ISU keganasan rumah tangga, pencabulan, buli atau gangguan seksual sering melanda golongan wanita. Isu ini semakin lama semakin parah. Apakah kerana wanita yang terlibat tidak berani bersuara atau disebabkan cinta kepada pasangan, sanggup diperlakukan begitu?
Bagaimana wanita berdepan dengan gangguan dan cabaran ini supaya mereka tidak terus dibuli atau dipermainkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Siapakah yang seharusnya membantu golongan wanita ini daripada terus terluka, terhina dengan keganasaan tersebut. Apakah suara wanita yang sebaris bersama dengan golongan lelaki berada dalam bidang politik, kerajaan, NGO masih belum mencukupi untuk memastikan hak mereka dihormati?
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berharap semua pemimpin-pemimpin wanita sama ada pembangkang atau kerajaan di semua peringkat perlu memainkan peranan untuk mengangkat martabat wanita itu sendiri.
Menurut beliau, sumbangan wanita itu sebenarnya sangat besar untuk memastikan keselesaan, kebahagiaan, keamanan rakyat dan pembangunan sebuah negara.
Katanya kepada Harakahdaily baru-baru ini, dalam Akta Perundangan ada Kanun Keseksaan Akta 574, Akta kerja 265, Akta komunikasi dan Multimedia 588. Kalau di sektor swasta, ada kod amalan untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja.
Dalam sektor awam ada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 pindaan 202. Pada tahun 2005 dan 2018, ada pekeliling perkhidmatan bilangan 22 tahun 2005. Selain itu, ada garis panduan mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dalam Perkhidmatan Awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 tahun 2018.
Jadi sebenarnya kita sudah ada perundangan, cuma sekarang ini untuk menambahbaikan perundangan dan menggunakan pemerkasaan wanita hendaklah berdasarkan undang-undang tersebut.
Pencapaian wanita dalam perkhidmatan awam
Setakat ini, penjawat awam dikalangan wanita mencapai 37.3 peratus dalam membuat keputusan. Di sektor swasta, kerjasama daripada majikan dan syarikat-syarikat pencapaian sebanyak 26.8 peratus berdasarkan bilangan ahli lembaga pengarah di serata syarikat yang tersenarai.
Begitu juga di Dewan Rakyat yang mana, hari ini kita lihat ahli parlimen wanita di dewan rakyat seramai 33 orang daripada 220 orang ahli parlimen. Lebih kurang 15 peratus. Begitu juga, di Dewan Negara pula seramai 28 orang wanita daripada 53 orang. Lebih kurang 15 peratus dan ini juga boleh dikatakan masih jauh ketinggalan.
Beliau berharap selain peranan wanita, kepimpinan dan ketegasan penggerak-penggerak pejuang wanita terutama di pelbagai parti untuk mendesak dan memberi keyakinan kepada para wanita supaya mempunyai jati diri, mampu mengundi dan layak diundi ini sangat penting dalam menentukan kepimpinan.
“Alhamdulillah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah berusaha mengadakan pelbagai cara untuk menggilap bakat wanita menceburkan diri seperti pemetaan suara wanita, konvesyen pemimpin wanita, simposium wanita negara di samping program-program yang telah sedia ada,” katanya.
Kajian yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), 64.2 peratus wanita dari golongan B40 mengesahkan bagaimana mereka terkesan.
Justeru, KPWKM sangat memahami, merasai kesusahan perit jerih bukan sahaja wanita-wanita bekerjaya dan professional malah wanita-wanita di bawah.
“Sebab itu banyak program yang dilaksanakan oleh Kementerian contohnya, pada tahun 2020, 895 program pengukuhan wanita dilaksanakan. Pada tahun 2021, lebih kurang 800 program telah dilaksanakan yang melibatkan 441, 812 peserta dengan mengamalkan norma baharu.
“Saya sangat mengharapkan dan mengalu-alukan segala idea, sokongan dan pandangan daripada golongan professional, golongan terpelajar, golongan NGO dan semua penggerak-penggerak wanita untuk turut sama bersama kerajaan untuk sama-sama bersatu memperkasakan wanita.
“Kita memahami kekangan bajet, tenaga staf dan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk kita melaksanakan banyak perkara. Ini juga menjadi penghalang untuk kita laksanakan sesuatu program. Kita mengharapkan gabungan ini dapat membina satu gagasan yang jelas untuk memperkasakan wanita ke hadapan,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.
Beliau memaklumkan kementerian menyediakan pelbagai program bukan sahaja dari sudut kepimpinan wanita malah program perkasakan wanita dari sudut ekonomi, dapat dilaksanakan dengan kerjasama kementerian, kerajaan negeri, pihak-pihak NGO dan sektor-sektor korporat untuk melihat bagaiman kekangan-kekangan yang dihadapi oleh wanita.
Di samping itu, kata beliau, kementerian telah mewujudkan satu talian khas untuk memastikan wanita sentiasa selamat.
Katanya, kementerian telah menyediakan talian Kasih 15999 dan WhatsApp Talian Kasih 019-2615999.
“Perkhidmatan yang beroperasi 24 jam setiap hari itu berfungsi sebagai single point of contact kepada semua pelanggan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mengemukakan sebarang pertanyaan, aduan mahupun permohonan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2021
No comments:
Post a Comment