Saturday, September 11, 2021

Kisah keramat Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

 

Foto daripada Facebook Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia - Yadim.

Henti segera aktiviti khurafat di Gunung Jerai

YAN: Segala aktiviti pemujaan dan khurafat yang dikesan berlaku di kawasan Gunung Jerai perlu dihentikan segera memandangkan ia satu perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam serta boleh merosakkan akidah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Senator Idris Ahmad berkata kegiatan itu juga boleh mengundang ‘bala’ kepada masyarakat kerana bukan sahaja pelaku akan menerima kesan malah akan melibatkan keseluruhan penduduk di sekitar kawasan itu.

“Sebab itu ada sahabat tanya kepada Nabi (Muhammad) SAW, adakah kami orang baik akan kena juga kalau datang bala dan Nabi kata ya, termasuk juga kamu…cuma esok bila dibangkitkan, mereka akan dibangkitkan berdasarkan kepada niat mereka.

“Iaitu maksudnya orang baik akan dibangkitkan dalam keadaan baik manakala orang yang buat benda tidak baik, mereka akan terima hukuman,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan kesan banjir akibat fenomena kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lepas di Titi Hayun di sini hari ini.

Idris turut menyampaikan sumbangan akibat bencana itu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)/ Yayasan Taqwa bernilai RM516,600.

Pada 22 Ogos lepas, akhbar tempatan melaporkan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Jerai mengharapkan segala aktiviti pemujaan dan khurafat di kawasan itu dapat dihentikan dan dibersihkan.

Malah, sebilangan penduduk dilaporkan menganggap bencana yang melanda daerah Yan dan Kuala Muda itu merupakan ‘amaran’ kepada mereka yang terlibat supaya menghentikan perbuatan berkenaan.

Aktiviti seperti bertapa dan memuja nombor ekor selain mandi bunga dikatakan banyak dilakukan mereka tidak bertanggungjawab terutama di kawasan Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

Ditanya mengenai tindakan penguatkuasaan, Idris percaya bahawa pihak Jabatan Agama Islam Negeri akan bertindak sebaik mungkin untuk menghalang perbuatan itu daripada terus berleluasa. – BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kisah keramat telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai. Pada tahun-tahun 1980an, saya (Ibnu Hasyim) sering pergi ke negeri Kedah mengikuti program-program PAS, yang baru mengambil alih dari kepimpinan Dr Dato' Asri Hj Muda, selaku presiden PAS ke 3. PAS lepas itu dipimpin oleh Hj Yusuf Rawa selaku presiden ke 4, Fadzil Mohd Nor dan Abdul Hadi Awang.

Waktu itulah saya sering ke puncak Gunung Jerai, terutama di musim kemarau, cuaca panas, kerana tumpang mandi. Tempat saya mandi itulah kini disebut 'telaga keramat Tok Sheikh'. Dulu hanya perigi biasa, tiada apa-apa binaan tambahan untuk perlancongan dan  istiadat khurafat. 

Beberapa tahun selepas itu, saya pergi beberapa kali, tapi tak boleh mandi lagi, kerana sudah jadi tempat larangan, yang penuh pemujaan, pantang larang dan tempat khurafat. Maka saya setuju sangat, segala aktiviti pemujaan dan khurafat yang dikesan berlaku di kawasan Gunung Jerai itu perlu dihentikan segera memandangkan ia satu perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam.

Serta boleh merosakkan akidah, kerana ada yang percaya, kalau mandi juga akan sakit perut. Syabas, dengan kepedulian Menteri Agama JPM yang baru dilantik!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails