Monday, September 20, 2021

Tanah runtuh, tindakan segera. Al-hamdulillah, k'jaan PN, stabil.

 

Tanah runtuh: KASA ambil tindakan segera

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah meminta pengurusan atasan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta agensi-agensi di bawahnya segera turun ke tempat kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights.

“Sejurus selepas kejadian yang berlaku di Jalan Kemensah Heights pada malam 17 September lalu, saya telah meminta pengurusan atasan Kementerian Alam Sekitar dan Air serta agensi-agensi di bawahnya iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk segera turun ke tapak dan melakukan pemeriksaan di lokasi kawasan tanah runtuh yang berada bersebelahan dengan Sungai Kemensah,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, hasil pemeriksaan mendapati pergerakan tanah daripada runtuhan tersebut telah menyebabkan Sungai Kemensah terkambus dan mengakibatkan aliran sungai terhalang.

Menurutnya, pada 18 September, JPS telah melaksanakan kerja-kerja awalan pembersihan sisa runtuhan bagi memastikan aliran sungai lancar.

“Penyelesaian jangka pendek melalui membaik pulih aliran dan tebing sungai sepanjang 250 meter ini adalah untuk mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau sepertimana pengumuman Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, KASA akan menyegerakan proses penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan JPS menjalankan kerja-kerja penstabilan cerun sungai termasuk memasang sheet pile dan kerja-kerja tanah yang berkaitan.

Katanya, kajian penilaian dan tindakan itu sedang diselaras secara bersama dengan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR.

Dari segi jangka panjang, jelas beliau JPS akan memuktamadkan pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaiktaraf Sungai Kemensah dengan kos projek dianggarkan sebanyak RM10 juta.

Menurutnya lagi, projek itu akan dilaksanakan selepas mendapat input daripada pelbagai agensi seperti MPAJ, JMG dan JKR.

“Dijangkakan dalam tempoh sebulan pelan kerja tersebut dapat disiapkan untuk tindakan susulan dari segi pembiayaan dan perolehan,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan pada hari ini dan esok, dijangka berlaku ribut petir dan hujan di satu dua tempat pada waktu petang di Kemensah, Ampang Jaya serta kawasan sekitarnya manakala, mulai 21 hingga 23 September dijangka cuaca hujan di satu dua tempat pada lewat petang.

Beliau berharap semua penduduk sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan dengan cuaca di mana amaran cuaca boleh diakses melalui laman web rasmi dan media sosial rasmi MET Malaysia dan aplikasi myCuaca.

“Selain itu, sepertimana Kenyataan Media Ketua Pengarah JAS pada awal pagi ini, saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa sebarang pembangunan atau pembersihan tanah di kawasan tanah yang berkecerunan 25 darjah tetapi kurang 35 darjah adalah tertakluk di bawah aktiviti yang ditetapkan di dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekeliling) 2015.

“Bagi kawasan yang berkecerunan 35 darjah dan ke atas, tiada sebarang pembangunan boleh dilakukan kecuali kebenaran khas daripada pihak berkuasa berkaitan,” jelas beliau lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, JAS akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang telah menjalankan aktiviti yang ditetapkan tanpa sebarang kelulusan Laporan EIA sepertimana yang tertakluk di dalam Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurutnya, jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. – HARAKAHDAILY 19/9/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tanah runtuh, tindakan segera diambil. Al-hamdulillah, kerajaan PN sudah stabil.

Rentas Mendunia.

No comments:

Post a Comment