Sunday, October 31, 2021

Labur dalam kripto (5): Sejarah Bitcoin.


SEJARAH BITCOIN

Bitcoin ialah satu mata wang digital yang dicipta pada tahun 2009 oleh Satoshi Nakamoto, satu nama yang masih belum diketahui sehingga sekarang dan masih diperdebatkan samada ia merujuk kepada seorang individu ataupun sekumpulan manusia.

Operasi bitcoin (dan juga mata wang digital / kripto yang lain) diselenggara oleh satu autoriti yang tidak berpusat, berbeza dengan mata wang biasa yang diselenggara oleh badan kewangan atau bank negara masing-masing. Transaksi bitcoin dijalankan secara terus melalui saluran kriptografi antara pengguna tanpa ada perantara atau orang tengah.[27] Ia juga boleh ditukar atau dijual beli dengan mata wang biasa, produk atau servis.[28]

Bitcoin merupakan aset pertama dalam bentuk mata wang kripto, menjadikannya aset paling popular dalam kalangan pengguna. Bitcoin dihasilkan melalui proses penempaan (mining) yang memakan satu jangka masa yang amat panjang, dengan cara penyelesaian masalah dan formula matematik untuk menghasilkan bitcoin menggunakan peralatan komputer.

Penghasilan Bitcoin telah ditetapkan untuk tidak melebihi 21 juta bitcoin, dan pada kadar sekarang, ia dijangka habis ditempa kira-kira pada tahun 2040.[29]

Jaringan blok (blockchain) pula ialah satu lejer awam yang merekodkan segala transaksi bitcoin yang dapat diakses oleh semua pengguna yang terlibat dengan proses transaksi dan penempaan bitcoin.

Menurut pengasasnya, Bitcoin dicipta bagi membolehkan transaksi pembayaran secara atas talian (online) dihantar secara terus dari satu pihak kepada pihak yang lain (peer-to-peer) tanpa perlu melalui institusi perbankan atau kewangan sebagai pihak ketiga dan ia akan melicinkan urusan transaksi. [30]

Selain itu, masalah penggodaman terhadap sistem juga amat sukar dilakukan kerana teknologi  blockchain yang digunakan adalah berbentuk lejer awam yang merekodkan segala transaksi yang dibuat, dan lejer ini dapat diakses dan dikawalselia oleh kesemua pengguna. Melalui sistem ini, penggodam tidak mampu menipu sistem untuk menempa bitcoin secara tidak sah.

Bitcoin juga mampu menyediakan perkhidmatan transaksi yang lebih murah berbanding institusi perbankan yang mengenakan kadar cas perkhidmatan beberapa peratus, bergantung kepada bank dan jenis transaksi.

KEDUDUKAN BITCOIN SEBAGAI MATA WANG

Persoalan samada bitcoin adalah sejenis mata wang atau tidak masih lagi diperdebatkan. Menurut The Economist, Bitcoin menepati 3 ciri-ciri mata wang:
a. sukar diperoleh
b. bekalannya terhad
c. mudah untuk dipastikan (verify). [31]

Setakat kajian ini dilakukan, Bitcoin masih kekal sebagai mata wang kripto yang paling mudah dicairkan dan terbesar di pasaran dari segi aktiviti pengguna dan aktiviti pemaju. Ia mempunyai jumlah dagangan harian melebihi USD 10 bilion dan penilaian pasaran USD 135 bilion (setakat 18 April 2018).

Dalam Islam, para sarjana meletakkan pelbagai ciri mata wang sama ada ciri fizikal, teknikal dan seumpamanya. Contoh ciri fizikal ialah senang dibawa, dikira, ketahanan dan seumpamanya. Namun ciri penting yang perlu ada sebagai mata wang ialah dua sifat utama:

Diterima umum: Wang hendaklah diterima umum tidak kira dalam sistem ekonomi apa sekali pun bagi berfungsi sebagai alat tukaran. Imam Malik berkata, andainya kulit dijadikan wang oleh sesuatu masyarakat, maka aku akan haramkan ia ditukar dengan emas secara bertangguh. Oleh itu, dapat difahami di sini bahawa apa sahaja yang diterima umum sebagai mata wang, maka ia boleh dijadikan wang. Walaupun kulit kambing, bitcoin, garam dan gula. Wang kertas yang ada ketika ini diterima umum, walaupun cuma kertas dan ia disahkan oleh kerajaan.

Kestabilan nilai: Sifat ini sangat penting kepada wang untuk menjalankan fungsi wang. Secara umumnya, nilainya yang stabil dan tidak mudah naik dan turun secara mendadak. Jika mata wang nilainya tidak stabil, maka ia tidak boleh berfungsi sebagai penyimpan nilai.[32]

Risiko Bitcoin

Bitcoin (dan juga mata wang kripto yang lain) merupakan satu produk inovasi moden yang masih baru dalam pasaran, dan sudah pasti ia mempunyai risiko dan masalah yang masih belum diselesaikan hingga sekarang. Antaranya ialah:

a. Naik turun nilai yang sukar dikawal dan dijangka akibat spekulasi berlebihan para pelabur (fluctuation/volatility)

Sewaktu Bitcoin mula-mula diperkenalkan, nilainya tidak melebihi USD1, namun sejak itu ia mula mendapat populariti diseluruh dunia dan nilainya terus meningkat naik.

Bitcoin memulakan tahun 2017 dengan nilai USD 966, dan naik mendadak hingga merekodkan harga tertinggi dalam sejarah pada USD19,850 pada pertengahan Disember, ia tiba-tiba mengalami penurunan mendadak kepada USD12,000 hanya dalam masa beberapa hari.

Namun demikian sejak awal 2018, harga bitcoin mula menunjukkan sedikit kestabilan, dengan konsisten mengekalkan paras USD6000 sejak pertengahan 2018. Sejak tiga bulan belakangan pula, ia berada dalam lingkungan USD 6,300 hingga USD 6,700, menunjukkan tahap kestabilan tertinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.[33]

Namun ketidakstabilan ini tetap melahirkan kebimbangan bahawa fenomena Bitcoin ini tidak lain hanya seperti buih yang akan pecah pada bila-bila masa. Ketidakstabilan harga Bitcoin ini juga menumbuhkan minat kepada mata wang kripto alternatif yang lain seperti ethereum, litecoin dan XRP.[34]

b. Risiko penggodaman terhadap sistem.

Setakat kajian ini dilakukan, kes kecurian terbesar melibatkan bitcoin berlaku pada tahun 2014, apabila pusat dagangan terbesar ketika itu Mt. Gox telah kehilangan sejumlah 850000 bitcoin akibat penggodaman terhadap sistem komputer mereka, dengan nilai kerugian ketika itu berjumlah USD 480 Juta.[35]

Sementara untuk kes terkini pula melibatkan Youbit, sebuah pusat dagangan bitcoin di Korea Selatan yang telah jatuh muflis pada Disember 2017 setelah hampir 4000 bitcoin milik para pelabur dicuri dalam satu siri serangan siber.[36]

Sehingga kajian ini dilakukan, dianggarkan kira-kira 980 000 Bitcoin telah dicuri daripada bursa, dengan kerugian dianggarkan USD 15 Bilion menurut nilai semasa.[37]

c. Dieksploitasi oleh penjenayah untuk kegiatan penggubahan wang haram dan mendanai aktiviti keganasan.

Pada Januari 2017, Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan (PPATK) yang merupakan satu agensi anti penggubahan wang haram Indonesia melaporkan bahawa Bahrun Naim, salah seorang penyokong Daesh menggunakan bitcoin untuk mendanai aktiviti keganasan kumpulan militan itu di Syria.[38]

Sementara itu pada Disember 2017, sebuah mahkamah persekutuan di New York, Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa Zoobia Shahnaz, seorang wanita warga AS kelahiran Pakistan atas tuduhan mendanai aktiviti pengganas Daesh menggunakan saluran bitcoin dan lain-lain mata wang kripto melibatkan dana berjumlah USD 85000.

Jabatan Keadilan (Department of Justice) (AS) dalam kenyataan sama menambah bahawa pertuduhan tersebut masih lagi di peringkat siasatan dan tertuduh belum bersalah selagi belum terbukti.[39]

Namun disebalik kes-kes yang dilaporkan, beberapa pakar masih enggan membuat kesimpulan bahawa mata wang kripto sememangnya satu ancaman secara mutlak dari sudut membantu aktiviti keganasan.

Sebagai contoh, David Carlisle, seorang konsultan bagi Royal United Services Institute (RUSI) yang merupakan badan pemikir bebas tertua dunia dalam bidang pertahanan dan keselamatan antarabangsa menyebut bahawa masih belum jelas samada mata wang kripto akan menjadi sumber dana utama bagi aktiviti pengganas. Bahkan tanpa mata wang kripto sekalipun, mereka telahpun mempunyai banyak sumber kewangan lain yang tidak putus-putus.

Tambah beliau lagi, tanggapan bahawa mata wang kripto adalah satu ancaman besar dari sudut keselamatan memberi gambaran seolah-olah sistem kewangan konvensional sedia ada tidak mempunyai risiko dieksploit ke arah mendanai aktiviti keganasan.[40]

d. Kemunculan skim-skim pelaburan palsu berasaskan bitcoin dan mata wang kripto

Terdapat banyak skim pelaburan palsu yang menggunakan bitcoin sebagai tarikan kepada pelabur yang telah muncul selaras dengan perkembangan mata wang kripto tersebut sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Antara contoh syarikat tersebut ialah Bitkingdom, Ethtrade Malaysia dan Ethtrade Limited, yang berdaftar di Hong Kong, dan syarikat-starikat ini telah tersenarai di dalam Bank Negara Financial Consumer Alert pada 23 Jun 2017.[41]

Pendirian Badan Berautoriti Negara dan Antarabangsa

Selain itu, terdapat juga beberapa badan berautoriti di Malaysia yang telahpun mengeluarkan beberapa kenyataan dan pandangan berhubung isu bitcoin ini, antaranya ialah:

Bank Negara Malaysia (BNM)  

Dalam isu bitcoin, terdapat beberapa pendirian dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh BNM, antaranya ialah:

(i) Kenyataan pertama Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan Bitcoin dikeluarkan pada 2 Januari 2014 di laman web rasmi mereka. Dalam kenyataan ringkas tersebut, BNM menegaskan bahawa Bitcoin tidak diiktiraf sebagai satu mata wang rasmi (legal tender) di Malaysia, dan BNM juga tidak mengawal selia operasi Bitcoin, dan orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dengan risiko yang muncul daripada penggunaan mata wang digital seumpamanya.[42]

(ii) Pada 2 Januari 2018, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam satu temu bual dengan The Malaysian Reserve menegaskan bahawa BNM tidak akan mengenakan sekatan secara pukal ke atas mata wang kripto termasuk Bitcoin, kerana tindakan sedemikian hanya akan menyekat inovasi dan kreativiti dalam sektor kewangan. BNM sentiasa sedar akan keperluan memilih jalan tengah antara kemaslahatan umum dan integriti sistem kewangan. Selain itu, beliau turut menegaskan akan keperluan ke arah pengawasan dan kawal-selia oleh pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan proses sistem mata wang digital ini lebih telus dan mematuhi keperluan perundangan, contohnya memastikan identity-identiti pelanggan dan pengguna dapat dikenalpasti (customer due diligence) dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

(iii) Menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed, dianggarkan secara puratanya sejumlah RM75 juta transaksi bitcoin dan mata wang kripto lain yang dijalankan setiap bulan di Malaysia. BNM juga telah mengeluarkan satu draf awal untuk konsultasi awam, bagi memastikan setiap pasaran mata wang kripto tertakluk dibawah undang-undang Akta Anti Penggubahan Wang Haram atau Anti-Terrorism Financing Proceeds of Unlawful Activities (AMLA 2001).

-[44]Akhirnya pada 27 Februari 2018, BNM telah mengeluarkan “Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan untuk Mata Wang Digital (Sektor 6)” yang telah mengambil kira maklum balas yang diterima semasa tempoh rundingan awam mengenai draf pendedahan yang dikeluarkan pada 14 Disember 2017.

Dasar ini bertujuan untuk memastikan bahawa langkah-langkah berkesan disediakan terhadap risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital dan untuk meningkatkan ketelusan bagi aktiviti mata wang digital di Malaysia. Bank menerima maklum balas daripada wakil pengurup mata wang digital sedia ada, persatuan industri, firma undang-undang, institusi kewangan, ahli akademik serta individu yang berminat.

BNM juga mengingatkan bahawa seruan terhadap obligasi pelaporan dalam perniagaan pertukaran mata wang digital tidak memberi konotasi keizinan, pelesenan, pengesahan atau sokongan oleh BNM dari mana-mana entiti yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pertukaran mata wang digital.[45]

Kesimpulannya, BNM masih lagi dalam proses penelitian dan pengkajian lanjut terhadap penggunaan mata wang ini sebelum satu ketetapan rasmi yang konklusif dan komprehensif dibuat.

Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commission Malaysia / SC)

Dalam satu kenyataan media pada September 2017 berkenaan (Initial Coin Offerings atau ICO) satu aktiviti mengumpul dana untuk membangunkan projek atau aplikasi baharu dalam blockchain. SC menasihatkan para pelabur agar medapatkan nasihat perundangan dan pakar terlebih dahulu sebelum terlibat, bagi mengelakkan keterlibatan mereka dengan sebarang masalah penipuan, penggubahan wang haram dan mendanai aktiviti pengganas.[46]

Dalam perkembangan terkini, Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini turut menyatakan  bahawa satu rangka kerja regulasi terhadap Initial Coin Offerings (ICO) dan bursa aset digital akan diperkenalkan pada suka pertama tahun 2019. Buat masa sekarang, regulasi terhadap mata wang kripto hanya terhad pada pembasmian penggubahan wang haram dan usaha mencegah keganasan.[47]

Terdapat juga beberapa negara memberikan ulasan dan komentar terhadap penggunaan mata wang bitcoin antaranya ialah:

Amerika Syarikat (AS)

Amerika Syarikat Internal Revenue Service (agensi kutipan cukai AS) menganggap mata wang kripto sebagai satu komoditi, bukannya mata wang.[48] Pada masa sekarang, pemilik mata wang digital perlu membayar cukai apabila mereka menukarnya dengan mata wang USD atau komoditi; namun dengan pindaan undang-undang pada[49] Disember, segala transaksi antara mata wang kripto juga akan dikenakan cukai.[50]

Securities and Exchange Commission  (Suruhanjaya Aset dan Pertukaran) AS pula memberi amaran bahawa para pelabur harus berhati-hati dengan pelaburan mata wang kripto dan mengingatkan bahawa sebarang kerugian mungkin tidak dapat diberi pampasan jika ia melibatkan sebarang unsur yang menyalahi undang-undang.[51]

Jabatan Perbendaharaan AS pula pada 18 Januari 2018 menyuarakan kebimbangan bahawa mata wang kripto merupakan satu ancaman bahaya dan pihak mereka sedang meneliti segala aktiviti melibatkan mata wang digital tersebut bagi menyekat sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.[52]

United Kingdom

Jeff Kaufmann, Pengarah Undang-undang di firma undang-undang Britain, Reynolds Porter Chamberlain (RPC), mengatakan bahawa pelaksanaan peraturan pasar kripto di UK akan mengambil masa kira-kira dua tahun. Beliau menambah: “Perlumbaan untuk mewujudkan sistem yang boleh mengawal dan mengendali mata wang kripto pasti bernilai kerana penggunaannya semakin meluas di seluruh Eropah dan di seluruh dunia. Penciptaan hab perdagangan mata wang kripto juga boleh memberi kesan positif kepada perniagaan di pasaran ini, seperti broker, bank pelaburan, dan penjaga serta peningkatan potensi pendapatan cukai bagi pihak berkuasa.[53]

Perancis

Menurut Gabenor Bank Negara Perancis Francois Villeroy de Galhau, bitcoin bukanlah satu mata wang, dan bukan juga satu mata wang digital. Tambah beliau lagi, ia hanyalah satu aset yang berbentuk spekulatif, nilaiannya tidak bersandarkan kepada asas ekonomi dan tiada pihak yang bertanggungjawab mengawal selia urusan bitcoin.[54]

Korea Selatan

Kerajaan Korea Selatan menegaskan bahawa mata wang digital tidak boleh memainkan peranan sebagai mata wang sebenar dan boleh mengakibatkan kerugian melampau disebabkan nilainya yang boleh berubah terlalu drastik dan sukar dijangka.

Antara langkah yang akan diambil adalah menyekat pembukaan akaun mata wang kripto yang tidak dikenali, selain cadangan untuk mengenakan cukai hasil keuntungan penjualan mata wang kripto bagi menangani masalah spekulasi berlebihan terhadap mata wang digital tersebut.[55]

Jepun

Seksyen 3 Akta Perbankan telah dipinda dan memasukkan mata wang digital sebagai salah satu kaedah pembayaran yang diiktiraf oleh kerajaan, mempunyai nilaian harta (property of value) dan boleh dijual beli.[56]

Namun demikian, Timbalan Gabenor Bank of Japan (BOJ) Masayoshi Amamiya Bank sendiri mengakui bahawa mata wang digital bank pusat (CBDC) tidak mungkin memperbaiki sistem monetari yang sedia ada. [57]

Iran

Brigadier Jeneral Gholam Reza Jalali, ketua Organisasi Pertahanan Awam Iran menyatakan bahawa mata wang kripto dapat membantu negara tersebut melepasi sekatan-sekatan ekonomi terutamanya oleh Amerika Syarikat melalui operasi perbankan yang tidak dapat dijejaki. Dengan cara demikian, Iran menjangkakan untuk mengurangkan pergantungannya kepada pembayaran berasaskan USD yang untuk perdagangan antarabangsa. [58]

Selain itu, beberapa badan perbankan antarabangsa memberikan ulasan dan komentar terhadap penggunaan mata wang bitcoin antaranya ialah:

International Monetary Fund (IMF)

Ketua badan kewangan antarabangsa tersebut, Christine Lagarde dalam satu kenyataan menyebut bahawa adalah tidak bijak untuk menafikan terus aset kripto, dan kita harus mengalu-alukan potensi yang ada dan pada masa sama berhati-hati dengan risiko yang bakal dihadapi.

Menurut beliau lagi, mata wang kripto mampu memberi ancaman dan ketidakstabilan kepada sistem kewangan antarabangsa disebabkan perkembangannya yang terlalu pantas dan ketidakstabilan harga pasaran.[59]

European Central Banks (ECB)

ECB secara amnya agak skeptikal terhadap mata wang kripto. Terdapat cadangan untuk mengenakan cukai terhadap mata wang ini dan memperkenalkan regulasi untuk mengawal selia segala urusan berkaitan transaksi melibatkannya.[60]

Pada 7 September 2017, Presiden ECB Mario Draghi telah menolak pelan Estonia untuk melancarkan mata wang kripto mereka sendiri (estcoin), dan menegaskan bahawa ECB tidak akan membenarkan mana-mana negara ahli Kesatuan Eropah untuk memperkenalkan mata wang mereka sendiri.[61]

Manakala Yves Mersch, ahli Lembaga Eksekutif ECB sewaktu diwawancara pada 29 Disember 2017 menyatakan bahawa nilai dagangan semasa bitcoin adalah kecil dan bukanlah satu ancaman kepada polisi kewangan semasa. Beliau juga menolak kemungkinan bitcoin akan menjadi mata wang alternatif kepada mata wang sedia ada kerana setiap mata wang memerlukan sokongan dan pengiktirafan daripada negara.[62]

Bank of International Settlements[63]

Bank antarabangsa tersebut dalam satu kenyataan menyebut bahawa bank-bank pusat di seluruh dunia tidak boleh mengambil ringan dan bersikap sambil lewa terhadap perkembangan bitcoin dan mata wang kripto, dan tidak menolak kemungkinan bank-bank ini perlu mempertimbangkan untuk memperkenalkan mata wang kripto mereka sendiri (Central Bank Cryptocurrency atau CBCC).

Namun banyak isu yang perlu diambil kira sebelum langkah ini diambil, antaranya isu kerahsiaan transaksi, keberkesanan sistem pembayaran dan kesan buruk yang mungkin timbul dari sudut ekonomi, kewangan dan polisi monetari. CBCC ini jika diperkenalkan, akan menyaksikan kemunculan satu mata wang kripto yang terbuka kepada orang awam yang dikeluarkan oleh pihak bank dan boleh ditukar nilai dengan wang tunai.[64]

Sementara ketua BIS dalam satu ucapan menyebut bahawa mata wang kripto merupakan satu ancaman kepada kestabilan sistem kewangan dan tidak ubah seperti skim penipuan Ponzi.[65]

Rujukan:

[27] Edward Murphy et al, 2015, Bitcoin; Questions, Answers, and Analysis of Legal Issues, Congressional Research Service, hlm.1 
[28] "What is Bitcoin?" (http://money.cnn.com/infographic/technology/what-is-bitcoin/) Dilawati pada 12 Januari 2018
[29] http://fortune.com/2017/11/25/lost-bitcoins/ “Exclusive: Nearly 4 Million Bitcoins Lost Forever, New Study Says” Dilawati pada 12 Januari 2018
[30] Rujuk Satoshi Nakamoto, t.t, Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash Systemwww.bitcoin.org
[36] https://www.reuters.com/article/us-bitcoin-exchange-southkorea/south-korean-cryptocurrency-exchange-to-file-for-bankruptcy-after-hacking-idUSKBN1ED0NJ “South Korean cryptocurrency exchange to file for bankruptcy after hacking” – 9 Januari 2018
[37] https://www.reuters.com/article/us-cyber-nicehash/hackers-steal-64-million-from-cryptocurrency-firm-nicehash-idUSKBN1E10AQ “Hackers steal $64 million from cryptocurrency firm NiceHash”- 16 Januari 2018
[38] https://www.wsj.com/articles/bitcoin-paypal-used-to-finance-terrorism-indonesian-agency-says-1483964198 “Bitcoin, PayPal Used to Finance Terrorism, Indonesian Agency Says”- 15 Januari 2018
[39] https://www.justice.gov/usao-edny/pr/long-island-woman-indicted-bank-fraud-and-money-laundering-support-terrorists “Long Island Woman Indicted for Bank Fraud and Money Laundering to Support Terrorists”
[40] https://rusi.org/commentary/cryptocurrencies-and-terrorist-financing-risk-hold-panic “Cryptocurrencies and Terrorist Financing: A Risk, But Hold the Panic” 15 Januari 2018
[43] https://themalaysianreserve.com/2018/01/02/no-ban-cryptocurrency-tradings-says-johari/ “No ban on cryptocurrency tradings, says Johari”- 7 Januari 2018
[44] https://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/12/15/bnm-rm75m-cryptocurrencies-transactions-each-month/ “BNM: RM75m cryptocurrencies transactions each month” – 7 Januari 2018
[45] http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_press&pg=bm_press&ac=4629&lang=bm “Bank NegaraMalaysia mengeluarkan dokumen dasar untuk mata wang digital” 18 April 2018
[46]https://www.sc.com.my/my/post_archive/media-statement-on-initial-coin-offerings/ “Media Statement on Initial Coin Offerings”- 9 Januari 2018
[48] https://www.cnbc.com/2017/11/30/bitcoin-investors-beware-the-irs-wants-its-cut-and-you-may-not-know-it.html Bitcoin investors beware: The IRS wants its cut and you may not know it – 18 Januari 2018
[50] http://fortune.com/2017/12/21/bitcoin-tax/ New Tax Law Closes Bitcoin Loophole – 18 Januari 2018
[52] https://www.bloomberg.com/news/articles/2018-01-17/virtual-currencies-seen-as-evolving-threat-by-u-s-treasury U.S. Treasury Sees Virtual Currencies as ‘Evolving Threat’ – 18 Januari 2018
[56] https://www.investopedia.com/news/japan-finally-recognizes-bitcoin-after-long-battle/ “Japan Finally Recognizes Bitcoin After Long Battle”
[59]https://www.theguardian.com/technology/2018/mar/13/imf-christine-lagarde-calls-bitcoin-crackdown-cryptocurrencies “'Fight fire with fire': IMF's Lagarde calls for bitcoin crackdown” 18 April 2018
[60]https://www.reuters.com/article/us-ecb-bitcoin-nowotny/ecbs-nowotny-says-central-banks-considering-cryptocurrency-regulation-idUSKBN1DG2NX ECB's Nowotny says central banks considering cryptocurrency regulation – 11 Januari 2018 dan http://www.dailymail.co.uk/wires/afp/article-5231041/ECB-governor-calls-tax-regulation-bitcoin.html ECB governor calls for tax, regulation on bitcoin – 13 Januari 2018
[63] Ditubuhkan pada 1930, ia adalah sebuah organisasi kewangan antarabangsa yang dimiliki oleh 60 bank pusat, mewakili negara-negara dari seluruh dunia. Antara misi utama BIS ialah membantu bank-bank pusat ini mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari mereka. Rujuk https://www.bis.org/about/index.htm?m=1%7C1
[64] https://themalaysianreserve.com/2017/09/19/central-banks-cant-ignore-bitcoin-boom-bis-says/ “Central banks can’t ignore the bitcoin boom, BIS says” 16 Januari 2018
[65]https://www.theguardian.com/technology/2018/feb/06/bitcoin-price-crackdown-bis-cryptocurrency “Bitcoin price falls below $6,000 as banker signals crackdown”

... Bersambung..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails