Wednesday, September 22, 2021

Pondan dilarang masuk masjid

 

Aceh mengenakan hukum hudud ke atas pesalah syariah. - Gambar hiasan AFP

KANGAR: Golongan mukhannath atau lebih dikenali sebagai mak nyah atau 'transgender' diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina, kerana boleh mengganggu suasana ibadah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-53/ 2021 pada 23 dan 24 Jun lalu, golongan itu yang sengaja menyerupai jantina yang berbeza termasuk dalam golongan fasik.

"Oleh hal demikian, mereka diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

"Solat jemaah golongan mak nyah ini hendaklah berdasarkan jantinanya yang sebenar. Juga dilarang mengerjakan haji dan umrah, jika penampilan mereka boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah haji dan umrah lain," katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis, hari ini.

Katanya, tasyabbuh ialah perbuatan lelaki ataupun wanita dengan sengaja meniru jantina yang berbeza dari segi pertuturan, tingkah laku, perbuatan atau berpakaian tanpa mempunyai keperluan yang dibenarkan oleh syarak seperti pendidikan, penyaksian atau pemberian keterangan dan seumpamanya.

"Hukum tasyabbuh ini haram kerana termasuk di dalam dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT, seperti dalam hadis Nabi SAW daripada Ibn Abbas r.a iaitu Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan orang wanita yang menyerupai lelaki. (HR al-Bukhari).

"Jika penyerupaan itu tidak disengajakan seperti sifat lembut yang ada pada lelaki sejak asal, bukan sengaja dibuat-buat, tidak dinamakan dengan tasyabbuh, iaitu golongan ini pula dipanggil 'mukhannath khalqi' iaitu seorang yang mempunyai sifat keperempuanan yang tidak disengajakan.

"Ini juga sama seperti wanita yang mempunyai sifat lelaki sejak asal seperti suara yang garau. Mereka ini dimaafkan selagi ia bukan disengajakan," katanya.

Beliau berkata, berbalik kepada perkara utama, terdapat beberapa hukum yang perlu diberikan perhatian dalam membantu golongan itu, iaitu haram hukumnya seseorang berkhalwat dengan golongan mak nyah, sekalipun dari jantina yang sama kerana boleh menimbulkan fitnah atau mencemarkan nama baik seseorang.

"Jika tidak menimbulkan fitnah, hukumnya sama seperti seseorang berkhalwat dengan jantina yang sama.

"Mereka turut dilarang mengerjakan haji dan umrah jika penampilan mereka boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah haji dan umrah. Sekiranya mereka meninggal dunia, jenazah golongan ini diuruskan berdasarkan jantina yang sebenar," katanya.

Mohd Asri berkata, pengurusan jenazah perlu memilih mereka yang sesuai untuk mengendalikan jenazah bagi mengelakkan fitnah.

"Demikian juga lelaki atau wanita yang memiliki perasaan seks kepada golongan sejenis tanpa sengaja, namun tidak melakukan apa-apa perbuatan yang mencanggahi syarak, dimaafkan. Bahkan jika dia bersabar menahan dirinya dari melakukan perbuatan yang haram, dia mendapat pahala yang besar.

"Selain itu juga, lelaki dari golongan ini boleh menjadi wali dengan syarat ketika proses perwalian dia tampil dengan perwatakan lelaki," katanya.

Islam melarang lelaki secara sengaja cuba menyerupai wanita dan sebaliknya. - Gambar hiasan AFP
(BH)

1 comment:

  1. Yg suka main bontot ni kategori apa pulak. Layak ke masuk masjid, jadi imam, ngajar hadith. Paling tidak, layak ke jadi pemimpin sebuah masyarakat.

    ReplyDelete