1. Taliban larang penduduk Afghanistan cukur janggut
KABUL: Taliban mengharamkan tukang gunting rambut di wilayah Helmand, Afghanistan daripada mencukur atau memotong janggut pelanggan.
Menurut tafsiran Taliban, ia melanggar undang-undang Islam. Tambah kumpulan itu, sesiapa yang menyalahi undang-undang tersebut akan dihukum. Sebilangan tukang gunting di ibu kota Kabul berkata bahawa mereka juga menerima arahan yang sama.
Arahan itu menunjukkan negara tersebut kembali kepada undang-undang ketat yang dikuatkuasakan oleh kumpulan tersebut sewaktu berkuasa sebelum ini, meskipun ia menjanjikan jenis pemerintahan yang lebih bertolak ansur, lapor BBC.
Sejak merampas kuasa bulan lalu, Taliban menguatkuasakan hukuman-hukuman tegas ke atas para pembantah pemerintahannya.
Pada Sabtu, para anggotanya menembak mati empat individu yang dipercayai adalah penculik dan mayat mereka digantung di tepi jalan wilayah Herat.
Dalam satu notis yang ditampal di wilayah bahagian selatan Afghanistan, Helmand, para pegawai Taliban memberi amaran bahawa tukang gunting rambut mesti mematuhi hukum syariah berhubung potongan rambut dan janggut.
"Tiada seorang pun yang berhak untuk membuat aduan," menurut notis itu, lapor BBC.
Para pegawai kerap datang dan mengarahkan kami supaya berhenti mencukur janggut," kongsi seorang tukang gunting di Kabul. "Salah seorang daripada mereka memberitahu kami bahawa mereka boleh menghantar pemeriksa yang menyamar sebagai pelanggan untuk menangkap kami."
Seorang lagi tukang gunting yang mengendalikan salah satu salun terbesar di bandar itu berkata bahawa beliau menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa beliau adalah pegawai pemerintah.
Mereka mengarahkannya supaya "berhenti mengikut cara Amerika" dan jangan mencukur atau memotong janggut sesiapa pun.
Tukang gunting lain yang tidak didedahkan nama mereka oleh BBC demi menjaga keselamatan mereka berkata bahawa undang-undang baru itu merumitkan mata pencarian mereka.
"Salun fesyen dan tukang gunting semakin menjadi perniagaan terlarang," kata seorang tukang gunting. "Ini kerja saya sepanjang 15 tahun yang lalu dan saya tidak rasa saya boleh meneruskanya."
2. Anggota Taliban diarah henti 'berselfie'
DUBAI: Anggota Taliban dimaklumkan oleh menteri pertahanan mereka, Mullah Mohammad Yaqoob, supaya mengelak daripada bersiar-siar di tempat-tempat daya tarikan dan berkongsi gambar 'swafoto' mereka di media sosial, demikian lapor Wall Street Journal.
Beberapa gambar yang menunjukkan anggota Taliban bermain di taman tema dan berkelah, tular sejak Taliban merampas kuasa di Kabul.
Malah, terdapat juga gambar yang dikongsi menunjukkan anggota Taliban menaiki bot kayuh yang berbentuk angsa putih.
Menurut laporan WSJ, kebanyakan anggota Taliban belum pernah datang ke bandar terbabit.
"Apabila tidak bertugas, mereka bersiar-siar, berkelah dan melawat taman hiburan, lengkap berserban dan bersenapang.
"Anggota Taliban dari daerah lain di Afghanistan juga datang ke Kabul dan bersiar-siar di sana," menurut laporan itu.
Antara daya tarikan utama di bandar itu yang menjadi pilihan anggota Taliban 'berehat' adalah tasik Qargha, di mana terdapat bot kayuh, taman haiwan Kabul dan kejiranan Wazir Akbar Khan, di mana terdapat kawasan bukit menghijau dengan pemandangan bandar.
Bagaimanapun, Mullah menerusi satu mesej audio menekankan bahawa anggota yang melakukan rondaan harus terhad di kawasan di mana mereka dikerahkan.
Beliau juga mengkritik beberapa anggota kerana memasuki pejabat kerajaan, di mana mereka tiada urusan, malah bergambar.
"Perbuatan itu sangat menjelikkan memandangkan semua orang mengeluarkan telefon bimbit dan mengambil gambar di kementerian penting dan sensitif tanpa sebarang sebab," tegas beliau seperti yang dipetik oleh Reuters.
"Perbuatan bersantai dan bergambar serta merakam video tidak akan membantu anda di dunia ini mahupun di akhirat," kata Mullah.
Beliau juga menggesa anggota Taliban supaya memperbaiki penampilan mereka dan mematuhi apa yang beliau sifatkan sebagai peraturan dalam Islam. - AGENSI
No comments:
Post a Comment