22 cabutan khas adalah undur ke belakang
PAS sememangnya memandang serius isu kerajaan, melalui Kementerian Kewangan yang beberapa bulan lepas telah membenarkan syarikat nombor ramalan (judi) melaksanakan 22 cabutan khas (special draw) sepanjang 2021, sedangkan ianya telahpun berjaya dikurangkan oleh Kerajaan PH sebelum ini kepada hanya 8 kali setahun.
PAS telah menyatakan komitmennya yang tegas untuk menghapuskan semua industri dosa dan aktiviti ekonomi gelap dalam negara yang dikatakan berjumlah ratusan bilion setahun. Ia nyata bukan satu jalan yang benar, bahkan mampu merosakkan ekonomi negara dan menjauhkan negara daripada memperolehi keberkatan daripada Allah.
Justeru tindakan terdahulu Kerajaan PH yang telah mengurangkan jumlahnya sebelum ini adalah betul dan amat wajar diberi pujian dan kredit. Sewajarnya kerajaan hari ini mengekalkan keputusan tersebut, malah terus menggerakkan segala usaha yang positif dan proaktif ke arah menjauhkan rakyat daripada terus bergantung dan terjebak ke dalam aktiviti buruk tersebut. Membenarkannya semula adalah satu tindakan undur ke belakang yang pastinya ditolak oleh agama dan majoriti besar rakyat.
Adalah telah diterima umum bahawa bahaya dan kerosakan akibat aktiviti perjudian ke atas individu dan masyarakat adalah melangkaui agama dan kaum. Ia hanya memerlukan ‘political will’ daripada mana-mana parti politik dan kerajaan untuk bertindak membendungnya. Saya yakin pembaharuan politik negara yang kita idamkan bersama akan turut menyokong usaha membersihkan negara daripada aktiviti tidak sihat dalam semua sektor.
Justeru saya berharap pihak kerajaan, melalui Kementerian Kewangan dapat menilai kembali keputusan tersebut, seterusnya menarik balik kelulusannya. Ia satu tindakan terpuji dan sifar kerugian.
Saya yakin, dengan amanah besar yang diberikan kepada PAS oleh Kerajaan Malaysia hari ini untuk mengetuai Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri, PAS akan terus membantu Kerajaan memandu negara ke arah kejayaan yang diberkati Allah.
USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ – HARAKAHDAILY 24/9/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/177786515581027/posts/6937361716290106/
1 comment:
Dap buat baik mcm mana pun, janjinya tetap bukan syurga. Cuma ada yg terasa berhutang budi dgn dap, lantas menjanjikan fahaman liberal yg bahagia. Tak sama bahagia dunia dgn bahagia akhirat. Ada garis pemisah menurut syariat. Jangan pulak nanti dikatakan tunggang agama. Tunggang agama tu fahaman group jahiliah.
Post a Comment