1. Muzakarah Khas MKI termasuk cadangan rapat saf solat.
KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya mengatur Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang akan diadakan pada 20 Oktober ini.
Katanya, ini susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai peralihan fasa dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Oktober lalu.
“Muzakarah pada kali ini bertujuan untuk mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membincangkan beberapa isu SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau.
“Ini termasuklah cadangan SOP untuk merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.
Menurutnya, semua ahli muzakarah yang terdiri daripada mufti-mufti negeri, ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar telah dijemput hadir sementara pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga turut dijemput.
“Saya percaya, suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sedia kala akan dibenarkan dengan SOP tertentu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/10/2021
2. Al-Quran penawar dan rahmat bagi Mukmin
SETIAP hari Rabu saya bersama dengan semua pegawai di Pejabat Timbalan Menteri KPWKM akan mengadakan usrah mingguan. Saya mengikuti usrah kali ini secara atas talian dalam kenderaan menuju ke Parlimen bagi menjalankan amanah menjawab soalan di Dewan Negara. Alhamdulillah teknologi hari ini memudahkan urusan kita.
Pengisian hari ini berkenaan dengan kehebatan al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat kepada manusia. Rujukan bagi tajuk ini adalah ayat 82 Surah Al-Isra’.
Firman Allah S.W.T:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْاٰنِ مَا هُوَ شِفَاۤءٌ وَّرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَۙ وَلَا يَزِيْدُ الظّٰلِمِيْنَ اِلَّا خَسَارًا
“Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
(Al-Isra’: 82)
Al-Quran merupakan kurniaan istimewa Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya sebagai pedoman hidup yang lengkap bagi menjamin keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Sesungguhnya terkandung di dalamnya penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Antara syarat untuk menjadikan ayat-ayat al-Quran menjadi syifa’ atau penawar kepada kita adalah:
1. Membacanya ikhlas kerana Allah kerana Dia-lah Yang Maha Berkuasa.
2. Meyakini bahawa al-Quran adalah kalamullah.
3. Meyakini al-Quran adalah penawar.
Rasulullah S.A.W bersabda bahawa perumpamaan orang yang membaca al-Quran ini ada 4 jenis:
عن أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قَالَ :مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، مَثَلُ الْأُتْرُجَّةِ: رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا طَيِّبٌ. وَمَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ، مَثَلُ التَّمْرَةِ: لَا رِيحَ لَهَا وَطَعْمُهَا حُلْوٌ. وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُـرْآنَ، مَثَلُ الرَّيْحَانَـةِ: رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ. وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي لَا يَقْـرَأُ الْقُرْآنَ، كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ: لَيْسَ لَهَا رِيحٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ .
“Anas ibn Malik berkata , Abu Musa al-Asy’ari berkata: Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran bagaikan buah Utrujah, rasa buahnya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran bagaikan buah kurma, rasanya enak namun tidak berbau. Sedangkan perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran, bagaikan buah Raihanah, baunya enak namun rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran, bagaikan buah Hanzalah, tidak berbau bahkan rasanya pahit.”
(Hadis Riwayat Bukhari (Hadis no. 4632) dan Muslim (Hadis no. 1328))
Marilah kita menjadi Keluarga Malaysia yang menjadikan al-Quran sebagai asas dan kemestian dalam kehidupan seharian agar hidup kita sentiasa diberkati dan dipermudahkan segala urusan.
“KeluargaMalaysia”
“Malaysia Prihatin”
“Pesan Ibu”
YB DATO’ SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 14/10/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050312087009/posts/405448024475597/
3. Solat kapasiti penuh di Masjidil Haram, Masjid Nabawi bermula.
KUALA LUMPUR: Solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula Ahad (17 Okt).
Demikian antara enam perkara berkaitan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terbaharu yang diumumkan kerajaan Arab Saudi pada Jumaat.
Menerusi infografik yang dimuat naik di laman twitter rasminya, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.
“Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalamnya selain wajib berdaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna”, katanya.
Kementerian juga memberi kebenaran kepada sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang, dewan acara dan sebagainya untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.
Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki kesemua premis berkenaan.
Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.
Menurut kementerian itu lagi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka masih diwajibkan di tempat-tempat yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna.
Pemilik premis awam dan swasta pula wajib mengesahkan tahap vaksinasi pengunjung melalui aplikasi Tawakkalna sebelum mereka dibenarkan memasuki premis masing-masing. – BERNAMA
2 comments:
Jeling terowong jer.
Petikan SUHAKAM berkaitan hak kebebasan agama bagi umat Islam, ia adalah kenyataan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana terdapat unsur-unsur menggugat undang-undang syariah dan undang-undang tubuh negeri-negeri.
Rentetan itu, atas semangat amar mahruf nahi mungkar terutamanya sesama muslim, PEMBELA mempersoalkan fungsi pesuruhjaya muslim dalam SUHAKAM yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat kerajan yang sepatutnya bertindak sebagai ‘safe guard’ kepada Islam.
Post a Comment