KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam telah meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk bertindak ekoran aduan rakyat mengenai pencemaran udara yang berlaku di Kampung Mikang, Muadzam Shah, Pahang.
“Alhamdulillah, pihak JAS telah menyiapkan laporan awal petang tadi setelah melakukan siasatan di kawasan berkenaan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.
Menurutnya, sebuah premis haram dikesan menjalankan aktiviti peleburan sisa elektrik dan elektronik kerana terdapat kesan baraan api, satu alat pembakar yang dilengkapi dengan dua cerobong dan alat janakuasa.
Beliau berkata, premis tidak beroperasi ketika siasatan dijalankan.
“JAS telah mengeluarkan empat kompaun ke atas pemilik tanah dan notis Penahanan Operasi Kelengkapan serta membuka kertas siasatan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, JAS juga mengesyorkan kepada pihak PBT untuk mengambil tindakan tegas ke atas premis tersebut.
Tambahnya, pemantauan akan diteruskan dengan kerjasama pihak polis.
“Terima kasih kepada pihak pengadu dan JAS atas tindakan pantas yang telah diambil. Alam sekitar adalah tanggungjawab kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2021
1 comment:
Cari punca pencemaran sungai air babi di Pulau Pinang... tutup dan kompaun maksimum
Post a Comment