Wednesday, October 13, 2021

Jom lonjakkan pelancongan di Dabong. Tahniah Ust Latif!

 

Perkhidmatan DMU mampu lonjak pelancongan di Dabong

KUALA KRAI: Penambahan kapasiti tempat duduk oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Tumpat ke Dabong menggunakan set berkembar Tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang  kini boleh memuatkan 416 penumpang bermula kelmarin, dijangka mampu melonjakkan lagi industri pelancongan di Kelantan, khususnya di Dabong.

Anggota Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, perkembangan terbaharu itu mampu membuka peluang rezeki dari segi ekonomi kepada rakyat Dabong, antaranya melibatkan pengusaha rumah tumpangan, kedai makan, pengangkutan dan lain-lain. 

“Saya juga berharap stesen kereta api Dabong dapat dinaiktaraf dan diperbesarkan. Pada masa yang sama, ia perlu dilengkapi dengan bumbung untuk keselesaan pengunjung,” ujarnya.

Sehubungan itu menurut Abdul Latif, Dabong ada sangat berpotensi untuk menjadi lokasi tarikan pelancong dan antara tarikan unik yang terdapat di situ ialah bunga rafflesia yang merupakan bunga terbesar di dunia. 

Tambahnya, bunga unik tersebut mengambil masa selama enam hingga sembilan bulan tempoh untuk berkembang selama tujuh hari sahaja. 

Abdul Latif di samping bunga Rafflesia yang ditemui tumbuh di Dabong.

Bunga Rafflesia ini akan menjadi daya tarikan bagi pengunjung untuk ke Dabong kerana ia antara bunga yang sukar untuk dijumpai, khususnya di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Selain itu menurutnya, banyak terdapat tempat-tempat menarik boleh dikunjungi di Dabong termasuklah Kompleks Gua Ikan, Sungai Kenerong, Lata Kertas, Jelawang Pipe Resort dan Gunung Stong.

“Dengan penambahan kapasiti kereta api melalui perkhidmatan DMU dari Tumpat ke Dabong, ia menunjukkan satu perkembangan yang baik dan begitu tepat dengan perkembangan sekarang. Gelembong pelancongan di negeri ini sedia menanti pelancong apabila ia diputuskan oleh kerajaan kelak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/10/2021

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Jom lonjakkan pelancongan di Dabong. Tahniah Ust Latif, al-hamdulillah. Lama tak jumpa. Saya ingin melawat Dabung, insya Allah!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails