Saturday, October 30, 2021

Labur dalam kripto (4): Wang logam, emas &perak.

 

BAYAN LINNAS SIRI KE-153: HUKUM PENGGUNAAN MATA WANG BITCOIN
KONTRAK AL-SARF DALAM ISLAM

Persoalan berkaitan mata wang dan pertukarannya di dalam Islam dibincangkan secara lebih terperinci di bawah tajuk kontrak al-Sarf. Kontrak al-Sarf secara jelasnya menyebut logam yang digunakan sebagai mata wang ialah logam emas dan perak. 

Walau bagaimanapun, ulama telah menjelaskan bahawa ia boleh diperluaskan kepada logam lain yang membawa ‘illah yang sama sebagaimana ‘illah emas dan perak.[17]

Dalam membahaskan perkara tersebut, Mazhab Syafie menggunakan harga atau mata wang terhadap perkataan emas dan perak. Justeru, apa-apa sahaja barang atau benda yang digunakan dan diterima sebagai wang dan harga akan tertakluk kepada peraturan pertukaran emas dan perak. 

Selain daripada itu, perbahasan ini juga menunjukkan keharusan penggunaan benda selain emas dan perak untuk digunakan sebagai harga atau mata wang.[18]

Dari segi definisinya, al-Sarf dari segi syarak bermaksud penjualan mata wang dengan mata wang yang sejenis atau tidak sejenis iaitu menjual emas dengan emas atau perak dengan perak sama ada dalam bentuk emas dan peraknya atau dalam bentuk wang.[19]

Antara syarat-syarat khusus bagi membolehkan tukaran mata wang dijalankan ialah:[20]

1.Wujud persamaan bagi dua barangan yang sama bahagian

Persamaan yang dimaksudkan di sini adalah sama timbangannya walaupun berlainan dari segi kecantikan dan pencanaian. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ مِثْلاً بِمِثْلٍ

Maksudnya“Emas dengan emas hendak sama jenis.”[21]

Maksudnya adalah sama dari segi kadar dan bukan dari segi sifat kerana berdasarkan kaedah syarak: “Yang baik dan buruknya adalah sama.”[22]

2. Penyerahan serta-merta

Kontrak sarf disyaratkan tidak ada penangguhan oleh dua pihak yang berkontrak atau salah seorangnya. Ini kerana penerimaan dua barang tukaran adalah perlu sebelum berpisah.

Hendaklah tidak wujud jarak masa bagi penyerahan kedua-dua atau salah satu barangan. Jika satu pihak berkata: “Tukarkan saya satu dinar dengan sepuluh dirham, cuma saya akan serahkan satu dinar tadi selepas satu jam.” Satu pihak lagi berkata: “Saya tukarkan untuk kamu.” Pihak pertama tadi membalas: “Saya setuju” maka akad ini tidak sah.

3. Penyerahan dalam majlis akad

Tukaran yang dilakukan mestilah diterima semuanya sebelum kedua pihak berpisah. Hal ini adalah bagi mengelakkan berlakunya riba nasi’ah. Ini menjunjung sabda Rasulullah SAW:

الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya“(Penjualan/pertukaran) emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, apabila ia sama jenisnya, hendaklah sama kadar atau timbangannya dan hendaklah secara lani. Sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah mengikut kehendak kamu tetapi dengan syarat pertukaran dua barangan tersebut berlaku secara lani (serahan tangan ke tangan).”[23]

Demikian juga dengan sabda Rasulullah SAW:

ولاَ تَبِيعُوا مِنْهَا غَائِبًا بِنَاجِزٍ

Maksudnya: “Jangan kamu menjual barangan yang tidak ada dengan barangan yang ada.[24]

4. Akad tersebut mestilah muktamad (tanpa syarat)

Tidak dibenarkan meletakkan syarat oleh dua pihak yang berkontrak atau salah satu daripadanya. Jika kedua-dua pihak yang bertukar-tukar mata wang menetapkan syarat kedua-dua atau salah satu pihak berhak menuntut khiyar  dalam masa sehari atau dua hari, atau lebih atau kurang daripada itu, tukaran tersebut tidak sah.

Ini kerana sepertimana yang diketahui, syarat sah akad ialah wujudnya proses bertukar-tukar barangan. Ini berlainan dengan khiyar ru’yah dan  khiyar ‘aib. Kedua-duanya tidak menghalang berlakunya penerimaan yang sempurna. Jika dua pihak tersebut berpisah dan dalam kontrak tersebut terdapat khiyar ‘aib atau ru’yah maka kontrak itu adalah harus.

Sebagai kesimpulan, pertukaran mata wang adalah dibenarkan, akan tetapi ia mestilah berlandaskan syarat-syarat al-sarf. Urus niaga yang tidak mematuhi syarat tersebut boleh menyebabkan urus niaga tersebut tidak sah atau batal.

Walau bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan seperti dalam konteks operasi perbankan masa kini, definisi majlis akad yang tertumpu kepada faktor “tempat yang sama” dilihat kurang relevan kerana kebanyakan pelaksanaan bai’ al-sarf tidak melibatkan pertemuan secara fizikal di tempat yang sama tetapi ia hanya berlaku dalam talian atau melalui platform elektronik. 

Justeru, perkara utama yang menjadi fokus dalam mendefinisikan majlis akad bagi amalan perbankan semasa ialah faktor “masa” berlakunya kontrak pertukaran mata wang.

Oleh itu, Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia ke-179 telah memutuskan bahawa majlis akad bai’ al-sarf adalah merujuk kepada “suatu tempoh masa” berlakunya pemeteraian kontrak pertukaran mata wang yang bermula dengan penawaran (ijab) dan diiringi dengan penerimaan (qabul) serta diakhiri dengan perpisahan (disengagement) pihak-pihak berkontrak secara fizikal atau konstruktif, atau pelepasan hak untuk membatalkan kontrak (takhayur). 

Serah terima mata wang dalam bai’ al-sarf mestilah berlaku ketika majlis akad.[25] Berdasarkan keputusan tersebut, amalan serah terima mata wang dalam bai’ al-sarf, contohnya yang dilaksanakan pada hari kedua selepas tarikh transaksi (T+2) dianggap berlaku selepas majlis akad. 

Walau bagaimanapun, amalan tersebut boleh dibenarkan berdasarkan amalan pasaran (‘urf tijari) ekoran daripada kekangan operasi. Serah terima mata wang selepas majlis akad juga boleh dibenarkan sekiranya berlaku gangguan di luar jangkaan (unexpected disruption).[26]

Rujukan:






[17] Nazim al-Syamri Muhammad Nuri. 1987. al-Nuqud wa al-Masarif. Beirut: Dar al-Kutub li al-Tiba’ah wa al-Nasyr. hlm. 142.

[18] Ahmad S., & Yaacob, S. E. 2012. Dinar Emas Sejarah Dan Aplikasi Semasa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm. 43-44.

[19] al-Zuhaili, Wahbah. 1996. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (terj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jld. 4, hlm. 652.

[20] Mustafa Bugha et. al. 1992. al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’ie. Damsyiq: Dar al-Qalam. Jld. 6. hlm. 94-97.

[21] Imam Muslim. tt. Sahih Muslim. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi. Jil. 3, hlm. 1210, hadis no. 1584.

[22] al-Zuhaili, Wahbah. 1996. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (terj.) Jld. 4, hlm. 653-654.

[23] Imam Muslim. tt. Sahih Muslim.. Jil. 3, hlm. 1210, hadis no. 1587.

[24] Imam al-Bukhari. tt. Sahih al-Bukhari. Dar Tuq al-Najat. Jil. 3, hlm. 74, hadis no. 2177.

[25] Lihat keputusan Mesyuarat Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia Ke-179 bertarikh 22 Ogos 2017 bertajuk Penentuan Majlis Akad dan Serah Terima Bagi Bai` al-Sarf Dalam Operasi Kewangan Semasa yang dimuat naik di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my). Akses pada 17 Januari 2018.

 [26] Ibid.

... Bersambung..

Siri Labur Dalam Mata Wang Kripto.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails