Friday, September 17, 2021

Perang poster makin hangat (ABPBH). Wajarkah?

 

Strategi Siti Nordiana FC bersandarkan kepada kekuatan dan semangat penyokong yang sentiasa gigih berusaha demi memastikan undian buat Siti Nordiana.

HALAMAN HIBURAN

Perang poster makin hangat Anugerah Bintang Popular ..

KUALA LUMPUR: Sebaik pusingan pertama undian Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 dibuka minggu lalu, perang poster digital antara individu dan kelab peminat melalui media sosial, makin rancak.

Sejak proses undian calon kategori utama dan online ABPBH dilaksanakan 100 peratus atas talian pada 2017, penggunaan platform digital terutama media sosial dalam kempen meraih undi calon dan mempromosikan acara anugerah ini, meningkat setiap tahun.

Kali kedua dianjurkan pada era pandemik COVID-19, penyokong termasuk ahli kelab peminat atau 'FC' dilihat sudah membiasakan diri mempromosi dan melobi calon ABPBH 34 melalui penerapan norma baharu termasuk pergantungan kepada media sosial sebagai kaedah paling selamat mendekati kumpulan sasaran.

Tidak hairanlah, sejak 10 September lalu, sebaik undian peringkat pertama ABPBH 34 dibuka, perang poster calon awal acara anugerah ini mula dilihat dengan masing-masing melakukan gerak gempur memastikan artis pujaan mara ke peringkat Top 5.

Bukan sekadar poster kreatif, kreativiti peminat diserlahkan lagi dengan perkongsian video atau foto yang diiringi lagu latar, tanda pagar #ABPBH34 dan tema #KITABERSAMA yang diangkat pada edisi ke-34 acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia ini.

BH mendapatkan reaksi beberapa kelab peminat yang tidak putus-putus berkempen memastikan artis pujaan mereka mara ke peringkat Top 5, sekali gus melakar kejayaan pada malam kemuncak ABPBH 34 yang bakal diadakan pada 13 November depan.

Bagi kelab peminat artis serba boleh, Sherry Alhadad, strategi sama diatur kali ini bagi memastikan artis kesayangan mereka bolos Top 5.

Presiden dan Pengurus Sherrylicious Fan Club (FC), Wan Rohaya Wan Azmi, berkata selain berkempen, ahli kelab memastikan undian dilakukan konsisten.

"Strategi kami masih sama seperti tahun lalu. Kami ada pasukan yang fokus kepada undian harian dan akan sentiasa mencari jalan untuk menambahbaik proses itu.

"Selain itu, kami berkempen dan mengajak peminat Sherry sama-sama mengundinya. Dalam menyediakan poster digital, kami bagaimanapun tidaklah selalu di hadapan.

"Namun, kami masih melakukannya untuk menyemarakkan ABPBH 34. Ini juga bukti sokongan tidak berbelah bahagi kami kepada Sherry," katanya.

Selain berkempen, ahli Sherrylicious Fan Club memastikan undian dilakukan konsisten.

Pada ABPBH 34, Sherry tersenarai sebagai calon awal lima kategori iaitu Pelakon Filem Popular, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Artis Komedi Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular bersama Azhan Rani menerusi filem Bikin Filem.

Pada ABPBH 33, Sherry menang kategori Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Wan Rohaya berkata, kelab akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Sherry berada pada kedudukan selesa dan mara sebagai finalis ABPBH 34.

"Soal kemampuan Sherry mengekalkan dua trofi dimenangi tahun lalu, kami berserah. Disebabkan Sherry tercalon dalam lima kategori tahun ini, kami akan cuba sehabis baik dan bertawakal.

"Menang atau kalah, kami tetap bersama Sherry. Namun, kalau menang, itu sudah dianggap bonus buat kami... Insya-Allah," katanya.

Presiden Siti Nordiana FC, Mohd Zuhdi Zainul Abidin berkata, ahli kelab mengekalkan strategi memastikan kemaraan artis versatil itu seperti tahun sebelumnya.

"Berhubung soal perancangan dan strategi, tiada perubahan dibuat kali ini. Cuma, pada era pandemik, kami selalu mengadakan pertemuan virtual bersama peminat.

"Melalui cara itu, kita berkempen untuk meraih undi. Kaedah ini lebih mendekatkan ukhuwah antara peminat Siti Nordiana.

"Strategi kami bersandarkan kepada kekuatan dan semangat penyokong yang sentiasa gigih berusaha demi memastikan undian buat Siti Nordiana," katanya.

Mohd Zuhdi berkata, Siti Nordiana FC juga antara kelab peminat yang agresif dalam perang poster demi memastikan kejayaan artis pujaan.

"Memang kami antara FC yang bersemangat dalam perang poster. Terima kasih buat semua pasukan SitiNordiana FC atas usaha dan inisiatif diambil.

"Ada yang buat poster kreatif sendiri biarpun tiada kepakaran dalam bidang rekaan grafik," katanya.

Khai Bahar Empire melakukan gerak gempur undian awal menerusi pelbagai platform termasuk kumpulan WhatsApp dan Telegram.

Mohd Zuhdi berkata, kelab melancarkan tanda pagar #inilahmasanya sebagai laungan keramat dalam meraih sokongan terhadap Siti Nordiana yang berentap dalam kategori Penyanyi Wanita Popular dan Artis Versatil Popular.

"Bukan senang untuk mengekalkan kemenangan lalu. Namun, kami mesti cuba sedaya upaya. Selebihnya, kami berdoa dan bertawakal... Semua yang berlaku adalah atas izin-Nya," katanya.

Sementara itu, Presiden Khai Bahar Empire (KBE), Sarhan Ezani, berkata gerak gempur undian awal dilakukan dalam pelbagai platform termasuk kumpulan WhatsApp dan Telegram.

"Seperti tahun sebelumnya, sebagai strategi awal, kami cuba undi sebanyak mungkin untuk memastikan Khai berada dalam kelompok Top 5.

"Kami berkempen dan melakukan gerak gempur setiap hari. Kelab juga mula berkempen melalui poster sejak pencalonan dibuka.

"Poster ini bukan dari Ahli Jawatankuasa (AJK) FC sahaja, malah, ahli biasa ambil inisiatif sendiri mencipta poster untuk memeriahkan kempen ABPBH 34 di Instagram (IG), Facebook (FB) dan Twitter," katanya.

Sebelum ini, Khai pernah melakukan hatrik mengekalkan trofi Penyanyi Lelaki Popular sejak edisi ke-30 ABPBH sebelum dirampas Haqiem Rusli, tahun lalu.

Pada ABPBH 33, Khai menang kategori Artis Duo Popular bersama Siti Nordiana menerusi lagu Satukan Rasa.

Pada ABPBH 34, Khai menjadi calon awal kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Duo Popular bersama Aina Abdul untuk lagu Nafas Cinta.

Usaha dipergiatkan dilakukan DJ Lin Followers bagi memastikan penyampai radio Suria FM itu sekali lagi membawa pulang trofi Penyampai Radio Popular.

Bagi Presiden DJ Lin Followers, Tuan Auzan Tuan Kamaluddin, usaha dipergiatkan bagi memastikan penyampai radio Suria FM, DJ Lin sekali membawa pulang trofi Penyampai Radio Popular.

"Selepas mendapat tahu DJ Lin tercalon, berita gembira itu dikongsi bersama semua ahli jawatankuasa (AJK) DJ Lin Followers.

"Perkara ini turut dihebahkan kepada semua peminat DJ Lin melalui platform media sosial seperti IG, Twitter dan FB.

"Kami kemudian membuka kumpulan WhatsApp untuk membincangkan strategi undian berdasarkan syarat dan peraturan yang ditetapkan penganjur ABPBH 34," katanya.

Tuan Auzan berkata, kelab merangka strategi dengan menubuhkan dua pasukan di mana masing-masing mempunyai misi berbeza dalam memastikan undian secara optimum.

"Satu kumpulan memberi fokus kepada undian melalui peranti Xiaomi manakala satu kumpulan melakukan kerja-kerja undian percuma," katanya.

Tuan Auzan berkata, mereka bekerja keras bagi memastikan DJ Lin bolos calon Top 5.

"Kemenangan DJ Lin adalah kebahagiaan kami sebagai pengikut setia dan peminat tegar DJ Lin serta Suria Cinta.

"Semua peminat setia DJ Lin pasti bertungkus-lumus dan bekerja keras dalam memastikan rezeki, nasib serta tuah sekali lagi berpihak kepada DJ Lin.

"Sama-sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan DJ Lin sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling popular pada ABPBH 34.

"Jika hasrat kami menjadi realiti, ini adalah rezeki berganda buat DJ Lin selepas merangkul trofi Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia untuk 2021 anjuran Majalah antarabangsa, Reader's Digest," katanya.

Miralegacy mengatur strategi agar Mira yang pernah merangkul trofi Bintang Paling Popular ABPBH 32 mara sebagai calon Top 5.

Sementara itu, Ketua Urus Tadbir Miralegacy, Ross Harun, berkata strategi diatur agar pelakon dan pengacara, Mira Filzah yang pernah merangkul trofi Bintang Paling Popular ABPBH 32 mara sebagai calon Top 5.

"Alhamdulillah, Miraclegacy teruja dan bersyukur atas empat pencalonan diterima Mira melalui penampilan dalam drama Bidadari Kiriman Tuhan dan Adellea Sofea kali ini.

"Sebaik mendapat tahu undian dibuka sejak 10 September lalu, kami tanpa berlengah mengerah tenaga untuk mengundi Mira melalui setiap saluran," katanya.

Bagaimanapun, Miralegacy tidak menaruh harapan tinggi untuk artis kesayangan membawa pulang trofi. Sebaliknya, menang atau kalah, mereka mahu terus menyokong Mira.

"Untuk ABPBH 34, Miraclegacy tidak meletakkan apa-apa harapan. Kami sangat memahami prinsip dan pegangan Mira iaitu apa juga anugerah atau pengiktirafan yang diperoleh, harus selari dengan kejayaan sesuatu produk atau drama yang dibintangi.

"Kami akan sentiasa memberikan sokongan padu demi kelancaran dan kejayaan karier Mira dalam industri seni seperti slogan Miraclegacy iaitu 'Together We Strong'," katanya.

Mira Filzah dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular serta Gandingan Serasi Drama Popular menerusi dua drama iaitu Bidadari Kiriman Tuhan bersama Zul Ariffin dan Adella Sofea bersama Ungku Ismail.

Penaja utama ABPBH 34 adalah Xiaomi.

Undian peringkat pertama ABPBH 34 dibuka sejak 10 September lalu sehingga 3 Oktober depan.

Sebanyak 14 kategori utama dan enam kategori online dibuka. Bagaimanapun, dua kategori online, iaitu Artis TikTok Popular dan Anugerah FANtastik Popular akan dibuka, bulan depan.

Layari www.abpbh.com.my untuk mengundi artis pilihan anda.


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah manfaatnya kegiatan-kegiatan hiburan seperti ini untuk pembangunan negara dan agama di negara ini? Perlukah dilaksanakan hiburan menurut syariat? Boleh lihat Kelantan dan Terengganu..

No comments:

Post a Comment