'Keputusan Menteri Kewangan ini cukup dikesali dan sepatutnya tidak berlaku terutama dalam suasana negara sedang berhadapan dengan ujian besar pandemik COVID-19'
MENJAWAB pertanyaan seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyatakan:
“Untuk makluman Ahli Dewan (Rakyat), Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan daripada semua agensi nombor ramalan untuk cabutan khas sebanyak 22 kali bagi tahun 2021,”.
Keputusan Kementerian Kewangan itu berbeza dengan kerajaan di bawah PH dahulu. Untuk rekod Kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa memerintah telah menurunkan kekerapan cabutan khas oleh syarikat perjudian iatu menjadi 11 kali pada setahun 2019 sebelum dikurangkan lagi kepada lapan kali setahun pada 2020.
Keputusan Menteri Kewangan ini cukup dikesali dan sepatutnya tidak berlaku terutama dalam suasana negara sedang berhadapan dengan ujian besar pandemik COVID-19 di mana kita mengharapkan bukan sekadar Pelan Pemulihan Negara untuk memulihkan kehidupan rakyat tetapi lebih-lebih lagi kita bergantung pada pertolongan dan belas ehsan Yang Maha Berkuasa yakni Allah S.W.T.
Saban hari kita umat Islam berdoa agar Allah S.W.T mengangkat bala yang sedang kita tanggung ini. Antara doa yang umat Islam sebut secara bersendirian atau berjamaah di masjid-masjid dan surau-surau serta lain-lain tempat berbunyi:
“Ya Allah! Wahai Tuhan kami jauhilah kami daripada wabak yang datang ini dan peliharalah kami daripada segala kejahatan yang merosakkan serta selamatkanlah kami daripada segala fitnah dan penyakit Taun serta segala bala’ yang datang, dengan kelembutan-Mu ya Allah, Tuhan yang Maha Berlemah Lembut, Wahai Tuhan yang Maha Halus Pengetahuan-Nya, Engkau Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W, keluarga dan para Sahabatnya. Segala puji bagi Allah Tuhan pencipta alam semesta.”
Kita mohon dipelihara Nya dari segala kejahatan yang merosakkan tetapi dengan kuasa di tangan kita izinkan aktiviti haram yang sangat dimurkai-Nya. Dengan siapakah kita bergantung sebenarnya? Sedang Allah S.W.T mengingatkan kita dengan firman Nya yang bermaksud:
“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman dan tenteram, rezekinya datang kepadanya melimpah ruah dari segala tempat akan tetapi penduduknya mengingkari akan nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka dengan kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka lakukan.”
(an-Nahl: 12)
Kita sedar negara ini sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Tetapi apakah kita tidak insaf bahawa bala Allah S.W.T tidak mengasingkan antara hakikat itu, apabila turun ia ditanggung oleh semua.
Di peringkat ini kita umat Islam bukan minta aktiviti ini diharamkan pun (walau itu yang terbaik mungkin di satu hari nanti) tetapi janganlah lantaran mengejar keuntungan atau mahu melayan kepada tuntutan pihak tertentu kita tunduk dan tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuka pintu pagar yang mengundang murka Allah S.W.T.
Benar hasil perolehan dari cukai perjudian ini tinggi dan di ketika ini negara sangat berharapkan pelbagai sumber untuk pulih kembali, tetapi apakah hasil judi satu-satunya sumber buat negara?
Mengikut sumber hasil pendapatan kerajaan dari aktiviti Number Forecast Operators (NFO) atau Operator Nombor Ramalan ini mencecah RM2 bilion setahun.
Itu tidak termasuk cukai dari kasino Genting. Untuk suku pertama 2020 contohnya pendapatan sebelum cukai Genting Malaysia Berhad adalah sebanyak RM1.9 bilion.
Memang lumayan pendapatan kerajaan dari industri perjudian tetapi wajarkah kita bergantung padanya terutama di saat kita mengharapkan pertolongan Allah S.W.T untuk memulihkan kehidupan rakyat dan negara?
Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini adalah kerajaan yang didukung oleh majoriti parti-parti dan MP Melayu atau Bumiputera Islam setelah berjaya menggantikan PH dahulu.
Sepatutunya kepentingan dan sensitiviti umat Melayu atau Bumiputera Islam diberi keutamaan dan dipertahankan kerajaan ini selain memberi keadilan buat semua.
Dahulu anggota Jamaah Menteri Pakatan Harapan terdiri dari 27 Menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri. 65 peratus atau 17 orang Melayu atau Bumiputera Islam manakala 35 peratus atau 10 orang bukan-Islam. Hari ini ada 31 Menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri dengan 83 peratus Melayu atau Bumiputera Islam dan hanya 7 peratus atau 5 orang bukan-Islam.
Kita mengharapkan agar Perdana Menteri dan kerajaan menyemak serta menimbang semula keputusan ini. Sesungguhnya aktiviti perjudian tidak menyumbang langsung ke arah pembinaan sebuah keluarga Malaysia yang harmoni dan bersatu-padu. Mengizinkan ianya berkembang dengan membenarkan cabutan khas sebanyak 22 kali sebegini langsung tidak rasional dan masuk akal malah menghina serta memperkecilkan sokongan padu umat Melayu atau Bumiputera Islam terhadap kerajaan ini. Jangan kerana mahukan untung secupak, kita rugi segantang selama-lamanya.
Isu ini bukan isu kepartian. Bukan juga isu PAS atau mana-mana pihak tertentu. Ia sesungguhnya isu kepercayaan umat Islam yang mendominasi kerajaan hari ini. Kita yakin Allah S.W.T akan melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya buat negara ini serta meringankan penderitaan kita selama ini, jangan pula membikin onar, mengundang murka Nya sehingga ditarik balik segala nikmat-Nya itu.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 27/9/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1604206339918696/
No comments:
Post a Comment