Tuesday, October 05, 2021

Jangan ‘jong pecah yu kenyang’,” -P'jaya PAS Melaka.

 

Parti Melayu di Melaka perlu pertahan perpaduan  

AYER KEROH: Rakyat Melaka terutamanya orang Melayu bimbang sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan DAP berkuasa semula akibat kemelut politik yang sedang melanda negeri ini sekarang.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Kamarudin Sidek berkata, sudah sampai masanya parti-parti besar Melayu memikirkan lebih serius tentang perpaduan dan semangat Keluarga Malaysia supaya tidak berpecah belah yang akan merugikan rakyat.

“Seperti pepatah Melayu ‘jong pecah yu kenyang’,” ujar beliau pada satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan empat ADUN daripada kerajaan diketuai ADUN Sungai Udang Dato’ Seri Idris Haron bertindak menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Turut mengikut jejak langkahnya Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas–Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Kamarudin juga berkata, tindakan keempat-empat ADUN terbabit sangat mengejutkan semua pihak.

“Perkara ini berlaku di saat beberapa ADUN terbabit baru mendakwa mereka tidak terlibat dengan komplot tersebut beberapa hari lepas,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap semua pihak melakukan gencatan politik dan memberikan tumpuan kepada penyelesaian masalah utama rakyat iaitu pandemik Covid-19 dan ekonomi rakyat.

“Apa yang penting kita mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat terhadap krisis politik yang tidak berkesudahan melanda negara terutamanya Melaka di saat Covid-19 belum lagi dapat dikalahkan,” kata beliau.

Beliau turut berharap rakyat Melaka terutama ahli PAS Melaka serta Bersatu dan Umno bertenang dan bersabar di samping mengambil langkah sewajarnya bagi menangani perkara ini dengan cermat dan teliti.

“Bak kata pepatah ‘menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus tepung tidak berserak’,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/10/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails