Waris mangsa, Ria van der Steen (tengah) tiba di Kompleks Mahkamah Schiphol di Badhoevedorp, Belanda bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes MH17. - Foto EPA
Waris mangsa MH17 bidas Russia amal rasuah.
THE HAGUE: Waris 298 mangsa yang terkorban dalam kes tembakan pesawat MH17 di Ukraine pada 17 Julai 2014, menuntut keadilan daripada Russia semalam.
Mereka semalam mula memberi keterangan dalam perbicaraan empat suspek di Belanda, yang bertanggungjawab dalam nahas membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.
Penyiasat antarabangsa berkata, pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu buatan Russia oleh pemberontak pro-Moscow dari timur Ukraine, tetapi Russia menafikan pembabitannya.
MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine, menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.
Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.
Warga Russia, Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, dituduh bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.
Peluru berpandu BUK yang digunakan mereka dipercayai dimiliki Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawat tentera Russia yang berpangkalan di Kursk, terletak berhampiran sempadan Ukraine.
Ria van der Steen, yang kehilangan ayahnya, Jan dan ibu tiri, Nell, memetik karya penulis Russia, Alexander Solzhenitsyn: "Mereka berbohong, kami tahu mereka berbohong dan mereka tahu kami tahu mereka berbohong".
Van der Steen yang juga saksi pertama memberi keterangan, berkata beliau diselubungi perasaan dendam, benci, marah dan takut.
Wanita itu memberitahu mahkamah, beliau kerap mengalami mimpi buruk seperti berjalan menyelongkar serpihan pesawat untuk mencari ayahnya selepas nahas itu.
"Ketika saya menemuinya, saya memberitahu mereka sudah mati, kemudian saya terjaga dan menangis.
"Saya tahu mereka sudah mati dan tidak boleh bertemu lagi, tetapi saya tidak dapat berhenti meratapi kehilangan mereka hingga pihak bertanggungjawab didapati bersalah dan dihukum," katanya.
Hampir 90 waris 196 mangsa tragedi terbabit serta pihak dari Australia dan Malaysia dijangka menghadiri perbicaraan yang diadakan selama beberapa hari lagi itu.
Sementara itu, Vanessa Rizk dari Australia, yang kehilangan ibu bapanya, Albert dan Maree, ketika dalam perjalanan pulang dari percutian di Eropah, berkata pelaku 'berhak dihukum bagi tindakan keji mereka'.
"Bagaimana perasaan pelaku jika ia adalah orang disayangi mereka? Bagaimana (Presiden, Vladimir) Putin dan kerajaan Russia yang korup akan menjawabnya," katanya menerusi siaran langsung dari Australia.
Peter van der Meer pula memberitahu mahkamah, beliau kehilangan 'kehidupan dan masa depannya' susulan kematian tiga anak perempuannya Sophie, 12; Fleur, 10 dan Bente, 7, bersama bekas isterinya Ingrid.
Katanya, beliau berhenti meraikan sambutan Saint Nicholas di Belanda selepas kematian anak perempuannya kerana ia adalah pesta untuk kanak-kanak.
"Saya tidak mahu meraikannya lagi kerana tidak mempunyai anak, saya harap pelakunya terdesak untuk mengaku selepas mendengar cerita yang saya sampaikan hari ini.
"Jangan berbohong lagi kepada anak dan cucu mengenai tindakan kamu pada 17 Julai 2014," katanya.
Seorang lagi saksi, Robbert van Heijningen, yang kehilangan abangnya, Erik; kakak ipar, Tina dan anak saudaranya, Zeger, 17, berkata pelaku tahu 'mereka menembak pesawat awam yang mudah diserang, tanpa sebarang pertahanan'.
Sementara itu, Sander Essers, yang kehilangan abang, Peter; kakak ipar, Jolette Eusink dan dua anak saudaranya, Emma, 20, serta Valentijn, 17, berkata abangnya sempat menghubunginya 20 minit sebelum penerbangan berlepas 'dengan rasa takut'.
"Saya salahkan diri sendiri kerana tak memandang serius firasatnya. Saya tidak lena kerana perkara ini," katanya.
Panel hakim diketua Hendrik Steenhuis, menetapkan 22 September 2022 sebagai tarikh keputusan, selain memberi tarikh alternatif pada November dan Disember tahun yang sama. - AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Pembicaraan kes tembakan pesawat MH17. Tetapi yang tertonjol, 'Russia amal rasuah.'
Lihat dialog ini..
["Bagaimana perasaan pelaku jika ia adalah orang disayangi mereka? Bagaimana (Presiden, Vladimir) Putin dan kerajaan Russia yang korup akan menjawabnya," katanya menerusi siaran langsung dari Australia.]
Suatu pengajaran kepada pengagum-pengagum blok komunis/sosialis/demokat, konon mampu perjuangkan rasuah, tetapi di negara tempat lahirnya sendiri pun bermasalah. Apa lagi kalau jauh seperti di Malaysia, ada pemimpin tertinggi sebuah parti politik demokrat didakwa terlibat rasuah yang tdak kecil jumlahnya.
Peluang jadi usahawan ternak siput..
No comments:
Post a Comment