Friday, October 22, 2021

Labur dalam kripto (3): Hukum guna mata wang bitcoin.

 

BAYAN LINNAS SIRI KE-153: HUKUM PENGGUNAAN MATA WANG BITCOIN

MUKADIMAH 

Isu ini telah dikemukakan oleh orang ramai ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi pelbagai medium antaranya aplikasi whatsapp, Facebook, Instagram dan Twitter.

Mutakhir ini, Bitcoin yang merupakan salah satu daripada jenis mata wang kripto menjadi satu fenomena baharu yang kian mendapat perhatian di seluruh pelusuk dunia. Kemunculan mata wang seumpama ini dianggap sebagai alternatif baharu kepada mata wang sedia ada dalam urus niaga di abad ini.

Justeru, jika dilihat secara saintifik, bitcoin ini merupakan mata wang digital yang dibangunkan di alam maya dengan menggunakan perkakasan komputer sepenuhnya. Ia bukanlah bersifat fizikal seperti wang kertas yang ada pada hari ini. Keghairahan orang ramai terhadap bitcoin ini telah melonjakkan harganya ke tahap yang tinggi di mana pada awalnya ditawarkan pada harga USD65 dan kini dikatakan harganya berada pada paras USD6,281.76 bersamaan dengan RM26,340 (setakat 13 November 2018).

Baru-baru ini juga, terdapat laporan yang menyatakan sistem emel Media Prima Bhd. telah diserang oleh sekumpulan penggodam siber, dan mereka meminta sebanyak 1000 unit bitcoin sebagai bayaran untuk sistem tersebut kembali kepada sediakala.[1] Ini menunjukkan bahawa bitcoin menjadi sasaran kumpulan penjenayah memandangkan sifatnya yang lebih sukar dikesan berbanding mata wang biasa.

ISU DAN MASALAH

Pada hari ini, urus niaga di alam maya cuba diperluaskan dengan menggunakan bitcoin sebagai alat pertukaran (medium of exchange). Kewujudan sesetengah premis yang kini menggunakan bitcoin membuatkan ramai pengguna cuba mendapatkan mata wang ini meskipun ia bukanlah mata wang yang diiktiraf di kebanyakan negara di peringkat antarabangsa.

Maka berikut dikemukakan beberapa persoalan yang timbul di sebalik penggunaan mata wang ini, antaranya:
a. Adakah bitcoin merupakan mata wang yang sah menurut kaca mata syarak?
b. Adakah bitcoin boleh diperdagangkan dan digunakan dalam transaksi urus niaga?


SEJARAH MATA WANG DALAM ISLAM


Pada zaman pemerintahan Islam, semenanjung Arab pada ketika itu tidak mempunyai mata wang yang tersendiri. Pada abad ke-6 dan ke-7 masihi, orang Arab terutama yang menetap di Mekah dan Madinah telah memenuhi keperluan mereka dengan menggunakan mata wang syiling yang dikeluar dan digunakan di wilayah-wilayah Empayar Byzantine dan Empayar Sasan yang berjiran atau menggunakan mata wang peninggalan kerajaan silam.[2]

Setelah terdirinya kerajaan Islam di Madinah, penggunaan mata wang emas Byzantium,  solidus dan mata wang Sasan, drachm atau kedua-duanya lebih dikenali oleh orang Arab sebagai dinar dan dirham diteruskan tanpa sebarang perubahan.[3]  Walaupun banyak usaha-usaha memajukan ekonomi umat Islam di Madinah dilakukan, namun Rasulullah SAW tidak mengubah dan mencetak mata wang baru menggantikan mata wang yang digunakan ketika itu sebaliknya Baginda menerima penggunaannya.[4] 

Penggunaan mata wang sedia ada ini berterusan sepanjang pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abi Sufyan.[5] Perubahan yang berlaku ketika zaman pemerintahan mereka adalah sekadar menambah beberapa ungkapan pada mata wang sedia ada dan tiada usaha menempa mata wang baru dilakukan. 

Pada kemuncaknya iaitu pada zaman Khalifah Abd al-Malik bin Marwan, mata wang Islam dengan jati diri Islami yang tersendiri telah dikeluarkan.[6] Perubahan yang besar meliputi tindakan menghilangkan lambang-lambang tidak Islami dan pada sesetengahnya menggantikan dengan yang lain telah dilakukan. Umpamanya, tanda salib yang terdapat pada mahkota atau topi besi maharaja Byzantium telah dibuang. Begitu juga tanda salib yang ada pada bahagian hadapan dan belakang syiling.

Selepas daripada usaha tersebut, secara ringkasnya penggunaan syiling emas dan perak sebagai mata wang umat Islam terus berlangsung sehinggalah berakhirnya kerajaan Islam di Turki.[7] 

Sebagai kesimpulan, penggunaan syiling baik perak mahupun emas sebagai mata wang telah dikenali lama sebelum Islam dan tidak bermula dengan orang Islam. Selain itu, pengeluaran mata wang syiling adalah sentiasa berada pada tangan pihak yang berkuasa di setiap negara atau kawasan dan inilah yang berlaku sejak dari awal sejarah sehingga zaman moden.[8]

KONSEP MATA WANG DALAM ISLAM
Mata Wang dalam al-Quran dan al-Hadis

Pada dasarnya, konsep umum mata wang yang disebut di dalam al-Quran adalah menjurus kepada mata wang dinar dan dirham. Ini adalah kerana, ketika wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, mata wang yang beredar pada masa itu hanyalah dinar dan dirham.[9]

Antara ayat yang menggambarkan unit mata wang dinar dan dirham yang pernah digunakan pada zaman awal Islam ialah:

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya“Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”

(Surah Ali Imran: 75)

Selain itu, al-Quran juga ada menyebut tentang garis panduan berkenaan kepentingan menjaga keutuhan mata wang dan larangan daripada membuat sewenang-wenangnya sehingga merosakkan keseimbangan masyarakat. Allah SWT berfirman:

قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَن نَّتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آبَاؤُنَا أَوْ أَن نَّفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لَأَنتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ

Maksudnya: “Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"

(Surah Hud: 87)

Imam al-Tabari menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan “supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami” membawa kepada pemecahan dan pemotongan dirham.[10]

Dapat difahami daripada ayat ini bahawa Islam mementingkan keutuhan mata wang. Apabila mata wang sudah tidak dipercayai lagi oleh masyarakat, maka akan terjadi masalah dalam transaksi mereka. Mereka saling tidak percaya antara satu sama lain dan meragui piawaian dinar mata wang yang digunakan.

Al-Quran juga ada menerangkan peranan wang sebagaimana ayat di dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا

Maksudnya“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu…”

(Surah al-Nisaa': 5)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, perkataan al-qiyam dan al-qiwam bermaksud tiang dan sandaran kerana hal ini dijadikan sebagai tiang penumpang dan sandaran barang yang bersandar kepadanya.[11]

Ini menggambarkan ciri utama wang di mana ia merupakan satu alat yang sangat berkesan yang dijadikan oleh Allah untuk mengelola dan memelihara keseluruhan sistem dunia. Matlamat akhir wang adalah untuk menjaga dan menampung urusan dunia seseorang untuk keuntungannya di akhirat.

Sebagai kesimpulan, ciri-ciri atau bentuk mata wang tidak dijelaskan secara terperinci dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-duanya hanya merujuk kepada mata wang yang wujud dan tersebar luas pada masa tersebut iaitu dinar dan dirham. Akan tetapi, ia telah meletakkan dasar dan garis panduan secara umum berkait penggunaan mata wang di dalam urusan muamalah sesama manusia.

Mata Wang Menurut Pandangan Sarjana Islam

Bagi memahami konsep mata wang secara jelas, kita perlu merujuk kepada tafsiran ilmuwan dan sarjana berkenaan hal ini. Pelbagai definisi dan takrif telah dikemukakan oleh para sarjana Islam berkaitan konsep dan pengertian mata wang di dalam Islam. Di sini, dibawakan pandangan beberapa sarjana Islam baik yang terdahulu mahupun kontemporari.

a. Imam Malik

Imam Malik mendefinisikan wang sebagai sesuatu barang yang boleh diterima sebagai alat pertukaran. Ini jelas berdasarkan kata-kata beliau yang sekiranya masyarakat bersetuju sesama mereka untuk menjadikan kulit sebagai wang maka beliau akan melarang ianya dijual secara tangguh dengan emas dan perak:[12]

b. Imam al-Ghazali

Menurut al-Ghazali, Allah SWT telah menjadikan dinar dan dirham sebagai pengadil dan perantara di antara semua harta sehingga semua harta benda dapat diukur dengannya.[13]

Disebabkan ia adalah suatu yang kekal, maka mata wang daripada emas dan perak dapat menjadi satu mekanisme yang adil sebagai alat pengukur sesuatu barangan.

c. Ibnu Taimiyyah

Menurut beliau, wang adalah alat untuk mengukur nilai dan berfungsi sebagai alat pertukaran. Melalui wang tersebut, sejumlah benda dapat diketahui nilainya dan tidak bermaksud menggunakannnya untuk diri sendiri.[14]

d. Ibnu al-Qayyim

Ibnu al-Qayyim menyatakan bahawa wang tidak dicari untuk dirinya akan tetapi ia digunakan untuk mendapatkan barangan komoditi. Apabila wang mula dijadikan komoditi dan dijadikan sebagai matlamat transaksi, maka seluruh sistem ekonomi akan berada dalam krisis.[15]

e. Ibnu Khaldun

Ibnu Khaldun berkata, Allah SWT telah menciptakan dua logam bernilai daripada emas dan perak sebagai pengukur nilai bagi semua barang yang berharga.[16] Sekiranya dimiliki juga sesuatu bahan yang lain daripada emas dan perak dalam beberapa ketika tertentu, maka keadaan itu bertujuan untuk mendapatkan kedua-duanya dengan menggunakan bahan-bahan lain dalam pasaran ketika ia tidak dapat diperolehi.

Sebagai kesimpulan, berdasarkan takrif-takrif yang dikemukakan, dapat difahami bahawa mata wang dalam Islam ialah sesuatu yang berfungsi sebagai alat perantaraan dalam proses pertukaran barangan (medium of exchange). Ia juga digunakan bagi menjadi pengukur nilai bagi sesuatu benda atau barangan.

Mata wang tidak mempunyai nilai-nilai intrinsik dan Islam tidak mengiktiraf wang dijadikan sebagai komoditi untuk dijual beli kecuali dalam kes-kes tertentu sahaja.

Rujukan:






[1] Rujuk http://www.theedgemarkets.com/article/media-prima-hit-

[2] Anwar Zainal Abidin. 2002. "Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." Ulum Islamiyyah. Kolej Universiti Islam Malaysia. Jld. 1. no. 1. hlm. 25. Lihat juga Zarra Nezhad, Mansour. 2004. "A Brief History of Money in Islam and Estimating the Value of Dirham and Dinar." Review of Islamic Economics 8.2: hlm. 51-65. Lihat juga Wan Kamal Mujani. 2009. Sejarah Dinar Dari Zaman Pra Islam Sehingga Zaman 'Uthmani. Bangi : IKRAB, UKM. hlm 9. Lihat juga Salmy Edawati Yaacob. 2009. "Sejarah Dinar Emas dan Kronologi Pertukaran Mata Wang Dunia." Jurnal Al-Tamaddun 4 (2009): hlm. 107-127.

[3] Anwar Zainal Abidin. 2002. "Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." hlm. 25; Wan Kamal Mujani. 2009. Sejarah Dinar Dari Zaman Pra Islam Sehingga Zaman 'Uthmani. hlm. 9-10.

[4] Wan Kamal Mujani. 2009. Sejarah Dinar Dari Zaman Pra Islam Sehingga Zaman 'Uthmani. hlm. 10; Salmy Edawati Yaacob. 2009. "Sejarah Dinar Emas dan Kronologi Pertukaran Mata Wang Dunia." hlm. 110.

[5] Anwar Zainal Abidin. 2002. "Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." hlm. 26. Lihat juga al-Baladhuri, Futuh al-Buldan, hlm. 653.

[6] Zarra Nezhad, Mansour. "A Brief History of Money in Islam and Estimating the Value of Dirham and Dinar." hlm. 51-54. Anwar Zainal Abidin. 2002. "Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." hlm. 28.

[7] Yaacob, Salmy Edawati. "Sejarah Dinar Emas dan Kronologi Pertukaran Mata Wang Dunia." hlm. 112.

[8] Ini juga sebagaimana yang disimpulkan oleh Anwar Zainal Abidin dalam kajiannya “Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar." hlm. 48.

[9] Ahmad S., & Yaacob, S. E. 2012. Dinar Emas Sejarah Dan Aplikasi Semasa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia; Yaacob, Salmy Edawati. 2015. Dilema Dinar Emas. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 68.

[10] Al-Tabariy, Muhammad bin Jarir. tt. Jami’ al-Bayan fi Tafsir al-Qur’an. Dar Hijr. Jld. 12, hlm.

[11] Al-Raghib al-Asfahani. tt. al-Mufradat fi Gharib al-Quran. Beirut: Dar al-Ma’rifah. Jld. 1, hlm.

[12] Sahnun, Muhammad bin Said. tt. al-Mudawwanah al-Kubra. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah. Jld. 8, hlm. 305.

[13] Al-Ghazali, Abu Hamid. tt. Ihya’ Ulum al-Din. Beirut: Dar al-Ma’rifah. Jld. 4, hlm. 265.

[14] Ibnu Taimiyyah, Taqiy al-Din Ahmad. Majmu’ al-Fatawa. Darul Wafa’. Cet. 3, Jld. 29, hlm. 471-

[15] Ibnu al-Qayyim. 1973. I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin. Beirut: Dar al-Jil. Jld. 2, hlm. 157.

[16] Ibn Khaldun, Abdul Rahman bin Muhammad. tt. al-Muqaddimah. t.tp: t.pt. Jld. 1, hlm. 215.

..Bersambung

Siri Labur Dalam Mata Wang Kripto.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails