Sunday, September 05, 2021

Orang Asli tetap tolak hutan simpan dimajukan

 

BANTING: Menyusuri jalan di Kampung Orang Asli Busut Baru, keadaan kelihatan tenang. Tiada langsung kelibat manusia. Mungkin hujan renyai-renyai menyebabkan penduduk memilih untuk tinggal dalam rumah.

Kampung ini adalah penempatan tersusun dengan setiap rumah mempunyai struktur binaan lebih kurang sama. Dari jalan utama hingga ke depan rumah, dilitupi jalan bertar.

Untuk masuk ke kampung ini, terdapat satu pondok berpengawal dengan sekatan palang untuk menghalang orang luar memasuki kampung itu.

Wartawan Harakah Daily yang hendak masuk juga terpaksa menunggu lama sebelum pengawal membenarkan dengan beberapa syarat tertentu yang dikatakan untuk menghalang penularan wabak Covid-19 kepada penduduk tempatan.

Kampung ini dan tiga kampung Orang Asli lain berdekatan, Pulau Kempas, Bukit Cheeding dan Bukit Kemandol, menarik perhatian seluruh negara sejak tahun lalu berikutan hasrat kerajaan Selangor hendak menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Empat kampung ini yang mempunyai kira-kira 2,000 penduduk terletak di sepanjang jajaran hutan simpan itu yang asalnya mempunyai keluasan 7,246.96 hektar, tetapi sedikit demi sedikit berkurangan hingga sekarang hanya tinggal tidak sampai 1,000 hektar.

Masyarakat Orang Asli dikelilingi pelbagai pembangunan pesat guna tanah seperti pembangunan Gamuda Cove (selatan), perumahan Saujana Putra (utara), Lebuh Raya Elite (sempadan timur) dan ladang Bukit Cheeding (Boh Plantations Sdn Bhd) di bahagian barat laut.

Isu penyahwartaan HSKLU mencapai kemuncak ketika Sidang Dewan Negeri Selangor, sehari sebelum ulang tahun kemerdekaan negara. Pecah berita bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, secara senyap-senyap telah menyahwartakan 54 peratus daripada keseluruhan hutan simpan itu sejak 5 Mei lalu.

Pelbagai pihak terkejut dengan pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian, ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Selangor, bahawa mesyuarat Exco meluluskan kira-kira 536.70 hektar untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Apa pula reaksi pihak yang paling terjejas dengan keputusan itu, Orang Asli suku Temuan di empat kampung berkenaan. Bayangkan kampung yang tenang dengan kehijauan hutan bakal berubah wajah dalam tempoh beberapa tahun akan datang jika keputusan kerajaan negeri tidak berubah.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli, Kampung Orang Asli Busut Baru, Samsul Anak Senin

“Kami tak setuju. Kami bantah keputusan kerajaan negeri,” tegas Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli, Kampung Orang Asli Busut Baru, Samsul Anak Senin.

Beliau mendesak kerajaan negeri mengkaji semula keputusan itu walaupun masih ada baki hutan ditinggalkan sebagai kawasan rayau Orang Asli.

Katanya, kawasan HSKLU yang dinyahwartakan terlalu hampir dengan kampung Orang Asli dan kehilangan sebahagian hutan itu bukan sahaja menyusahkan penduduk, malah bakal menghilangkan sumber keperluan utama mereka.

“HSKLU ialah kawasan rayau dan tanah adat Orang Asli. Kami tak setuju kerana memajukan sebahagian, apatah lagi keseluruhan hutan akan menjejaskan kehidupan Orang Asli sekarang dan akan datang.

“Hutan ini ibarat rumah tempat bernaung dan ibarat ibu bapa yang memberikan makanan untuk kami meneruskan kehidupan. Di sinilah banyak sumber makanan dan herba perubatan Orang Asli, selain tempat memburu binatang,” katanya.

Katanya, majoriti Orang Asli adalah golongan miskin. Ketika kesempitan hidup, terutama pandemik Covid-19 sekarang apabila sesetengah penduduk hilang mata pencarian, hutan simpan itu menjadi penyelamat untuk meneruskan kehidupan.

Orang Asli, katanya sama ada yang memeluk agama Islam atau masih mengikut kepercayaan nenek moyang sangat menghargai hutan dan mereka yang masih hidup, bertanggungjawab memelihara hutan untuk warisan generasi akan datang.

Samsul berkata, hutan simpan itu menjadi tempat mendapatkan sumber makanan seperti ikan di paya gambut serta kancil melalui aktiviti memburu, selain kayu mahang untuk membuat alat muzik, buluh untuk membuat sumpit dan daun bertam untuk atap rumah.

“Di situ juga kami mencari pelbagai herba untuk kegunaan sendiri seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Tapak Sulaiman. Jika hutan simpan dibangunkan, kami akan kehilangan khazanah berharga ini buat selama-lamanya,” katanya.

Bagi penduduk yang masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang, katanya hutan simpan itu adalah tempat spiritual melalui upacara ketika Hari Moyang (Aik Muyang).

Beliau berkata, ini yang menyebabkan penduduk membantah keputusan menyahwartakan hutan simpan itu kerana dalam jangka panjang, Orang Asli yang akan menerima padah.

“Benar! Ada baki hutan ditinggalkan untuk kami, tetapi apakah jaminan bahawa baki hutan itu juga tidak akan hilang. Akhirnya, baki hutan pun akan hilang untuk dimajukan dengan pelbagai alasan diberikan seperti sebelum ini, iaitu hutan rosot,” katanya.

Katanya, hutan simpan paya gambut itu pernah terbakar beberapa kali sebelum ini, tetapi percaya, hutan secara semula jadi boleh pulih sendiri dan kerajaan negeri sepatutnya memulihara hutan untuk kepentingan rakyat dan alam sekitar.

Jika kerajaan negeri tidak berminat, Samsul secara sukarela menawarkan diri untuk memulihara HSKLU yang asalnya bersambung dengan hutan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dekat Morib dan Hutan Simpan Sepang, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru, Rasid Kusdi

Penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru, Rasid Kusdi, 34, pula berkata HSKLU yang dihimpit pelbagai projek pembangunan perlu dikekalkan untuk mengimbangi pembangunan konkrit yang tidak mampan.

Walaupun mengaku sebahagian Orang Asli seperti dirinya kini mencari rezeki di tempat lain, katanya identiti mereka adalah hutan dan kehilangan hutan, bermakna identiti Orang Asli juga akan lenyap.

“Saya memang kerap masuk hutan. Kalau tiada lagi hutan, kami semua hendak ke mana lagi,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Cyberjaya berkata, kampungnya adalah yang paling hampir dengan kawasan hutan yang hendak dimajukan, iaitu hanya kira-kira 200 meter.

Katanya, penduduk khuatir kampung akan terancam akibat pembangunan yang tidak dapat diramalkan pada masa depan.

“Jika banjir berlaku pada masa depan, kampung kami yang paling teruk menerima tempias,” katanya yang memberitahu bahawa penduduk berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan hutan simpan itu, termasuk melalui bantahan awam, petisyen dan demontrasi aman.

“Namun, penyahwartaan tetap diteruskan. Kami kesal, tetapi tetap akan berjuang mempertahankan hutan simpan itu,” katanya.

Penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru, Shahrul Nizam

Sementara itu, Shahrul Nizam, 19, juga dari kampung yang sama, mengakui bahawa penduduk terancam dengan penyahwartaan HSKLU yang menjadi sumber rezeki sebahagian penduduk.

Katanya, walaupun memburu dan mencari herba bukan lagi aktiviti utama, masih ada penduduk yang bergantung kepada hasil hutan untuk meneruskan kehidupan.

“Ini yang menyebabkan kami sedih mendengar berita hutan simpan ini hendak dimajukan,” katanya yang turut meminta kerajaan negeri membatalkan penyahwartaan itu.

Pemangku Tok Batin Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Ros Dudang

Pemangku Tok Batin Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Ros Dudang, 58, pula berkata, penduduk kampung tidak dapat melakukan apa-apa jika kerajaan negeri hendak berbuat demikian.

“Kita hendak pertahankan hutan simpan itu, tetapi tidak boleh,” katanya yang memberitahu bahawa paling penting sekarang ialah tanah kampung Orang Asli diwartakan terlebih dahulu. Bagaimanapun, Ros mengakui bahawa setiap Orang Asli amat menyayangi hutan sebagai sebahagian hidup mereka.

HSKLU yang diwartakan pada 13 Mei 1927 terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor, menjadi perhatian umum berikutan notis penyiasatan awam mengikut Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

Notis itu yang bertujuan mendapatkan pandangan umum berikutan cadangan pemansuhan pewartaan HSKLU, mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat terutama masyarakat Orang Asli yang bergantung hidup dengan hutan terbabit sejak ratusan tahun lamanya.

Selain bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, usul yang disokong sebulat suara di Sidang Dewan Negeri Selangor tahun lalu, yang meminta hutan simpan itu dikekalkan juga tidak dipedulikan. – HARAKAHDAILY 5/9/2021

Sila lihat.. 

E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

No comments:

Post a Comment