Sunday, September 19, 2021

Isu ‘taik mesin’ diharap dapat diselesaikan secara ‘menang-menang’ ..

 

ADUN PAS harap penyelesaian menang-menang isu ‘taik mesin’

ARAU, 19 Sept: Isu ‘taik mesin’ yang timbul setiap kali musim menuai padi di negeri ini diharap dapat diselesaikan secara ‘menang-menang’ oleh kedua-dua ADUN PAS.

Menurut ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli, masalah jentuai meninggalkan bongkah tanah atau dikenali sebagai ‘taik mesin’ di atas jalan raya bukan perkara baharu, malah sering menjadi keluhan orang ramai setiap kali musim menuai padi.

“Isu ini melibatkan kepentingan banyak pihak, terutamanya masyarakat sekitar yang terjejas di samping para pengusaha jentuai serta pemilik sawah yang terlibat.

“Jika tidak ditangani dengan baik, lebih banyak masalah akan dihadapi oleh pengguna jalan raya termasuklah risiko kemalangan, manakala tindakan penguatkuasaan seperti saman pula dibimbangi akan menyebabkan para pengusaha enggan membawa jentera mereka untuk menuai padi.

“Justeru, satu penyelesaian secara ‘menang-menang’ perlu diadakan agar permasalahan yang berlaku ini tidak menjejaskan sektor pertanian padi di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pandangan yang sama turut dikongsi ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim yang berharap agar pihak berkuasa dapat mencari kaedah terbaik dalam menangani masalah berkenaan.

“Kita juga sedia maklum rungutan para pengusaha jentuai bahawa mereka terpaksa menanggung kos yang amat tinggi sekiranya menggunakan perkhidmatan lori (bagi mengangkut jentuai).

“Namun, pada masa yang sama, kita tidak boleh membiarkan saja isu ini berlarutan kerana bongkah tanah yang dibiarkan berselerakan di atas jalan raya bukan sahaja mengotorkan dan merosakkan struktur jalan malah boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

“Saya berpandangan adalah amat penting kepada pihak-pihak yang berkepentingan seperti Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perlis, JPJ, MADA serta para pengusaha jentuai untuk duduk bersama mencari solusi terbaik agar masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan rungutan penduduk di beberapa kawasan di negeri ini berkenaan isu ‘taik mesin’ yang dakwa mereka tidak berkesudahan dan disifatkan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Rungutan berkenaan turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk para pengusaha jentuai yang tampil memberi penjelasan berhubung situasi yang terpaksa mereka hadapi. (B/PAS/Perlis)

No comments:

Post a Comment