Wednesday, September 15, 2021

Sehari selepas MoU, AP PH DAP Kembali kepada modal lama..

 

Sehari selepas MoU Parlimen kembali kecoh

KUALA LUMPUR: Hanya sehari selepas kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama ‘dwipartisan’, hari ini persidangan Dewan Rakyat kembali riuh.

Ahli Parlimen PH kembali kepada modal lama dengan menjadikan kerajaan dan Speaker sebagai sasaran.

Isunya bermula apabila Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) membangkitkan mengapa Speaker Dato’ Azhar Azizan Harun tidak memaklumkan sebab usul supaya jawatan speaker dikosong ditolak.

Ahli Parlimen DAP terbabit membangkitkan isu tersebut selepas sesi soal jawab soalan lisan pada persidangan Dewan Rakyat pagi tadi.

Azhar ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut menjelaskan beliau tidak campur tangan terhadap penolakan usul tersebut kerana ia dibuat Timbalan Speaker Dato’ Mohd Rashid Hasnon.

Bagaimanapun bagi meredakan suasana itu, Azhar memberi peluang Mohd Rashid kembali mempengerusikan mesyuarat bagi menjelaskan kepada ahli-ahli parlimen mengenai usul tersebut.

Timbalan Speaker terbabit berkata, sebelum ini pihaknya menerima sebanyak 11 usul daripada Parti Amanah Negara yang mendesak Speaker meletak jawatan.

“Bagaimanapun selepas diteliti saya mendapati usul tersebut tidak memenuhi kehendak usul dan saya menolaknya.

“Saya membuat keputusan muktamad menolak usul tersebut. Dan jawapan mengenainya sudah dihantar kepada pihak yang menghantar usul tersebut. Jadi ia tidak perlulah dijelaskan kepada Dewan.

“Sila penghantar usul-usul tersebut baca jawapan yang telah saya beri secara bertulis,” katanya.

Bagaimanapun penjelasan Mohd Rashid tidak dapat meredakan keadaan, di mana RSN Rayer (DAP-Jelutong) menganggap penjelasan tersebut sebagai memalukan.

“Timbalan speaker, jangan salah guna kuasa. Orang memerhatikan anda. Memalukan,” kata Rayer.

Berikutan itu Timbalan Speaker memberi amaran meminta ahli Parlimen DAP terbabit menarik semula perkataan tersebut.

Namun Rayer masih berkeras, malah seperti mencabar dengan menyebut pula sebagai amat memalukan.

Berikutan itu Mohd Rashid meminta Bentara Dewan mengeluarkan ahli Parlimen tersebut dan menggantung kehadirannya selama dua hari.

Malah ketika ahli parlimen tersebut diiringi keluar Dewan, ahli-ahli parlimen pembangkang beramai-ramai menyebut perkataan memalukan.

Pada Ogos lepas Presiden Amanah Mohamad Sabu dilapor berkata, pihaknya menghantar usul bagi meminta Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengosongkan jawatannya. – HARAKAHDAILY 14/9/2021

1 comment:

Unknown said...

Pembangkang cari idea niat nak buat kacau semata mata

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails