Friday, October 15, 2021

Kenapa Sudan tangkap dan rampas aset Petronas?

 

..jasa Malaysia dan Petronas yang mengubah mereka daripada negara miskin dibuli kepada negara pengeluar minyak sejak 20 tahun lalu?' 

KITA dikejutkan hari ini dengan tindakan melampau Sudan yang keluarkan waran tangkap kepada pengurus Petronas di Sudan, beberapa hari selepas merampas aset Petronas di sana. Kenapa Sudan bertindak begini? 

Sudah lupakah mereka kepada segala jasa Malaysia dan Petronas yang mengubah mereka daripada negara miskin dibuli kepada negara pengeluar minyak sejak 20 tahun lalu? Sudah lupakah mereka kepada segala jasa Petronas memberi biasiswa mendidik rakyat mereka membangunkan industri petroleum mereka? Sudah lupakah mereka dengan jasa Malaysia membantu mereka di saat kuasa-kuasa besar dunia mengenakan sekatan antarabangsa kepada mereka?

Jawapannya kerana politik dan geopolitik: kerajaan Sudan hari ini bukan lagi kerajaan Sudan yang dulu, di mana Presiden Omar al-Bashir yang berkuasa ketika Malaysia menghulur tangan bantuan kepada Sudan lebih 20 tahun lalu telah dijatuhkan melalui rampasan kuasa pada April 2019.

Kerajaan Sudan hari ini juga bertindak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai balasan janji pelaburan besar-besaran dari Barat yang dibuat Amerika Syarikat di bawah Presiden Trump sebelum ini.  

Gelap mata dengan janji-janji pelaburan Barat itu, kerajaan Sudan yang baru ini telah bertindak kurang bijak dengan merampas aset-aset milik Petronas (Malaysia), Pakistan, Qatar, dan Turki kononnya dengan alasan aset-aset tersebut diperoleh secara tidak sah di bawah pentadbiran Omar al-Bashir dulu.

Sejarah membuktikan betapa kita Malaysia adalah antara negara pertama yang sanggup melabur membangunkan telaga minyak Sudan sejak tahun 1990-an lagi. Petronas mengorak langkah dengan projek GNPOC (30 peratus) pada 6 Disember 1996, dan di Lundin’s Block 5A pada 6 February 1997 (28.5 peratus).

Malah, pada tahun 2003 Petronas menyelamatkan industri petroleum Sudan dengan membayar tunai US$142.5 juta untuk membeli 40.375 peratus ‘working interest’ daripada konsortium Lundin Petroleum dan OMV yang terpaksa menjual pegangan mereka di Block 5A akibat tekanan berkaitan penglibatan mereka dalam perang minyak di Sudan. Ketika Sudan dibadai krisis kemanusiaan Darfur dulu pun Malaysia teguh berdiri di samping Sudan, siap menyumbang melalui kempen ‘Dapur untuk Darfur’.

Bukan sekadar membangunkan sumber petroleum, Petronas turut berjasa besar dalam pembangunan sumber manusia Sudan. Contohnya seperti Khartoum Vocational Training Centre 2005 yang ditubuhkan Petronas dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Negeri Khartoum, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan GIATMARA, Malaysia dengan latihan dalam bidang Automotive Maintenance Technology, Electrical Maintenance Technology, Air conditioning & Refrigeration Maintenance, Plumbing Technology, Building Technology, hinggalah ke Training of Trainers program.  Pusat ini telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Negeri Khartoum pada tahun 2012.

Tidak cukup dengan beratus biasiswa prasiswazah dan pascasiswazah di Universiti Teknologi Petronas (UTP) kepada anak muda Sudan, Petronas bahkan turut menyumbang perpustakaan bergerak untuk kemudahan anak-anak sekolah di Sudan sejak tahun 2005 hingga 2011.

Bahkan pada tahun 2019 Menteri Minyak dan Gas Sudan sendiri Yagoub Adam Bashir Gamaa mengiktiraf jasa Petronas secara khusus. Namun begitu, beberapa hari kemudian iaitu pada 11 April 2019 rampasan kuasa tentera telah menjatuhkan kerajaan Presiden Omar al-Bashir.

Tindakan Petronas mempertahankan hak kita bahawa Kompleks Petronas di Khartoum diperoleh dengan cara yang sah hingga memfailkan kes ke International Centre for Settlement of Dispute (ICSID) di bawah Bank Dunia membuktikan segala-galanya.

Malah, langkah ini diambil Petronas hanya selepas jalan diplomatik melalui Kementerian Luar Negeri tidak membuahkan sebarang hasil sebaliknya Sudan terus merampas aset kita di sana dan kemuncaknya hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas pengurus Petronas di Sudan.

Hakikatnya, tindakan kurang bijak kerajaan Sudan hari ini merampas aset Petronas (Malaysia), Pakistan, Qatar, dan Turki semata-mata kerana terlalu yakin dengan janji kemasukan pelabur Barat selepas mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel bakal mengundang rasa tidak percaya dan tidak yakin para pelabur antarabangsa untuk jangka masa panjang.

Hilang kawan, hilang hormat, semata-mata kerana rasa tamak dan dendam, pengajaran ini akan memberi impak negatif kepada rakyat Sudan sendiri. Perancangan Petronas untuk membantu Sudan membangunkan rantau Laut Merah mereka juga sama sekali sudah pasti terbatal dengan tindakan Sudan hari ini.

Sama-sama kita doakan semoga semua rakyat Malaysia di Sudan dipelihara dan kepentingan Petronas dapat dipertahankan di International Centre for Settlement of Dispute (ICSID).

ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD Faculty of Governance and Global Affairs,
Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 13/10/2021

1 comment:

Anonymous said...

Peristiwa Petronas di Sudan yang ni walaun barua DAP@PAP PKR PAN yamg berkiblatkan Singapura USA dan Isreal akan duduk diam bisu senyap sunyi... jangan kan bab hukum agama malah bab hak asasi pun semua barua barua Isreal ini akan jadi pe kak bisu..... Bang Non Mat Sabun dan Tokong besar Bang Non dan Mat Sabun akan kekal macam setan bisu...


#haahtepokkkk

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails