ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَمَا الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ؟، قَالَ: "الَّذِي لَا يُبَالِي مَنْ دَخَلَ عَلَى أَهْلِهِ"

Maksudnya"Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak." Lalu para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Kami telah faham maksud orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu lelaki yang dayus?” Nabi SAW bersabda: "Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (10310)

Takrif dayus adalah bercabang pada lidah atau lemah lembut dengan makna mudah atau ringan. Ia bermaksud seseorang lelaki yang tiada ghairah untuk mempertahankan keluarganya.

Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah (21/96)

Sedangkan dalam sunnah, takrif dayyus adalah apabila seseorang itu mengiyakan perbuatan keji seperti zina kepada keluarganya. Antara tandanya, dia tidak kisah siapa yang menemui kaum keluarganya atau isterinya. Inilah tafsiran Ibn Hajar al-Haitami.

Lihat al-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kabair (2/347)

Itlaq kalimah dayyus iaitu setiap orang yang mengiyakan sebarang kejahatan terhadap ahli keluarga di bawah kekuasaannya dari kalangan isteri, anak perempuan dan saudara perempuan. Sama ada ia membawa kepada zina atau jalan yang membawa kepada zina seperti mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi dan berkhalwat dengannya.

Lihat al-Fatawa al-Lajnah al-Daimah (17/197)

Manakala hadis daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ قَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ الْجَنَّةَ مُدْمِنُ الْخَمْرِ وَالْعَاقُّ وَالدَّيُّوثُ الَّذِي يُقِرُّ فِي أَهْلِهِ الْخَبَثَ

MaksudnyaTiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.

Riwayat Ahmad (5372)

Imam al-Munawi berkata, maksud al-Dayyus (الديوث) dalam hadis di atas ialah orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya iaitu isterinya dan termasuklah juga kaum kerabat terdekatnya. Manakala “kejahatan” (الخبث) yang disebutkan hadis di atas termasuklah zina, dengan tiada cemburu ke atas mereka.

Lihat Faidh al-Qadir oleh al-Munawi (3/319)

Imam al-Zahabi berkata: Oleh itu, mana-mana suami yang mengesyaki dengan kuat bahawa isterinya berzina tetapi membiarkannya kerana sayang kepadanya, atau dia mempunyai hutang atau mahar yang tinggi dengan si isteri serta tidak mampu membayarnya, atau dia mempunyai beberapa orang anak kecil lalu isterinya membawa kesnya kepada hakim dan meminta hak penjagaan mereka daripada hakim itu; maka tahap suami ini tidaklah sampai kepada orang yang berzina dengan isterinya, dan tidak ada kebaikan langsung di sisi orang yang tidak mempunyai sifat cemburu.

Lihat kitab al-Kaba’ir (hlm. 130)

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Daripada nas-nas yang dinyatakan, jelas bahawa membiarkan isteri berzina dan terlalu bersangka baik terhadapnya adalah haram dan satu dosa besar. Mereka disebut sebagai lelaki dayus iaitu membiarkan dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh lelaki lain.

Disebabkan itulah, Islam sangat menuntut rasa cemburu dalam diri seseorang. Ibn Qayyim berkata: “Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga). Sesiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya. Kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga menjauhkan daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati. Maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.”

Lihat al-Jawab al-Kafi(hlm. 68)

Kami mengesyorkan sebarang tindakan oleh suami hendaklah dengan penuh kefahaman dan bukti yang jelas supaya tidak menzalimi isteri hanya melalui sangkaan sahaja semata-mata.

Begitu juga perlunya hubungan yang akrab dan intim antara pasangan suami isteri disuburkan dengan mengikat hubungan kepada Allah SWT melalui solat berjemaah, qiamullai bersama di waktu malam, menghadiri majlis ilmu bersama dan juga dengan anak-anak bersifat harian atau mingguan, membawa mereka ke masjid untuk solat berjemaah dan makan berjemaah yang sudah tentu sedikit sebanyak melahirkan rumah tangga Baiti Jannati.

Begitu juga, selalu wujudkan muhasabah dan nasihat khususnya bagi ketua keluarga agar rumah tangga tidak dibiarkan tanpa nakhoda untuk menuju ke akhirat dalam mencari mardhatillah. Akhir sekali, lazimilah untuk berdoa bersama-sama agar keberkatan hidup singgah dalam melayari bahtera ini. Antaranya firman Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Semoga Allah kurniakan kepada kita petunjuk dan kekuatan dalam memimpin keluarga ke arah jalan yang diredai-Nya.

Untuk bacaan berkaitan, lihat juga siri Al-Kafi #13: Adakah Suami Dikira Dayus Walaupun Mengetahui Isterinya Curang Tetapi Telah Bertaubat.[1]

[1] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1571-adakah-suami-dikira-dayus-walaupun-mengetahui-isterinya-curang-tetapi-telah-bertaubat?templateStyle=16


Perhatian:

Sebenarnya, masalah-masalah begini adalah masalah umat manusia sedunia. Maka elok kita paparkan dan 'islah', terutama di kalangan negara umat Islam yang sepatutnya tidak terbatas hanya dalam kelompok dan sempadan negara mereka sahaja. Kerana Jslam adalah mendunia..

Rentas Mendunia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails