Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.92 bilion diperuntukkan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk kelestarian alam sekitar dan air, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, daripada peruntukan itu, 351 projek akan dilaksanakan membabitkan 277 projek sambungan dan 74 projek baharu dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM44.6 bilion.
"Strategi digariskan dalam RMK-12 dilihat mampu membina semula ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
"Pendekatan model ekonomi hijau juga amat bertepatan untuk melengkapkan perancangan ekonomi makro dan analisis impak ke atas kelestarian alam sekitar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pengumuman komitmen sasaran karbon negara iaitu sasaran pelepasan bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050 juga antara pemacu kepada pendekatan ekonomi hijau.
"Perincian langkah bagi mencapai sasaran ini berdasarkan kajian Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon ( LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir 2022," katanya.
Memperincikan perkara itu, Tuan Ibrahim berkata, LT-LEDS akan menggariskan strategi dan tindakan bagi mitigasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bagi sektor ekonomi utama negara yang akan menjadi asas menentukan hala tuju dan tahun sasaran pelepasan bersih sifar negara.
"Saya yakin komitmen sasaran pelepasan bersih sifar akan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan dengan memacu kecekapan sumber dan mengekalkan daya tahan ekosistem alam sekitar.
"Saya akan memastikan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan peranannya dengan berkesan di bawah tema ketiga RMK-12 iaitu 'Melonjakkan Kemampanan' yang memberi tumpuan kepada mempercepat pertumbuhan hijau serta mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air serta pengukuhan tadbir urus alam sekitar," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment