Friday, October 22, 2021

Dr Kamarul Zaman Bongkar PH jadikan M'sia 'negara paria'?

 

Batu Puteh: Dosa PH sukar diampun

BANYAK sekali sebenarnya dosa yang telah dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) yang sukar diampunkan oleh rakyat sewaktu ia memerintah negara dari 10 Mei 2018 ke 24 Februari 2020.

Salah satu daripadanya adalah kegagalan PH menjaga kedaulatan negara dan keingkarannya mengakuri titah Raja-raja Melayu yang terangkum di dalam tindakan Kerajaan PH menarik balik pada 28 Mei 2018 semakan ke atas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Batu Puteh adalah milik Singapura.

Jelas tercatat di dalam penghakiman ICJ pada 23 Mei 2008 iaitu, setelah menyemak bukti yang diserahkan oleh Malaysia dan Singapura, Batu Puteh asalnya milik Kesultanan Johor (the Sultanate of Johor had original title to Batu Puteh) dan ia tidak pernah dicabar oleh mana-mana Kuasa lain di rantau ini (was never challenged by any other Power in the region).

Apa yang menjadi masalah hanyalah kewujudan surat bertarikh 21 September 1953 daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, yang menjawab surat Setiausaha Jajahan Singapura kepada Penasihat British Sultan Johor yang mahu tahu status Batu Puteh, bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak menuntut pemilikannya (does not claim ownership).

Mengikut ICJ, surat ini menunjukkan bahawa pada 1953 Johor faham bahawa ia tidak mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh (it did not have sovereignty over Batu Puteh), dan ditambah dengan perlakuan Malaysia dan Singapura sehubungan dengan pulau itu selepas 1953, yang mendorong ICJ memutuskan kedaulatan ke atasnya adalah milik Singapura.

Bayangkanlah betapa sedihnya Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar, setelah menerima keputusan itu, di mana masih terngiang-ngiang di telinga kita titah baginda sewaktu merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008 ini:

“Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Batu Puteh. Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu.”

Dan setelah Sultan Iskandar mangkat, tekad untuk mendapatkan semula Batu Puteh ini diteruskan oleh Sultan Ibrahim yang sewaktu bertitah merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 29 Mei 2014 mahukan keputusan ICJ dirayu kerana ia berpunca daripada orang luar yang tidak memahami sejarah Johor yang mengendalikannya.

Usaha untuk mendapatkan semula Batu Puteh ini menjadi rancak setelah Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 dalam mana beliau dan lima penyelidik beliau telah berkunjung ke London mulai Julai 2016 bagi menyemak lebih 3,000 dokumen yang baharu dideklasifikasikan di Arkib Negara United Kingdom.

Hasil daripada kerja keras mereka, tiga dokumen baharu telah ditemui dari 4 Ogos 2016 ke 30 Januari 2017, iaitu surat menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada tahun 1958, satu laporan kejadian yang difailkan oleh seorang pegawai tentera laut British pada tahun 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.

Tiga dokumen baharu ini akan membuktikan bahawa selepas tahun 1953 pihak British dan Singapura sendiri mengakui bahawa Batu Puteh bukanlah milik Singapura (Officials at the highest levels in the British colonial and Singaporean administration appreciated that Batu Puteh did not form part of Singapore’s sovereign territory during the relevant period).

Ekoran penemuan fakta baharu ini, Malaysia telah memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ pada 2 Februari 2017 di mana ICJ mengumumkan pada 5 April 2018 bahawa ia memperuntukkan tempoh empat hari untuk permohonan ini didengari bermula pada 11 Jun 2018 sebelum Dr Mahathir yang baharu berkuasa tiba-tiba membatalkannya pada 28 Mei 2018.

Sesungguhnya tindakan Kerajaan PH membatalkan permohonan semakan semula ini amat sukar difahami kerana ia terang-terang bercanggah dengan janji-janji manis yang dilafazkan olehnya dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) PH.

Bagaimana agaknya Kerajaan PH boleh membiarkan Batu Puteh terlepas ke tangan Singapura selama-lamanya dan menyanggah titah Sultan Johor bila Janji 11 Manifesto PH menyebut PH akan ‘sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Raja-raja Melayu di tempat tertinggi’ manakala Janji 58 menyebut PH akan ‘berpegang dengan prinsip bahawa sempadan negara dan kedaulatan Malaysia adalah perkara paling asas yang tidak boleh dikompromi’?

Lebih dikesalkan lagi, tindakan Kerajaan PH melepaskan peluang untuk mendapatkan Kembali Batu Puteh ini telah tidak diberikan apa-apa penjelasan yang konkrit sehingga kini sehingga menyebabkan seorang individu bernama Mohd Hatta Sanuri mengheret kerajaan ke mahkamah pada 28 Mei 2021 bagi menuntut kerajaan mengakui kecuaian dan ketidakamanahannya.

Bila isu besar ini ditimbulkan oleh dua Senator di Dewan Negara pada 3 September 2018 pula, individu yang menjawabnya hanyalah Timbalan Menteri Undang-undang yang menyebut keputusan untuk tidak meneruskan kes ini dibuat setelah mengambil kira dengan teliti pandangan dan nasihat yang diberikan oleh seorang warganegara asing, Dr Brendan Plant.

Lebih teruk lagi ialah bila, di dalam usaha untuk mempertahankan kebatilan tindakan ini, ada pihak yang telah sama ada menunjukkan kenaifan atau cuba membohongi rakyat dengan menyebut bahawa sewaktu Malaysia dan Singapura bersetuju merujukkan kes ini ke ICJ ada perjanjian keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak akan ada rayuan terhadapnya.

Memang betul ada di dalam Artikel 60 Statut ICJ bahawa keputusan ICJ adalah muktamad dan tidak boleh dirayu (the judgment is final and without appeal), tetapi pada masa yang sama Artikel 61 Statut ICJ membenarkan semakan semula (revision) dalam tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman sekiranya faktor-faktor berikut dipenuhi:

1. Ia diasaskan kepada penemuan fakta baharu yang boleh menjadi faktor penentu, di mana fakta ini, waktu penghakiman dibuat, tidak diketahui oleh ICJ dan pihak yang mahu membuat semakan semula, dan ketidaktahuan ini tidak berpunca daripada kelalaian. (It is based upon the discovery of some fact of such a nature as to be a decisive factor, which fact was, when the judgment was given, unknown to the Court and also to the party claiming revision, always provided that such ignorance was not due to negligence.)

2. Ia dibuat dalam tempoh kurang enam bulan fakta baharu mula ditemui. (It is made at latest within six months of the discovery of the new fact.)

Tiada sesiapa pun yang boleh menggunakan hujah ‘Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah.’ kerana janji untuk tidak merayu tidak menjadi isu, sebaliknya apa yang menjadi isu ialah ketidaktahuan untuk membezakan rayuan (appeal) dan semakan semula (revision).

Begitu juga yang sebenarnya membuat sesebuah negara menjadi negara pariah ialah apabila kerajaannya gagal mengambil peluang untuk mendapatkan kembali kedaulatan negaranya yang hilang setelah peluang itu terbuka luas bila semakan semula (revision) yang kuat yang memenuhi semua faktor yang dikehendaki oleh Statut ICJ difailkan oleh kerajaan sebelumnya.

Apatah lagi bila hujah substantif yang kini diberikan untuk mempertahankannya, dan untuk menyerang pihak lain, ialah hujah lemah seumpama ‘Kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Batu Puteh sebagai milik Kerajaan Johor’ yang telah sebelumnya dipertikaikan oleh banyak pihak selepas keputusan ICJ itu dibuat.

Malah ada pihak tertentu yang mempertikaikan keabsahan surat yang ditulis oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor ini dan berpendapat ia tidak patut diterima kerana ia tidak dititah dan ditulis di bawah kuasa Sultan, sebaliknya bagi mewakili Penasihat British Sultan Johor, yang pastilah mewujudkan tekanan untuk akur kepada Setiausaha Jajahan Singapura.

Sebab itulah seluruh rakyat perlu menyokong penuh keputusan kerajaan untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian berhubung kes Batu Puteh selain mengkaji tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan di dalam kes ini.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kita ucapkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, yang telah dalam waktu yang singkat menunjukkan keberanian beliau untuk membongkar kisah sebenar yang menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dan kehilangan peluang untuk menuntutnya kembali serta untuk meneliti opsyen-opsyen yang ada.

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF 
Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) – HARAKAHDAILY 22/10/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Al-hamdulillah Dr Kamarul Zaman, Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) telah membongkar bahawa PH cuba jadikan Malaysia 'negara paria'?  

  Sila lihat siri PRN Melaka:

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails